Monday, May 31, 2010

KPPK perjuang irama Malaysia


NORLIZA ROFLI (tengah) ketika sidang akhbar di Red Box Plus, Pavilion Kuala Lumpur bersama Pengarah Penerbitan TV RTM, Rokiah Normah (kiri) dan Pengawal Radio Klasik, Chuari Selamat.


SEJAK era 80-an lagi, irama Malaysia menjadi satu dominasi baru dalam industri muzik tanah air dengan kelahiran album Datuk Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, M. Nasir, To'Ki, Jamal Abdillah dan ramai lagi artis.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) sedang berusaha mencungkil lebih banyak bakat baru melalui pertandingan Cipta Lagu Irama Malaysia.

Untuk itu, para komposer yang bertanding dikehendaki menghasilkan lagu berdurasi empat minit dengan memasukkan elemen-elemen seperti keroncong, dondang sayang, dikir barat, inang, joget dan zapin dalam karya mereka.

Pertandingan yang berlangsung selama 28 hari itu akan ditutup pada 31 Mei ini. Borang penyertaan dan syarat pertandingan boleh dimuat turun melalui laman rasmi www.jkkn.gov.my atau www.kpkk.gov.my.

Menurut Ketua Pengarah KPKK, Datuk Norliza Rofli, JKKN yang mendapat kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) merasa terpanggil untuk memperbanyakkan koleksi serta khazanah seni tanah air dalam bentuk penghasilan lagu-lagu berirama Malaysia.

Katanya, dengan hadirnya muka-muka baru melalui pertandingan itu akan menyemarakkan lagi khazanah muzik negara ini di samping meningkatkan martabat muzik irama Malaysia.

"JKKN dengan kerjasama RTM memberi peluang kepada semua komposer sama ada amatur mahupun profesional untuk sama-sama memartabatkan irama Malaysia dengan menyertai pertandingan itu.

"Setiap penyertaan akan melalui proses penghakiman di peringkat saringan yang mana 30 penyertaan yang terbaik akan disiarkan menerusi radio Klasik Nasional untuk diundi oleh pendengar yang mewakili 10 peratus markah.


FAUZIAH SUHAILI atau Fauziah Gambus membuat persembahan yang mengasyikkan bersama gambusnya.


"Sebanyak 90 peratus markah lagi akan dinilai oleh panel yang dilantik oleh pihak urus setia," katanya pada sidang akhbar di Red Box Plus di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini. Sidang akhbar itu turut menampilkan artis irama Malaysia, Fauziah Gambus.

Tambahnya, setiap borang penyertaan harus disertakan dengan lirik dan rakaman lagu dalam bentuk cakera padat (CD).

"Apa yang penting CD lagu itu mesti jelas dan boleh difahami. Komposer juga hendaklah memberi kebenaran kepada JKKN melalui KPKK untuk mengubahsuai lirik mengikut kesesuaian.

"Penyertaan hendaklah diserahkan selewat-lewatnya pada 31 Mei 2010 kepada Urusetia Cipta Lagu Irama Malaysia 2010 di alamat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tingkat 28, Bangunan MAS, Jalan Sultan Ismail, 50250, Kuala Lumpur," tambahnya.

Dalam pertandingan ini juga, Music Authors Copyright Protection (MACP) akan mewakili pencipta lagu dan penulis lirik dalam pengumpulan royalti bagi persembahan langsung dan penyiaran awam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: