|
|
SELAM skuba tergolong antara hobi paling mahal jika diambil kira perbelanjaan membeli peralatan, sewa dan kos percutian untuk sampai ke destinasi. Ia menjanjikan pengalaman yang menakjubkan namun bukan sesuatu yang boleh dilakukan sekerap aktiviti lain.
Itulah realiti selam skuba. Bahkan di kalangan mereka yang sudah lama menceburi aktiviti itu ramai yang mengehadkan kekerapan menyelam apatah lagi jika tempoh cuti yang ada terlalu singkat.
Apabila berkesempatan, peluang yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan melakukan selaman sebanyak mungkin. Tetapi pada harga RM70 hingga RM100 untuk setiap selaman, kos yang ditanggung penyelam masih agak membebankan poket.
Jadi apakah pilihan yang ada untuk menyelam lebih 'lama' dengan harga yang berpatutan? Pakej selaman dari atas kapal atau liveaboard adalah pilihan yang tepat untuk lebih kepuasan.
Bagi yang sanggup mengenepikan keindahan dan kemeriahan kehidupan di pantai (penginapan di pulau), pakej selam beserta penginapan di atas bot itu menjanjikan kelebihan yang tersendiri.
Gaya hidup skuba yang popular di negara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina itu kini antara perkhidmatan yang semakin mendapat sambutan di beberapa pulau negara ini seperti Sipadan, Mabul, Redang, Tioman dan Tenggol.
WOW! baru-baru mengikuti pengalaman menyelam dari kapal The Black Pearl melalui jemputan Mentari Scuba selaku pengelola pakej Safari Tioman -pakej menyelam di tiga pulau sekitar perairan Pahang dan Johor iaitu Tioman, Dayang dan Aur.
Penulis tiba di atas kapal yang berpengkalan di jeti Tanjung Gemok, Pahang seawal pukul 1 pagi. Pengurus Mentari Scuba, Arbani Mat yang mesra dengan panggilan Kapten Ben tanpa membuang masa menunjukkan kepada saya bilik penginapan selama tiga hari dua malam di dek sebelah atas.
Di atas kapal berukuran kira-kira 30 meter panjang itu, bekas pesara tentera itu dibantu pengendali trip, Fazidah Fakhrudin manakala tugas pengemudian bot dilakukan oleh Abang Joe.
Di dalam kegelapan awal pagi itu, Black Pearl yang dinaiki bersama kumpulan penyelam dari Kuala Lumpur meninggalkan jeti Tanjong Gemuk menuju ke perairan Teluk Mahkota (Tioman). Lambungan badan kapal yang menghempas permukaan laut itu sesekali mengganggu keselesaan tidur di dalam kabin.
Keesokan paginya kami bangkit di tengah laut dengan pemandangan firus biru yang diselangi pantulan cahaya matahari di permukaan air.
Sarapan pagi ketika matahari terbit itu dinikmati dalam suasana hening bersama penyelam yang masih belum mengenali satu sama lain.
"Buat seperti rumah sendiri. Ambil seberapa banyak masa yang diperlukan. Anda boleh menyelam pada bila-bila masa kerana tiada had selaman di atas Black Pearl," ujar Kapten Ben membuka bicara.
Labas menjadi lokasi selam pertama pada pagi itu. Dasar laut yang dihiasi landskap berbatu dan berbentuk gua di situ cukup menarik sebagai 'pembuka selera' kami. Seperti kebiasaannya, selaman pertama digunakan untuk membiasakan semula dengan teknik apungan serta memastikan peralatan yang digunakan berfungsi dengan baik.
Pada hari pertama kami sudah melakukan tiga selaman. Sememangnya itulah kelebihan liveaboard, untuk melakukan selaman sebanyak mungkin. Selaman tanpa had menjadikan pakej berharga RM800 itu lebih bernilai berbanding pakej yang ditawarkan di darat jika mengambil kira kos penginapan, makan minum dan tambang feri pemindahan.
Namun begitu, kehidupan di tengah-tengah laut itu bukannya sesuai untuk semua. Bagi yang tidak tahan dibuai gelombang, pengalaman pertama mengikuti liveaboard pasti tidak begitu menyeronokkan.
Rasa mual dan muntah adalah perkara biasa pada hari pertama. Itulah yang dialami penulis semasa menyelam di Pulau Komodo, Indonesia, pada awal tahun lalu. Di atas Black Pearl, masalah itu tidak lagi berlaku.
Selain itu, penyelam juga harus berwaspada kerana kekerapan turun ke dasar laut kadang-kala boleh menyebabkan penyelam leka sehingga mengabaikan keselamatan diri. Misalnya, waktu selang antara setiap selaman perlu diawasi bagi mengelak penyakit nyahmampatan (DCS) dan jangan sesekali turun tanpa peralatan yang lengkap.
Keistimewaan lain liveaboard termasuk kepuasan menyelam di lokasi yang jauh dan jarang dikunjungi pengendali pusat selam di darat. Dengan 'resort terapung' itu, penyelam boleh berpindah dari satu lokasi ke lokasi yang lain pada bila-bila masa mengikut persetujuan ramai.
Di atas kapal penyelam juga tidak perlu bersusah-payah mengusung tangki udara dan berjalan menyusuri pantai (pusat selam darat) kerana semua peralatan disediakan dengan lengkap dan teratur di atas bot. Pendek kata, penyelam hanya perlu mengeluarkan kelengkapan skuba mereka sekali sahaja daripada selaman pertama hingga selaman terakhir.
Cuma pada trip baru-baru ini, kami tidak bernasib baik kerana tidak berkesempatan melawat lokasi selam di sekitar Pulau Dayang dan Aur (seperti dijanjikan) ekoran kerosakan alat pemampat udara yang digunakan untuk mengisi tangki selam.
Jika kerosakan tidak berlaku, Black Pearl sepatutnya membawa kumpulan penyelam dari Kuala Lumpur, Johor dan Thailand itu ke lokasi-lokasi terbaik sebelum pakej Safari Tioman itu berakhir di jeti Tanjung Gemok.
Namun lokasi ganti seperti Golden Reef, Tiger Reef dan Chebeh di sekitar Tioman sudah cukup untuk mengubat hati. Apatah lagi dengan keenakan makanan laut yang dihidang setiap hari.
Sementara itu, Kapten Ben berkata, pakej yang diperkenalkan sejak setahun lalu itu semakin mendapat sambutan khususnya di kalangan penyelam-penyelam berpengalaman dan mereka yang 'serius' dalam aktiviti selam skuba. Cuma penyelam perlu membawa peralatan menyelam sendiri kerana tiada perkhidmatan sewa disediakan di atas kapal.
"Dari segi keselamatan semasa menyelam kami mempunyai beberapa orang divemaster yang mengawasi setiap selaman," katanya yang menganjurkan trip itu pada setiap hujung minggu.
Salah seorang penyelam yang mengikuti pakej itu adalah pelakon terkenal, Zul Huzaimy Markuzi. Divemaster berusia 31 tahun itu merupakan antara penyelam yang menggemari gaya hidup liveaboard.
Zul Huzaimy berkata, menyelam dari bot memberi lebih kepuasan terutama bagi mereka yang mempunyai jadual kerja yang sibuk kerana tempoh yang singkat dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyelam.
"Kesibukan penggambaran mengehadkan waktu untuk saya tinggal lama di pulau. Boleh dikatakan setiap bulan saya akan mengikuti pakej liveaboard yang ada di pulau-pulau negara ini.
"Tidak dinafikan suasana jauh lebih meriah bagi yang menginap di pantai tetapi berlabuh di tengah-tengah laut seperti ini juga mempunyai keindahan yang tersendiri," ujarnya yang menceburi aktiviti itu sejak tiga tahun lalu.
Maklumat lanjut mengenai pengalaman dan pakej liveaboard boleh diperolehi dengan menghubungi Arbani Mat di talian 013-380 1331 atau emel kepada kaptben@mentariscuba.com.
Sorry I do not know your language. But if it was about Tioman then I must add that my stay at a Tioman Island hotel was superb.
ReplyDelete