KUALA LUMPUR - Festival Belia Terbesar 2010 (YOUTH'10) yang melabuhkan tirainya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam setelah lebih 100 acara dijalankan meninggalkan satu pengalaman yang menyeronokkan kepada kira-kira 70,000 belia yang datang dari seluruh negara.
Ada di antara mereka secara terbuka mengatakan bahawa tempoh tiga hari festival sebesar itu tidak cukup dan mereka mahu ia dipanjangkan sekurang-kurangnya seminggu.
"Bagi saya, belia mempunyai banyak idea yang bernas dan saya tidak nafikan program sebegini mendatangkan banyak manfaat kepada golongan seperti kami kerana pengisian aktivitinya banyak menjurus kepada penonjolan bakat seseorang remaja seperti melalui futsal atau nyanyian.
"Jadi, diharapkan pada masa akan datang, biarlah masanya lebih panjang agar belia seperti kami boleh mengetengahkan bakat yang ada. Ia lebih baik daripada kami membuang masa melakukan aktiviti yang tidak berfaedah," kata Mohd. Zaki Samsudin, 22.
Zaki bukan sekadar menjadi pengunjung tetapi turut serta dalam acara futsal yang dipertandingkan.
Pandangannya turut disokong kebanyakan belia lain termasuk Selvina Nathan, 17, dan Yee Mun Seh, 17.
Menurut mereka, penganjuran YOUTH'10 sangat unik kerana pelbagai aktiviti tidak kira kesenian dan sukan dijalankan serentak di satu lokasi.
"Ia sangat berbeza dengan program lain yang pernah saya kunjungi dan sebagai seorang pelajar sekolah, banyak idea terutama yang berbentuk kesenian boleh kami gunakan semasa di sekolah nanti," kata Selvina.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: