Friday, May 28, 2010

Belajar buat kek bersama Chef Rohani


Chef Rohani Jelani memberi penerangan awal mengenai cara-cara membuat kek keju.


SINGGAH di kedai kek atau roti mungkin menjadi satu kelaziman semasa berbelanja di pasar raya. Melihat pelbagai jenis kek yang cantik-cantik mungkin terdetik di hati untuk menghasilkan sendiri.

Kini bukan menjadi masalah besar lagi untuk menghasilkan kek sendiri, malah banyak kelas-kelas membuat kek dibuka bagi memberi peluang kepada yang berminat.

Di Bayan Indah Kulinari Resort yang terletak di Sungai Penchala, Damansara, Petaling Jaya, Selangor sentiasa membuka pintu kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai kelas masakan.

Bukan sekadar membuat kek tetapi juga turut diajar membuat masakan tradisional seperti nasi kerabu, ayam percik, kerabu jantung, kerabu pucuk paku dan berbagai-bagai jenis masakan tradisional.

Berpeluang menimba pengalaman memasak bersama Chef Rohani Jelani yang juga pemilik Bayan Indah Kulinari Resort memang menyeronokkan.

Biar pada awalnya teragak-agak untuk mencuba, tetapi akhirnya timbul seronok apatah lagi masing-masing yang terlibat dalam sesi memasak itu berjaya menyediakan hidangan mengikut resipi yang diberi.

Lebih menarik, program belajar membuat kek keju diadakan khusus kepada wakil media untuk merasai sendiri pengalaman membuat kek keju.

Program tersebut juga diadakan bersempena pelancaran lipstik baru yang berasaskan buah-buahan keluaran Bodyshop.

Penulis sendiri yang berpeluang untuk mempelajari membuat kek keju amat teruja dengan kaedah membuatnya.

Malah, semasa sesi masakan bersama wartawan dan kakitangan Bodyshop, Chef Rohani membiarkan kami menyediakan hidangan tersebut berdasarkan resipinya tetapi dipantau dari semasa ke semasa.

Kelas masakan selama tiga jam yang dikendalikan oleh Chef Rohani itu dipenuhi dengan gelak ketawa, ditambah pula dengan usikan chef berpengalaman itu sewaktu memberi penerangan mengenai cara penyediaan bahan-bahan untuk membuat kek.

Sambil menunjukkan seni membentuk kek, Chef Rohani tidak lokek memberi panduan dalam menyedapkan setiap hidangan.

Bukan sekadar ringkas dan senang tetapi sangat menyeronokkan.

Dengan tunjuk ajar pemilik premis tersebut, Rohani Jelani menunjukkan cara mudah untuk menghasilkan kek keju yang sedap.

Bukan sekadar sedap tetapi 'kegebuan' kek tersebut menjadikan setiap mata yang melihat pasti tertawan.

Malah lebih menarik, 'hasil tangan' yang diajar oleh Chef Rohani boleh di bawa pulang.

Chef Rohani memberitahu, dengan menyediakan sendiri makanan kita boleh menentukan kebersihan setiap makanan yang masuk ke pertu.

Malah, lebih menarik akuinya, kos untuk membuat setiap jenis makanan lebih murah berbanding yang dibeli.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: