Sunday, May 30, 2010

Uri melekat

PERTAMA kali mendengar mengenai masalah uri melekat pada rahim, tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaannya. Seorang wanita yang pernah mengalami masalah ini berkata, uri itu umpama akar pokok yang berselirat dan melekat kuat pada dinding rahim sehingga ia susah untuk ditanggalkan.

pix_middle
RAWATAN... pemeriksaan pos natal seharusnya dilakukan enam minggu  selepas bersalin.
RAWATAN... pemeriksaan pos natal seharusnya dilakukan enam minggu selepas bersalin.


Gerun mendengar ceritanya kerana punca, bagaimana dan kenapa perkara ini terjadi masih tidak diketahui.

“Namun kes uri melekat jarang berlaku. Ia hanya membabitkan satu kes bagi 2,500 kelahiran,” kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Nik Hazlina Nik Hussain.


Katanya, dalam kehamilan normal, uri atau plasenta berada pada dinding rahim, jauh daripada pangkal rahim (serviks). Masalah uri melekat boleh dibahagikan kepada beberapa keadaan iaitu:

  • Plasenta akreta (accreta) adalah keadaan di mana uri melekat sehingga mencapai kawasan otot dinding rahim pada lapisan endometrium. Dianggarkan 75 hingga 78 peratus kes uri melekat adalah jenis ini.

  • Plasenta inkreta (increta) adalah keadaan lebih kritikal di mana uri tertanam ke dalam otot dinding rahim atau lapisan miometrium. Kira-kira 17 peratus kes uri melekat membabitkan masalah plasenta inkreta.
  • Plasenta perkreta (percreta) pula adalah keadaan uri tertanam sehingga menembusi keseluruhan dinding rahim ke permukaan luarnya sehingga lapisan serosa dan membabitkan organ yang berdekatan seperti pundi kencing dan rektum (bahagian akhir usus besar). Kes ini lebih serius tetapi jarang berlaku (hanya lima hingga tujuh peratus saja).

    “Masalah ini amat jarang berlaku. Kebiasaannya ia mengakibatkan pendarahan teruk semasa trimester ketiga kehamilan dan selalunya mengakibatkan kelahiran pramatang (tidak cukup bulan).

    “Bagi anak pula, risiko uri melekat boleh dikatakan tiada kerana ia berlaku selepas anak dilahirkan kecuali jika anak itu pramatang. Namun bagi ibu, antara risiko yang dihadapi ialah kehilangan darah yang banyak (pendarahan melebihi 500 mililiter) dan rahim tidak atau lambat mengecut.

    “Doktor mungkin terpaksa menggunakan prosedur pengeluaran plasenta secara manual. Ibu diberikan ubat oksitosik dan pembiusan, risiko jangkitan rahim, ada kemungkinan perlukan pendermaan darah, pembedahan mengikat saluran darah arteri iliak interna malah jika terdesak, pembuangan rahim. Seeloknya, elakkan prosedur ini melainkan jika perlu,” katanya.

    Antara faktor yang boleh meningkatkan risiko uri melekat ialah jika wanita hamil itu mengalami masalah plasenta previa iaitu keadaan di mana uri berada di bahagian bawah rahim menyebabkan pangkal rahim tersekat. Dianggarkan 10 peratus masalah uri melekat berlaku pada wanita yang alami plasenta previa.

    Kumpulan lain yang berisiko tinggi mengalami masalah uri melekat ialah:

  • Wanita yang pernah menjalani pembedahan pada rahim seperti pendilatan dan pengkuretan (D&C)
  • Ada sindrom Asherman (pelekatan pada dinding rahim)

  • Pernah jalani pembedahan miomektomi (pembuangan fibroid)

  • Bersalin secara pembedahan caesarean pada kelahiran lepas

    Semua faktor di atas akan menyebabkan otot dinding rahim pada bahagian berkenaan menjadi nipis berbanding bahagian lain. Ia boleh mengakibatkan uri yang menempel pada peringkat awal kehamilan tertanam dengan lebih dalam.

    Bagaimanapun, seseorang wanita itu boleh menjangkakan kehamilannya mungkin akan mengalami masalah ini jika mempunyai sejarah perubatan dan pembedahan (seperti disenarai di atas) dan disahkan kehamilan sekarang adalah kehamilan plasenta previa.

    Pengesanan dan rawatan

    Sehingga kini, masalah uri melekat (plasenta akreta - kerana ia paling lazim) agak sukar dikesan sehinggalah sampai waktu melahirkan anak.

    Dr Nik Hazlina berkata, penggunaan alat imbasan ultra bunyi boleh membantu doktor menjangka seseorang wanita itu mungkin mengalami masalah plasenta akreta.

    Dari situ, doktor akan membuat siasatan lanjut dengan menggunakan imbasan ultra bunyi yang mempunyai penunjuk berwarna dan diikuti ujian radiologi lanjutan seperti pengimejan resonan magnetik (MRI). Bagaimanapun kedua-dua kaedah pengimejan ini masih belum dapat mengesan plasenta akreta secara tepat.

    “Biasanya doktor menjangka seseorang wanita itu mengalami masalah plasenta akreta jika uri tidak dapat dikeluarkan selepas 30 minit bayi dilahirkan. Pada ketika ini risiko pendarahan juga tinggi. Malangnya, sehingga kini tidak banyak yang kita boleh lakukan untuk mengatasi masalah uri melekat.

    “Jika masalah ini dapat dikesan awal (sebelum kelahiran melalui imbasan ultra bunyi), maka kelahiran boleh dirancang dengan menentukan tarikh apabila kandungan cukup matang. Kelahiran yang dirancang lebih baik kerana segala persiapan dari segi dewan bedah, bekalan darah, doktor bius, doktor perbidanan (sakit puan) dan alat pembedahan yang perlu dapat disediakan lebih awal.

    “Cuba bayangkan jika pembedahan ini tidak dirancang dan tiba-tiba pendarahan yang banyak berlaku. Tabung darah pula tidak mempunyai bekalan darah yang cukup untuk diberikan kepada wanita yang sudah kehilangan darah yang banyak. Keadaan ini sangat kritikal dan kadangkala nyawa pesakit juga boleh melayang jika serba serbi tidak mencukupi.

    “Cara yang terbaik adalah pembedahan caesarean yang dirancang dan teruskan dengan pembedahan histerektomi (pembuangan rahim) jika terpaksa bagi kes yang didiagnosa sebelum kelahiran. Bagi wanita yang masih ingin hamil di masa hadapan, mungkin pembedahan pembuangan uri sebanyak yang boleh diperlukan dan hanya tinggalkan sedikit daripada bahagian uri yang melekat.

    “Selepas itu, wanita berkenaan perlu diberikan ubat antibiotik dan jika perlu ubat methoxtrexate bagi mengecutkan sebahagian uri yang tertinggal. Antibiotik perlu diberikan kerana sebahagian uri yang tertinggal akan mengecut dan hancur (mati). Keadaan ini kadangkala boleh menyebabkan jangkitan kuman.”

    “Pada masa sama wanita berkenaan juga perlu pemindahan darah yang banyak dan perlu dirawat di hospital pada jangka masa yang lebih lama berbanding kelahiran normal,” katanya.

    Bolehkah rahim diselamatkan jika mengalami masalah ini? Tidak semestinya, ada yang boleh diselamatkan dan ada yang tidak; bergantung kepada keadaan wanita semasa melahirkan anak.

    Doktor akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan wanita dan juga rahimnya, tetapi jika keadaan tidak mengizinkan dan nyawa wanita amat kritikal maka doktor terpaksa meneruskan dengan pembedahan pembuangan rahim.

    Kehamilan pada usia lewat

    Menurut Dr Nik Hazlina lagi, kehamilan pada usia lewat (selepas 35 tahun) juga boleh menjadi antara faktor pada masalah uri. Bagaimanapun, kehamilan pada usia lewat sudah jadi perkara biasa lelaki dan wanita berkahwin pada usia lewat selepas kerjaya mereka stabil.

    Bagi pasangan yang berkahwin lewat, mereka perlu tahu risiko dan langkah berjaga-jaga yang perlu untuk mengurangkan atau mengelakkan komplikasi kehamilan. Antara komplikasi berkenaan ialah:

  • Pembedahan caesarean
  • Bersalin dengan bantuan peralatan seperti forseps atau vakum
  • Bayi kurang berat badan
  • Penyakit kencing manis dan darah tinggi yang boleh memudaratkan kehamilan
  • Pendarahan yang banyak selepas bersalin
  • Kelahiran sebelum masanya
  • Kemungkinan janin meninggal
  • Kelahiran Sindrom Down
  • Keabnormalan janin (genetik)
  • Keguguran secara spontan
  • Hamil bayi kembar
  • Masalah plasenta previa
  • Kematian perinatal (tiga bulan sebelum kelahiran dan sebulan selepas kelahiran)

    Jika anda tergolong dalam golongan ini, ambil langkah berjaga-jaga seperti:

  • Apabila haid tidak datang, buatlah ujian mengandung segera.

  • Jangan tinggal temu janji dengan doktor mengikut jadual yang sepatutnya.

  • Ambil vitamin seperti asid folat/folik, dua atau tiga bulan sebelum mengandung untuk menghindari pembentukan janin yang tidak sempurna.

  • Awasi pertambahan berat badan.

  • Makan makanan yang pelbagai dan berkhasiat.

  • Ambil sumber kalsium secukupnya sama ada daripada produk susu, soya dan sebagainya.

  • Kurangkan pengambilan kafein.

  • Tinggalkan tabiat buruk seperti merokok, minum minuman alkohol.

  • Lakukan senaman yang bersesuaian untuk kekal aktif.

  • Berbincang dengan doktor anda mengenai ujian untuk mengesan keabnormalan atau Sindrom Down pada janin.

    Bagaimanapun, kata Dr Nik Hazlina, bukan semua kehamilan lewat itu bersifat negatif kerana ada banyak kajian di dunia menampakkan sesuatu yang positif daripada perkahwinan dan kehamilan di usia yang lebih lambat seperti:

  • Ibu bapa lebih matang, realistik, pasti dan bersedia untuk mendapatkan anak
  • Ibu-ibu pada umur sebegini lebih menyedari akan kesihatan harian keluarga mereka

  • Penyusuan susu badan lebih diamalkan ibu yang matang usianya

  • Dari segi sosio ekonomi, anak yang dilahirkan ibu begini mendapat faedah kesihatan yang lebih menyeluruh dan terjaga

  • Kemantapan gaya hidup selepas pencapaian kerjaya akan memfokuskan arah tujuan anak-anak mereka.

    Walaupun hamil pada usia yang lebih lambat ini meletakkan seseorang bakal ibu dalam risiko lebih tinggi berdepan komplikasi, majoriti wanita yang lebih berusia kini berjaya melalui kehamilan yang sihat berbanding waktu dulu.

    Kehidupan selepas pembuangan rahim

    Selepas rahim dibuang, seseorang wanita tidak akan mengalami haid. Pembuangan rahim ada beberapa kategori iaitu pembuangan keseluruhan rahim dan bukan keseluruhan rahim.

    Bagi wanita yang mengalami kanser pada rahim, doktor akan jalankan pembedahan pembuangan keluruhan rahim, kedua-dua belah kilang telur dan juga kedua-dua belah saluran fallopio. Keadaan ini di kenali sebagai total abdominal hysterectomy and bilateral salpingo opherectomy (TAHBSO).

    “Memang tidak dapat dinafikan ada pesakit yang merasakan kurang lengkap selepas menjalani pembedahan pembuangan rahim. Ada juga yang menganggap wanita yang menjalani pembuangan rahim ini umpama ‘rumah cantik tanpa perhiasan’.

    “Saya pernah mendengar perumpamaan ini sendiri dari mulut pesakit saya. Pendapat ini salah sama sekali. Saya selalu tekankan kepada pesakit saya kita hendaklah sentiasa bersyukur kerana selamat.

    “Sebagai seorang wanita, kita perlu berfikiran positif dan jangan memikirkan selepas pembuangan rahim kita bukan wanita lagi. Kita masih dapat mengecapi nikmat untuk hidup bersama keluarga tersayang dan melihat anak membesar.

    “Daripada segi hubungan suami isteri juga tidak menjadi masalah sebab pembuangan rahim ini tidak membabitkan masalah dari segi hubungan seksual, malah dengan ketiadaan kitaran haid bermakna suami boleh melakukan hubungan seks tanpa memilih waktu.

    “Tambahan juga wanita tidak perlu gusar atau memikirkan untuk mengambil atau mengamalkan alat pencegahan kehamilan kerana mereka tidak akan hamil. Pada masa sama, suami juga perlu memberi sokongan yang kuat kepada isteri dan bersyukur kerana isteri selamat,” katanya.

    Penjagaan

    Penjagaan selepas bersalin atau dalam pantang sama pentingnya dengan penjagaan ketika hamil. Tubuh ibu memerlukan pemulihan dari segi emosi dan jasmani sebelum bersedia untuk hamil lagi. Beberapa amalan pantang larang atau tradisi perlu dielakkan demi meningkatkan tahap kesihatan ibu dan juga anak yang kini bergantung sepenuhnya pada ibu.

    Tempoh berpantang biasanya mengambil masa 42 hari bermula selepas bayi dilahirkan. Waktu puerperium atau pantang dianggap sebagai waktu pemulihan daripada semua gejala kecederaan, tekanan jiwa dan mental serta pemulihan fungsi kewanitaan.

    Penjagaan selepas bersalin amat penting untuk mempercepatkan proses pemulihan. Dalam masyarakat Melayu tradisi turun menurun banyak amalan pantang larang. Amalan pantang larang yang baik boleh diguna pakai tapi yang boleh memudaratkan kesihatan tidak boleh diamalkan.

    Antara cara mempercepatkan pemulihan ialah mengamalkan pemakanan seimbang. Wanita lepas bersalin perlu mendapat makanan seimbang. Makanan yang seimbang mempunyai zat yang amat penting untuk digunakan oleh badan dalam mempercepatkan proses pemulihan.

    Makanan yang perlu diambil ialah yang mengandungi banyak protin dan vitamin dan mesti mengandungi karbohidrat, zat galian dan lemak.

  • Kepercayaan memakan sesetengah jenis makanan seperti ikan berduri, udang, telur boleh menyebabkan bentan atau luka bernanah adalah tidak benar.

  • Luka bernanah disebabkan jangkitan kuman yang berpunca daripada penjagaan kebersihan yang kurang memuaskan.

  • Amalan pantang larang makanan perlu dielakkan kerana ini boleh menjejaskan proses pemulihan luka pada rahim dan saluran kemaluan.

  • Pentingnya luka pembedahan caesarean tidak dibasahi atau dalam keadaan lembap selama dua minggu. Boleh mandi dan hanya perlu lap saja pada bahagian luka supaya kering. Jangkitan kuman boleh berlaku akibat takungan darah di bawah hirisan pembedahan (hematoma )

  • Semasa proses kelahiran, ada wanita yang kemaluannya perlu digunting (episiotomi) dan kemudian dijahit semula.

  • Luka episiotomi sering dibasahi dengan darah nifas dan mungkin dikotori oleh air kencing dari depan, oleh najis dari belakang. Luka ini boleh dibersihkan dua atau tiga kali sehari dengan losen yang dibekalkan dari hospital.

  • Luka pembedahan caesarean atau episiotomi mesti dijaga dengan baik.

    Rengat (kesakitan selepas bersalin)

  • Selepas kelahiran anak, biasanya wanita mengalami kesakitan pada rahim.
  • Ini disebabkan penguncupan rahim.

  • Kesakitan meningkat selepas dua atau tiga hari

  • Kesakitan boleh dikurangkan dengan pengambilan parasetamol atau meletakkan beg air panas pada bahagian abdomen.

    Pemeriksaan Pos Natal

  • Pemeriksaan pos natal seharusnya dilakukan enam minggu selepas bersalin.

  • Ibu boleh berbincang masalah dan kerisauan dengan doktor. Doktor perlu memeriksa kesihatan ibu dan memastikan masalah semasa mengandung sudah sembuh. Ibu juga perlu berbincang dengan doktor berkenaan perancangan keluarga.

    Amalan yang tidak boleh dilakukan:

  • Berdiang atau pelepas

  • Bersangkak (menolak bahagian rahim dari bawah hingga pusat) iaitu awal dua minggu bersalin

  • Pemakanan nasi dengan ikan kering saja.

  • Menyukat air minuman
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: