Monday, April 23, 2012

Rehatkan minda sebelum lena

CUBA...tilam perlu selesa untuk badan.
CUBA...tilam perlu selesa untuk badan.

DIANGGARKAN antara dua hingga empat peratus rakyat Malaysia mengalami sindrom apnea tidur obstruktif (OSA) yang menimbulkan pelbagai masalah berkaitan kesihatan antaranya berdengkur, tidak cukup rehat, sukar tidur dan keletihan pada waktu siang.

Terdapat rawatan perubatan untuk mereka yang menghadapi masalah itu, namun persekitaran dan tabiat tidur yang betul penting bagi mendapatkan rehat pada waktu malam mencukupi, seterusnya memastikan permulaan yang baik pada pagi keesokan harinya.

  • Foto

    CITA RASA...pelbagai gaya tidur.

  • Foto

  • Foto

Pemilihan tilam yang baik perlu mengambil kira berat dan ketinggian seseorang, selain memastikan tilam yang dipilih mampu menyokong tulang belakang serta tubuh badan dengan selesa.

Pengurus Penyelesaian Bilik Tidur Ikea, Gordon Wimalasiri berkata, sebelum pemilihan tilam dibuat, seseorang perlu memikirkan beberapa langkah untuk memastikan kesesuaian tilam berkenaan dengan dirinya.


Langkah pertama yang boleh menjadi panduan adalah semakin berat seseorang itu, maka tilam yang dipilih perlu mempunyai struktur lebih padat dan kenyal.


“Langkah kedua adalah dengan mengenal pasti posisi dan cara tidur anda sama ada tidur secara berbaring, mengiring atau meniarap dan langkah ketiga adalah pilihan tilam daripada jenis spring, asas papan berspring, foam atau lateks (getah),” katanya.

Menurutnya, individu yang tidur mengiring memberi lebih tekanan kepada bahu serta pinggulnya, maka ia perlu diselaraskan dengan pemilihan tilam yang betul.

Cara tidur mengiring memerlukan jenis tilam yang lebih lembut serta bantal lebih tinggi bagi menyokong leher dan tulang belakang.

“Bagi yang tidur secara mengiring, tulang belakang dan leher perlu selari supaya apabila bangun pagi, seseorang itu tidak akan mengalami masalah sengal badan serta lenguh di bahagian tengkuk.

“Tilam yang serasi dengan diri kita adalah apabila kita tidur di atasnya, tiada regangan antara tilam dan tubuh, sebaliknya setiap lekuk badan disokong sepenuhnya,” katanya.

Gordon berkata, bagi mereka yang tidur secara terlentang pula, pemilihan tilam tidak boleh terlalu kenyal, sebaliknya yang sederhana dan menyerap tekanan berat badan secara rata serta memerlukan bantal dengan ketinggian sederhana.

Orang yang gemar tidur meniarap pula memerlukan tilam yang kenyal kerana keadaan tidur seperti itu memberi tekanan kuat pada otot dada, selain perlu memilih bantal lembut dan rendah kerana ia mengurangkan tekanan pada bahagian leher serta muka.

Pada masa sama, individu yang memilih tilam spring perlu tahu bahawa ia terbahagi kepada beberapa jenis antaranya spring berpoket.

Semakin rapat spring poket berkenaan, semakin kenyal tilam dan sebaliknya.
Sekiranya ia dijarakkan manakala tilam jenis foam dan lateks mempunyai kelebihan menyerap keseluruhan tekanan berat badan.

Menurutnya, tilam yang lebih sesuai untuk pasangan adalah tilam jenis spring kerana ia mampu menyerap berat berbeza secara individu menjadikan tidur malam lebih selesa dan tidak terganggu.

“Tilam jenis lateks juga selesa tetpi sekiranya salah satu pasangan terlalu berat manakala seorang lagi ringan, maka pasangan yang lebih berat akan menyebabkan tilam berkenaan tenggelam ke arahnya, seterusnya ‘menarik’ sekali pasangannya.

“Ini sudah pasti tidak selesa bagi pasangannya tetapi lebih baik sekiranya mereka bersama-sama memilih tilam dengan mencubanya di kedai bagi melihat kesesuaian.

“Antara panduan lain membeli tilam yang selesa untuk pasangan adalah ia perlu dipilih berdasarkan berat badan pasangan yang lebih ringan,” katanya.

Gordon berkata, bagi pasangan yang berminat membeli tilam jenis lateks, mereka perlu mengetahui mengenai tekstur tilam itu sama ada ia mempunyai potongan garisan tilam lebih berjarak atau dekat.

Katanya bagi tilam lateks yang mempunyai potongan garisan berjarak, ia lebih kenyal dan bagi yang mempunyai potongan rapat dan banyak, ia lebih lembut.

“Apabila hendak membeli tilam, individu disaran untuk mencubanya terlebih dulu dengan baring di atas tilam dan rasakan keselesaannya. Sekiranya ada jarak antara tubuh dengan tilam, maka ia adalah tilam yang salah untuk anda,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding dan Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dengkur dan Masalah Tidur Apnea, Dr Raymond Tan berkata, bagi memastikan tidur yang cukup, seseorang perlu merehatkan mindanya daripada semua perkara yang merunsingkan sekurang-kurangnya 20 minit sebelum tidur.

Katanya, individu dewasa sepatutnya mendapat tidur yang cukup antara tujuh hingga lapan jam setiap malam supaya pemikiran serta tubuhnya sihat.

“Sekiranya tidak dapat tidur nyenyak, dia boleh ‘membayar’ balik hutang tidur dengan melelapkan mata sekejap dalam tempoh 15 hingga 45 minit pada waktu siang sekitar jam 2 petang.

“Tidur yang pendek itu mampu mengembalikan kecergasan tetapi pastikan jangan terlelap lebih dari dua jam kerana ia akan menyukarkan seseorang itu untuk tidur malam pula,” katanya.

Dr Tan berkata, disebabkan cara hidup yang sibuk serta dikelilingi pelbagai jadual padat, tidur seseorang itu sering terganggu, kadang kala hingga bermimpi perkara bukan-bukan dan menyebabkan keadaan tidak lena.

Bagi memastikan dapat tidur lena, individu dinasihatkan menutup telefon, komputer dan sebarang gajet terutama yang berkaitan dengan laman sosial supaya ia tidak mengganggu ketika tidur.

Selain itu, mereka yang bermasalah tidur juga boleh mengambil pendekatan membaca buku, mandi air suam sebelum masuk tidur atau memainkan muzik yang lembut dan mendayu bagi membantu mereka untuk rehat dan melupakan masalah lain.

“Tidur tidak cukup bukan saja menyebabkan tubuh letih dan minda tidak cergas, malah ia boleh menyebabkan berat badan seseorang mudah naik berbanding yang mendapat rehat secukupnya.

“Ini kerana metabolisme badan bagi mereka yang tidak cukup tidur menurun selain menggalakkan mereka makan lebih banyak bagi mendapat tenaga,” katanya.

Bagi yang bekerja syif malam, mereka perlu ‘meniru’ waktu malam iaitu tidur dengan cara menggelapkan bilik secara sepenuhnya, menggunakan langsir tebal dan menutup pintu.

Menurutnya, mereka yang mengalami masalah apnea yang juga menyumbang kepada dengkuran, perlu tidur mengiring bagi mengelak lidah mereka jatuh ke belakang hingga tercekik lidah dan menyebabkan bunyi dengkur yang kuat.

“Sekiranya bimbang tidak dapat tidur kekal dalam posisi mengiring, saya sarankan supaya memakai seluar tidur yang ada poket dan masukkan bola tenis di poket belakang supaya apabila cuba mengubah posisi anda tidak akan selesa dan berbalik semula mengiring.

“Ada yang menggunakan pendekatan tidur tanpa bantal tetapi jika tiada bantal, tengkuk akan lenguh dan sakit kerana tidak mendapat sokongan secukupnya,” katanya.

Pakar kiropraktik dan pengamal perubatan integratif, Dr Michael Chan pula berkata, bagi yang alah kepada habuk atau pepijat, mereka boleh memilih tilam bersifat bebas pepijat dan juga membeli sarung tilam dan bantal antitungau debu rumah bagi mengelak masalah bersin, resdung serta selesema hingga mengganggu tidur.

Katanya, tilam dan bantal perlu dijemur sesekali ketika matahari terik bagi membunuh kuman dan pepijat yang ada atau boleh juga menggunakan vakum bagi menarik habuk yang ada.

“Saya juga menasihatkan sentiasa mengenakan memakai sarung bantal selain tilam ditukar setiap lima hingga tujuh tahun bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan terbaik untuk badan berehat,” katanya.


Panduan memilih tilam

  • Tilam mempunyai pelbagai jenis seperti foam, spring dan lateks.

  • Bagi pasangan, tilam jenis spring paling sesuai.

  • Pasangan perlu mencuba tilam secara bersama dan memilihnya mengikut berat pasangan yang lebih ringan.

  • Tilam perlu menyokong setiap lekuk tubuh tanpa regangan antara kedua-duanya.

  • Semakin rapat garis potongan di permukaan tilam lateks, semakin lembut tilam.

  • Semakin rapat poket spring pada tilam jenis spring, semakin kenyal tilam.

  • Tilam dipilih berdasarkan berat badan dan cara tidur.

  • Pilih yang bebas hama bagi mereka yang mempunyai masalah hidung sensitif atau resdung.


    Jenis tilam dan bantal sesuai cara tidur

  • Tidur mengiring - tilam lembut, bantal tinggi.
  • Tidur berbaring - tilam sederhana kenyal, bantal sederhana tinggi.
  • Tidur meniarap - tilam kenyal, bantal rendah.


    Panduan penjagaan tilam

  • Menggunakan penyedut hampa gas bagi menarik habuk pada tilam.
  • Sekali-sekala jemur tilam ketika matahari terik untuk membunuh pepijat.
  • Mengenakan sarung tilam bebas hama.
  • Menyarungkan pelindung tilam bagi mengelak kekotoran melekat pada tilam.
  • Menukar tilam setiap lima atau tujuh tahun.


    Panduan mendapatkan tidur nyenyak

  • Menenangkan diri dan merehatkan minda 20 minit sebelum waktu tidur.
  • Mendengar muzik lembut dan mendayu.
  • Mandi air suam untuk merehatkan otot.
  • Membaca buku.
  • Menutup semua gajet terutama berkaitan laman sosial.
  • Tidur sebentar kurang satu jam pada waktu siang sekitar jam 2 petang.

  • Bagi yang bekerja syif malam, tidur dalam bilik yang gelap sepenuhnya seperti waktu malam, menggunakan langsir tebal dan tutup pintu.


    Kesan tidak cukup tidur

  • Lemah fikiran dan hilang tumpuan.
  • Lemah tubuh badan.
  • Metabolisma menurun.
  • Berat badan mudah naik.
  • Kesihatan terjejas


    Posisi tidur

  • Tidur meniarap

    Posisi ini memberi tekanan pada otot bahu dan dada dan tilam yang sesuai adalah lebih kenyal. Pemilihan bantal pula daripada jenis yang lebih rendah dan lembut supaya tidak memberi tekanan pada leher.

    Cara tidur ini sepatutnya dielak kerana ia menyebabkan tekanan pada hujung tulang belakang dan menyebabkan sakit belakang. Ia juga memberi tekanan berlebihan pada leher.

    Tabiat tidur seperti ini boleh diubah dengan meletakkan botol kaca atau bola tenis di bahagian hadapan baju tidur.

    Tidur meniarap hanya disarankan kepada mereka yang sesuai untuk penderita penyakit degeneratif atau cakera teralih di bahagian tengah tulang belakang.


  • Terlentang

    Ketika tidur terlentang, tulang belakang melengkok ke posisi janggal yang mampu melenguhkan otot, sendi dan saraf. Tulang belakang tidak sepatutnya berkeadaan lurus tetapi ia mempunyai tiga lengkok iaitu di bahagian bawah, tengah dan berhampiran leher.

    Masalah tidur berdengkur selalunya berpunca daripada keadaan tidur terlentang tetapi ia boleh dielakkan dengan meletakkan botol atau bola yang dilekatkan di bahagian belakang baju tidur.

    Tidur sebegini memerlukan tilam lebih kenyal dan bantal sederhana tinggi bagi menyokong badan.


  • Mengiring

    Posisi ini dikelaskan sebagai terbaik untuk tubuh dan disarankan kepada semua orang kerana ia tidak membebankan bahagian tulang belakang.

    Namun ia memerlukan tilam lebih lembut dan bantal lebih tinggi bagi menyokong tulang belakang dan leher kerana cara tidur ini memberi lebih tekanan kepada bahu serta pinggul.

    Tilam yang dipilih juga perlu dipastikan mampu menampung sepenuhnya berat individu dan tidak mempunyai regangan antara tubuh dengan tilam.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: