Wednesday, May 5, 2010

Ungu sudah hilang taring


KONSERT Ungu Mega Malaysia 2010 yang menampilkan kumpulan popular Indonesia, Ungu hanya berjaya menarik jumlah penonton sekitar 2,000 orang sahaja.


AKU tak akan pernah serik. Biarpun berapa ramai penonton, ia tidak menjadi masalah besar buat aku dan Ungu.''

Begitu akui vokalis kumpulan Ungu, Pasha, saat diketengahkan persoalan mengenai sambutan konsert mereka yang dilihat kurang memberangsangkan apabila dihadiri kira-kira 2,000 penonton sahaja berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 25,000 orang.

Dalam Konsert Ungu Mega Malaysia 2010 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam Sabtu lalu, Pasha sendiri mengakui bahawa mereka terpaksa bersaing dengan beberapa lagi konsert yang diadakan serentak pada malam yang sama.

Sungguhpun begitu, dia tidak sedikitpun merasa kecewa terhadap kehadiran penonton yang menyaksikan konsert Ungu.

Malah katanya, dia berpuas hati dengan semangat yang ada pada penonton yang hadir apabila bersama-sama menyanyikan setiap lagu yang didendangkan.

Ia secara jelas, ujar Pasha, membuktikan bahawa lagu-lagu Ungu begitu dekat di hati peminat mereka di negara ini.

''Sama sekali aku tidak merasa kecewa. Aku juga berasa puas kerana konsert ini berjalan dengan begitu bagus sekali.

''Penonton juga bagus dan tidak membosankan. Aku tidak pernah memikirkan bilangan penonton itu sama ada ramai atau tidak sebagai alasan untuk Ungu berasa lemah.

''Sebaliknya, semangat penonton itu penting untuk kami terus kuat merencana pelbagai program di lain masa,'' katanya ketika ditemui sejurus selepas berakhirnya Konsert Ungu Mega Malaysia 2010.

Dalam konsert yang berlangsung hampir dua jam itu, Ungu membawakan pelbagai koleksi lagu-lagu hitsnya bermula album awal hingga album terbaru, Penguasa Hati.

Dianjurkan oleh Celebes Production, sebanyak 18 buah lagu didendangkan antaranya Hampa Hatiku, Demi waktu, Dilema Cinta, Ku Ingin Selamanya, Kekasih Gelap dan Andaiku Tahu.

Tarikh 1 Mei menyaksikan Ungu terpaksa bersaing dengan beberapa lagi konsert seperti Konnsert Double Trouble yang menampilkan dua gergasi rock tanah air iaitu Search dan Wings selain konsert sebuah kumpulan dari Jerman, Tokio Hotel serta konsert minggu ketujuh Akademi Fantasia musim kelapan.

Konsert Double Trouble yang diadakan di Bukit Kiara Equestrian Country Resort, Bukit Kiara seperti dijangka meraih jumlah penonton hampir 20,000 orang sehingga menenggelamkan konsert Ungu.

Namun, di sebalik sambutan yang agak dingin, Ungu tetap tampil dengan persembahan bertenaga bagi mengubati rindu para peminatnya yang ternanti-nanti kehadiran kumpulan itu.

Ungu sebelum ini pernah mengadakan dua persembahan di ibu negara iaitu pada 2006 di Planet Hollywood dan terakhir sekitar 2008 di Ruums KL Life Centre.

Selain mengadakan konsert, kehadiran Ungu ke ibu negara juga adalah untuk mempromosikan album kelima mereka, Penguasa Hati yang telah menerima Anugerah Platinum Berkembar apabila terjual sebanyak 300,000 unit setelah dua minggu dipasarkan di Indonesia.

Penguasa Hati menampilkan 12 buah lagu antaranya Akulah Cintamu, Dilema Cinta, Hampa Hatiku, Ku Ingin Selamanya, Beri Aku Waktu dan Kau Tahu.

Album berkenaan mula memasuki pasaran Malaysia sejak Jun tahun lalu di bawah edaran SRC.

Selain Pasha, Ungu dianggotai empat lagi ahli iaitu Oncy, Enda, Makki dan Rowman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: