|
|
APALAH ada pada nama kumpulan muzik? Itu mungkin gambaran kasar buat kumpulan yang menggelarkan diri mereka Tokio Hotel. Nama itu agak pelik apabila ia digunakan bagi sebuah kumpulan muzik.
Tokio Hotel bukanlah nama sebuah hotel murah, sebaliknya ia adalah kumpulan yang dianggotai empat anggota itu kini amat popular di pentas muzik peringkat antarabangsa.
Malah, kumpulan yang dianggotai Bill Kaulitz selaku vokalis, Tom Kaulitz (gitar), Georg Listing (bass) dan Gustav Schafer (dram) itu juga boleh berbangga dengan nama Tokio Hotel yang mereka gunakan sejak tahun 2001.
Tokio Hotel yang sebelum ini dikenali sebagai Devlish bukan sahaja popular, tetapi dengan populariti itu mereka kini turut berjaya memenuhi impian menginap di hotel-hotel terkemuka.
Menurut Bill, selepas menghasilkan dua album Inggeris , Scream pada 2008 dan terbaru, Humanoid (2009) kumpulannya yang berasal dari Magdeburg, Jerman itu menganggap nama tersebut membawa tuah kepada mereka.
"Kami bertuah kerana nama Tokio Hotel menjadi terkenal. Sekarang ini, kami sudah popular dan banyak mengadakan konsert bergerak di merata-rata tempat. Kami juga berpeluang menginap di hotel-hotel terkenal sewaktu mengadakan persembahan. Itu adalah antara impian kami menjadi artis.
"Tokio Hotel adalah nama yang diberi oleh Georg. Ia hanyalah sekadar nama. Sedangkan pada hakikatnya walaupun menggunakan nama Tokio kami pun belum pernah lagi pergi ke Tokyo.
"Cuma kami puas hati kerana impian kami untuk menginap di hotel-hotel yang mewah di merata-rata tempat berjaya direalisasikan melalui Tokio Hotel," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Populariti Tokio Hotel paling menyerlah apabila lagu berjudul Automatic yang dipetik daripada album Humanoid yang diedarkan Universal Music Sdn. Bhd. mendapat sambutan di negara ini.
Bill yang juga adik kepada Tom boleh berbangga kerana kumpulan yang ditubuhkan ketika usianya 10 tahun itu mencatat kejayaan cemerlang sebagai salah satu pemuzik paling menyerlah di Jerman dalam tempoh 20 tahun.
Antara kejayaan cemerlang Tokio Hotel ialah menerima anugerah platinum berkembar 10 atas penjualan album-album mereka selain muncul Artis Baru Terbaik pada Anugerah MTV 2008.
Tokio Hotel jelas Bill, banyak menggunakan elemen pop dan elektronik dalam album-album yang mereka hasilkan di mana ia pada asalnya dalam bahasa Jerman sebelum dialih ke bahasa Inggeris dan mendapat sambutan di seluruh dunia.
"Kami mengambil keputusan mengalih lirik kami daripada bahasa Jerman ke Inggeris supaya lebih ramai peminat dapat memahaminya.
"Ternyata usaha itu berbaloi kerana album-album kami itu bukan sahaja popular di Jerman tetapi juga di luar negara. Contohnya, album kami dalam bahasa Jerman bertajuk Schrei ditukar Scream dalam bahasa Inggeris," ujarnya.
Keunikan Tokio Hotel bukan sahaja pada nama, malah konsep lagu dan lirik yang bertemakan kemanusiaan, futuristik dan makhluk asing mendapat perhatian peminat.
Kesemua garapan elemen itu ditambah dengan konsep muzik pop yang berteraskan alunan bunyi-bunyian elektronik yang diadun daripada sampler menambahkan lagi tarikan serta kelainan dalam muzik kumpulan tersebut.
Kunjungan pertama Tokio Hotel ke negara ini bukan setakat mempromosikan Humanoid dan mengadakan persembahan bersama Bunkface dan Pop Shuvit. Turut diadakan sesi bertemu peminat mereka.
Seramai 5,000 peminat terdiri daripada pelanggan Telekom Malaysia membanjiri Park Avenue di Bandar Utama, Petaling Jaya bagi menyaksikan konsert sulung mereka itu selama dua jam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: