Friday, May 28, 2010

Tangguh bulan madu

SEMINGGU saja lagi, Khairul Noormaaidah Zali, 25, atau Aida yang dinobatkan Ikon Gadis Melayu 1 akan menjadi isteri kepada pembaca Buletin Utama TV3, Mohd Saiful Nizam Ismail, 28. Pasangan sama cantik dan sepadan itu akan disatukan pada 4 Jun ini di kediaman keluarga Aida di Bandar Country Homes, Rawang.

pix_middle



Majlis kenduri dan persandingan akan diadakan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada keesokan harinya.

Majlis sambut menantu pula akan diadakan di kampung halaman Saiful di Canglun, Kedah pada 13 Jun.


Sebelum itu pada 19 Disember 2009, mereka terlebih dulu mengukuhkan sulaman cinta dengan mengadakan majlis pertunangan.

Beralih status daripada solo kepada fasa baru sebagai seorang isteri, Aida berkata, dia tidak membuat sebarang persediaan dan perasaannya pun tidaklah gementar sangat. Namun begitu, dua tiga hari ini perasaannya sedikit cuak apabila ada yang bertanya bagaimana rasanya ingin bergelar raja sehari.

"Apabila tiada yang bertanya, saya relaks saja. Tetapi bila ada yang mula bertanya mengenai perasaan saya ketika ini, baru saya terasa sesuatu kerana jika solo segala keputusan di tangan sendiri. Sudah berkahwin nanti, kita minta restu suami. Ingkar cakap suami, derhaka namanya.

"Perasaan bimbang timbul apabila saya dan Saiful berjumpa mereka yang menguruskan persiapan majlis perkahwinan itu seperti tukang buat pelamin, mak andam dan baju pengantin. Mereka tanya apa saya rasa kerana hari bahagia makin menjelang tiba."Apa yang dapat saya katakan, perasaan saya bercampur aduk. Memanglah gembira kerana dapat hidup bersama pujaan hati tetapi memikirkan tanggungjawab sebagai isteri membuatkan saya takut untuk melaluinya.


"Lebih kurang sebulan selepas berkahwin, muncul Ramadan. Saiful sudah beritahu saya kena masak untuk makan sahur. Selama ini emak yang sediakan semuanya, sekarang saya kena buat sendiri.

"Saya cadangkan kepada Saiful makan di luar saja tetapi Saiful kata, dia mahu saya masak juga. Tak tahulah macam mana hendak menghadapi perubahan yang mendadak itu," katanya.Persiapan perkahwinan sudah 90 peratus siap. Barangan hantaran dan pelamin digubah Arma Abdul Rahman dan busana pengantin oleh Radzuan Radzwill. Sekarang, bakal mempelai itu banyak berbincang mengenai kedatangan hari bahagia itu.

Mendengar cerita rakannya yang sudah berumah tangga dengan pelbagai kemelut dan masalah dihadapi dalam hubungan suami isteri, sedikit sebanyak ia mengganggu fikiran gadis ayu itu.


"Ada yang beritahu saya suasana waktu bercinta, bertunang dan berkahwin tidak sama. Ramai yang berpura-pura waktu bercinta dengan menunjukkan sikap baik dan romantis. Hakikatnya, apabila sudah menjadi suami, mula tunjuk belang.


"Saya suka merajuk dan mereka kata selepas berkahwin, Saiful tak kuasa memujuk saya lagi. Berkongsi rasa dengan Saiful berhubung perkara itu, katanya, sebab itu dia selalu menunjukkan sikapnya yang sebenar di hadapan saya sejak kami baru berkenalan lagi. Jika saya buat salah, dia mesti marah dan pantang Saiful orang yang tidak menepati masa.


"Selalu saya kena marah kerana lewat kerana saya biasanya mengambil masa lama untuk bersiap. Asyik kena marah, sekarang kerja saya jadi cepat. Bagaimanapun, kata Saiful, selepas berkahwin mesti ada perubahan dan kami kenalah bertolak ansur. Bayangkan dua insan yang berlainan rasa dan selera perlu berkongsi hidup bersama," katanya.


Merakamkan setiap detik berlangsungnya hari yang cukup bermakna buat mereka berdua, Aida dan Saiful menggunakan khidmat CST Production berpejabat di Ukay Perdana yang menyediakan perkhidmatan terkini dan tercanggih dalam pembikinan video. Rosli Mohamad dari CST berkata, pihaknya akan menggunakan kamera DSLR iaitu video kamera yang serba lengkap dan termoden.


Menurut Rosli, gambar yang dirakam menerusi kamera itu boleh dijadikan video. Sejak ditubuhkan pada 2005, CST memfokuskan perkhidmatan mereka untuk majlis perkahwinan dan klip video.

"Umie Aida juga menggunakan khidmat kami ketika acara persandingannya, baru-baru ini dan CST juga pernah merakamkan klip video lagu kumpulan Ahli Fiqir, Jinbara dan Vince AF1. Harga yang ditetapkan terpulang kepada tahap kreativiti yang diperlukan. Biasanya bermula daripada RM2,000.

"CST mempunyai dua cabang perkhidmatan, videografi dan fotografi. Saya berbangga kerana Aida dan Saiful sudi menggunakan khidmat kami bagi merakamkan hari berbahagia mereka," katanya.


Selepas diijabkabulkan, mereka tidak dapat bercuti panjang kerana Aida terbabit dalam program realiti TV dakwah, Akademi Al-Quran 4 (AQ4) terbitan TV9 selaku pengacara bersama Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin.


"Dua hari selepas bersanding, pada 7 dan 8 Jun, saya terpaksa ke lokasi penggambaran AQ4. Saiful faham dengan situasi itu kerana dia pun terbabit dalam bidang penyiaran. Terpaksalah kami dulukan yang mana penting.


"Ada kelapangan nanti, barulah kami pergi berbulan madu. Kata Saiful, berbulan madu di rumah pun sudah cukup membahagiakannya asalkan kami dapat bersama selalu," katanya.


AQ4 mula bersiaran 21 Mei lalu, setiap Jumaat, jam 9 malam.


Untuk mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi mereka, Aida dalam perancangan membuka butik busana Muslimah bersama rakan kongsinya.


"Ada tawaran berlakon tetapi manalah saya tahu berlakon. Saiful pun tidak berapa berkenan saya menjadi pelakon. Cukuplah sekadar mengacara dan ada rezeki memulakan perniagaan," katanya.



PROFIL
NAMA: Khairul Noormaaidah Zali
TARIKH LAHIR: 15 Ogos 1985
USIA: 25 tahun
TEMPAT DILAHIRKAN: Kuantan, Pahang
KELUARGA: Anak ketiga daripada sembilan beradik
PENDIDIKAN: Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dan Ijazah Komunikasi dari Universiti Utara Malaysia
KERJAYA: Pengacara
PROGRAM TV: AQ4
HOBI: Suka membaca semua jenis bahan bacaan
MINUMAN KEGEMARAN: Teh O ais laici
MAKANAN KEGEMARAN: Nasi goreng cendawan
PENGALAMAN: Ikon Gadis Melayu 1

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: