Sunday, May 30, 2010

PEUGEOT RCZ emosi eksklusif


Elemen aerodinamik begitu tebal pada reka bentuk bumbung dan lampu.


MENGIKUT peta tulip, perjalanan pulang ke Hotel The Marques de Riscal ada 70 kilometer lagi tetapi tempoh masa tinggal 40 minit sebelum matahari terbenam.

Keputusan pantas dibuat untuk tidak mengguna pakai peta tulip tetapi navigasi GPS dalam usaha mencari jalan pintas supaya tidak perlu merentas gunung Sierra de Cantabria lagi di negeri Alava, wilayah Basque di selatan Sepanyol pada bulan lalu.

Mematuhi arahan GPS, perjalanan membawa ke kawasan ladang anggur yang luas dan berbukit-bukau menuju ke hotel tersebut di pekan Elciego. Dalam sesetengah keadaan, terasa semacam dalam perlumbaan rali pula dengan Peugeot RCZ diperah secukupnya ketika melalui selekoh dan melambung pada kelajuan tinggi demi mengejar masa serta enggan memandu pada waktu malam.

Kemudi rodanya memberi maklum balas yang secukupnya semasa mengambil selekoh dari kawasan pergunungan. Kami tiba tepat pada masanya. Ini mendorong saya menyifatkan kereta ini adalah suatu kecemerlangan di pihak Peugeot dalam segmen coupe sport.

Malah ada pengulas yang menyifatkan RCZ adalah hasil terbaik pernah dibina oleh Peugeot sejak model 205 Gti, terutama versi enjin 1.6 liter turbo petrol dengan 200 kuasa kuda.

Pada sesi pandu uji itu bagaimanapun, kami diberikan versi 2.0 liter diesel. Jika ada yang ragu-ragu mengenai mutu enjin diesel Peugeot, sila kenang kembali 'kehebatan' Peugeot yang diguna sebagai teksi di ibu negara lebih sedekad yang lalu.

Tiada masalah, malah daya pemecutan yang dihasilkan oleh enjin diesel serba baru ini dirasakan cukup garang. Kuasa kilas enjin ini mampu memuntahkan kuasa sehingga mencecah 5,000 revolusi per minit (rpm).

Menggunakan transmisi manual, pertukaran gear adalah mudah. RCZ menawarkan gear manual 6-kelajuan yang ringkas pertukaran dan ringan yang menepati nisbah kuasa yang dipadatkan.

Berdasarkan pemanduan di jalan raya 'bergelombang' di Elciego, kelebihan utama RCZ ini terletak pada chasis yang mampu menyerap permukaan yang paling sukar, selain gaya pemanduan ala pelumba rali!

Misalnya, semasa membrek kuat (pedal brek mencecah lantai) di selekoh, kereta RCZ ini tidak berbuai atau terbabas daripada garisan jalan.

Sebenarnya, peminat-peminat automotif sudah 'diperkenalkan' kepada RCZ sejak akhir 2007 lagi. Model kereta konsepnya telah dipamerkan pada pameran automotif Paris ketika itu, sebelum disahkan untuk pengeluaran pada awal 2008.

Tahun lalu, model prototaip diperkenalkan. Keupayaan Peugeot mengeluarkan RCZ dari peringkat konsep hingga pengeluaran didorong oleh faktor jurutera Peugeot menggunakan 'Platform 2' yang dipakai sama bagi model Peugeot 308 dan kemudiannya dikembangkan kepada 3008 crossover dan MPV kecil 5008.

Apa yang mengagumkan ialah perincian yang diambil oleh Peugeot yang tidak mengubah banyak daripada model konsep kepada model pengeluaran. Bumbungnya seakan dua gelembung dan cermin belakang yang besar, ia memiliki ciri tiang berasaskan aluminium serta profil ke hadapan yang menjadikan kereta ini berbeza sama sekali dengan pesaing terdekatnya.

Dalam konteks aerodinamik dan mencetuskan keseimbangan semasa kereta dipacu laju, spoiler belakang boleh dikeluarkan dari but hanya dengan menekan punat.

Paling penting, reka bentuk jitu RCZ ini melahirkan cita rasa anggun, sesuai dengan harga premiumnya di pasaran Malaysia kelak.

Ruangan dalamannya pula tidak kurang hebatnya dalam mencetuskan inspirasi elegan dan sporty. Kerusi dan kemudi roda disarung dengan kulit yang kemas. Alat-alat instrumen audio dan pendingin hawa juga disusun pada kedudukan capaian tangan pemandu. Jam klasik analog di tengah juga menarik perhatian, yang kini menjadi trend bagi pengeluar kereta Eropah bagi menyatakan kecenderungan fesyen.

Begitu pun, terdapat beberapa bahagian dalam kereta ini menggunakan plastik kasar yang tidak sama kelas dengan bahan yang diguna di bahagian lain.

Kereta ini tergolong dalam segmen khusus, bermakna ia tidak berapa sesuai untuk keluarga. Meskipun menawarkan empat kerusi, namun kerusi di belakang agak sempit ruang kaki.

Tetapi kerusi belakang itu boleh dilipat rata bagi menambah ruang mengangkut barangan.

Nasim Sdn. Bhd., selaku pengedar tunggal Peugeot di negara ini yang menjadi hos sesi pandu bagi wartawan Malaysia, memberi anggaran masa akhir tahun ini bagi RCZ boleh diimport masuk iaitu serentak dengan penghasilan kemudi roda di sebelah kanan dari kilang Peugeot di Graz, Austria.

Dari segi harga pula, ia disasarkan di bawah RM200,000 sebuah, menjadikan RCZ bakal memberi saingan kepada model Jerman yang sekelas dengannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: