|
|
ALAM meniti hari-hari untuk bergelar seorang isteri, setiap wanita pasti berdebar-debar dengan segala persiapan yang dirancang. Pastinya, kaum wanita yang akan lebih sibuk dari pasangan mereka merencanakan perjalanan hari bahagia mereka agar ia kelihatan sempurna.
Merancang tema perkahwinan, busana yang akan dipakai pada hari diijabkabulkan, hiasan hantaran, bunga apa yang menghiasi meja tetamu, aturcara majlis, semuanya halus diteliti oleh bakal pengantin agar tiada cacat-cela.
Sama sahaja buat wanita bertubuh genit ini. Anne yang merupakan salah seorang penyampai radio Hot FM sibuk kini sibuk menjadi perancang perkahwinan buat dirinya sendiri.
Bercerita tentang persiapan menuju ke gerbang perkahwinannya yang tinggal kurang dua minggu lagi, imbas pemilik nama Putri Andreanna Syigim Mohd. Razalli, 29, ini pelbagai ujian dan dugaan yang melanda dirinya.
Paling kalut, Anne kehilangan kain untuk busana majlis persandingannya yang dibelinya di Indonesia.
Kejadian itu berlaku akhir tahun lalu ketika dia dan saudara-maranya bercuti di Indonesia.
"Saya jatuh cinta dengan kain ela yang saya temui di sana. Saya terus dapat bayangkan diri saya memakai busana yang indah daripada kain itu ketika majlis saya nanti.
"Tetapi malangnya, beg yang dipenuhi kain ela yang dibeli di sana untuk saya dan sepupu-sepupu saya yang ditugaskan sebagai pengiring saya nanti hilang begitu sahaja apabila mendarat di Kuala Lumpur," katanya yang mengakui sangat sedih mengenangkan insiden itu.
Lantaran terlalu meminati kain berkenaan, Anne meminta bantuan ibu saudaranya yang kebetulan ke sana untuk membeli kain yang sama.
"Sifat saya memang begini. Kalau saya sudah suka sesuatu barang, saya akan berusaha untuk mendapatkannya dengan apa cara pun," ujar Anne yang akan disatukan dengan cinta hatinya, Nik Mahathir Zainudin, 33.
Terang Anne yang bakal diijabkabulkan dengan jejaka yang berjaya bertakhta di hatinya pada 12 Jun ini di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM4,000 kerana kehilangan kain-kain itu.
Namun, semua itu dianggap Anne sebagai dugaan kecil dan dia percaya ada hikmah disebalik semua itu.
Walau agak gentar untuk melangkah ke alam rumah tangga, namun pengendali segmen Hot FM Zone pukul 8 hingga 12 tengah malam bersama Ikhwan ini sentiasa ceria menguruskan perkahwinan idamannya.
Di sebalik seri bakal pengantin ini, terselindung rasa sedih dan sayu mengenangkan insan yang paling rapat dengannya tiada di sisi dalam merencanakan hari bahagianya itu.
Insan yang dimaksudkan ialah Raja Norhizam Raja Adnan, bonda tersayang Anne yang kembali ke rahmatullah sejak empat tahun lalu akibat penyakit jantung.
Merupakan anak bongsu daripada dua beradik, kehilangan bondanya amat dirasai buat masa ini memandangkan dia bukan sekadar seorang ibu, malah teman yang paling rapat buat Anne.
Ketika hayat ibunya, Raja Norhizam sering berada di sisi Anne ketika membuat sebarang keputusan besar dalam hidup anaknya itu.
Lalu, apabila tiba saat-saat sebegini, air mata Anne sering tertumpah mengenangkan dia harus melalui semua ini dan membuat keputusan seorang diri.
"Ada masa saya tertekan menguruskan semua ini, saya menangis. Saya pernah berasa lemah dan patah semangat memikirkan pelbagai benda yang perlu diuruskan sendirian tanpa mama di sisi.
"Tetapi saya beruntung kerana punya abang, kakak ipar dan saudara-mara yang banyak membantu saya dan sentiasa memberi sokongan untuk saya terus kuat," ujar Anne ketika ditemui di sebuah sesi fotografi yang diadakan di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujar Anne, dia dan Nik akan bersanding pada 13 Jun di di Kelab Golf Perkhidmatan Awam bertemakan warna merah jambu dan perkahwinan dalam taman.
Majlis sebelah lelaki pula akan diadakan di kediaman keluarga Nik di Bukit Indah, Ampang, Selangor pada 19 Jun yang bertemakan warna biru dan mengetengahkan ciri klasik dan tradisional.
Melihat Nik yang bekerja sebagai pereka grafik untuk agensi berita Al Jazeera dan Anne ketika berada sesi fotografi, ternyata jelas kelihatan keserasian antara mereka berdua.
Namun, Nik ternyata agak kontra dengan sifat Anne apabila dia lebih banyak memberikan senyuman dan berdiam diri manakala Anne pula mulutnya saling tidak ubah seperti bertih jagung.
Menurut Nik, perbezaan antara mereka berdualah yang membuatkan mereka umpama saling melengkapi kerana walau berbeza mereka sentiasa memahami dan dpat menerima perangai masing-masing.
"Anne seorang berazam tinggi dalam mencapai apa yang dia inginkan, rajin, sentiasa ceria, ramah dan personalitinya itu membuatkan saya terpikat dengannya.
"Bukan rupa paras yang saya pandang tetapi kualiti dan personaliti dalamannya yang menjadi keutamaan saya dan Anne memiliki ciri-ciri wanita idaman saya," ujar Nik yang turut bercerita dia merisik Anne pada 28 November tahun lepas dan mereka membuat keputusan untuk tidak mengikat tali pertunangan.
Bagi Anne pula, dia yang ramah ini menyukai Nik yang pendiam, penyabar, rajin dan amat memahami dirinya dan kerjayanya yang ternyata sungguh sibuk.
Menyambung bicara, menurut Nik, detik perkenalan antara mereka berdua bermula lima tahun lalu apabila kedua-dua mereka bekerja di bawah satu bumbung iaitu MiTV yang beroperasi di KL Plaza.
Anne yang pada waktu itu bertugas sebagai penerbit dan Nik pula sebagai pereka grafik senior sering bekerjasama dan lama-lama mereka menjadi rapat.
Dari keluar makan bersama sebagai rakan sekerja, sering berkongsi cerita, akhirnya ia membuahkan bibit-bibit cinta, namun merek sendiri tidak tahu tarikh sebenar mereka berikrar menjadi pasangan kekasih.
Anne enggan ditaja
Selalunya, apabila mendengar ada selebriti yang ingin menamatkan zaman bujangnya, pasti ada tajaan mana-mana syarikat yang akan terlibat memeriahkan majlis mereka.
Berbeza dengan Anne, dia mahu segalanya dilakukan sendiri dan datang daripada hasil titik peluh sendiri.
Bahkan dia sendiri menguruskan segalanya tanpa mengupah perancang perkahwinan.
Dari konsep, pakaiannya dan pengiringnya, bunga hiasan, hidangan, jurugambar, semuanya Anne yang tentukan sendiri dan mengeluarkan duit mereka sendiri.
Berpengalaman menguruskan perkahwinan abangnya, Anne gemar melayari internet untuk mendapatkan idea serta melihat blog-blog berkaitan dengan perkahwinan yang baginya cukup menarik.
"Cuma pelamin sahaja ditaja oleh Butik Dina Halim. Itupun kebetulan kerana rupa-rupanya pemilik butik itu pernah menjadi rakan serumah saya ketika kami sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
"Pada mulanya saya dan kakak ipar saya mengunjungi butik itu di Rawang kerana tertarik dengan pelaminnya yang saya lihat dalam blognya.
"Itu sahaja yang ditaja, itupun kerana rakan saya itu bersungguh-sungguh ingin menajanya memandangkan kami pernah rapat dahulu," ujar Anne yang akan menggayakan busana rekaan Arma Wedding Couture pada majlis persandingannya nanti.
Kata Anne, menguruskan perkahwinan sendiri tanpa ditentukan oleh orang luar lebih memberikan kepuasan kepadanya kerana ia akan menepati apa yang mereka berdua idamkan untuk majlis mereka.
Pada hari persandingannya, Anne menjelaskan, acara, resepsi anjuran keluarganya bertemakan perkahwinan dalam taman. Acara berkenaan katanya, akan diadakan serba sederhana tetapi meriah.
Menariknya kata Anne, dia tidak perlu pening memikirkan siapa yang perlu dijemput untuk menghiburkan tetamunya nanti kerana ahli keluarga khususnya saudara mata ibunya ramai yang boleh menyanyi, bahkan ada yang mempunyai kugiran sendiri.
Pada majlisnya nanti, saudara-maranya sendiri akan menghiburkan tetamu dan Leya, rakan setugasnya di Hot FM turut berjanji akan menyampaikan sebuah lagu pada hari bahagianya nanti.
"Daripada sepupu sehinggalah makcik dan pakcik saya, ramai yang boleh menyanyi dan bermain muzik. Saya jamin tetamu saya nanti pasti terhibur dengan persembahan mereka.
"Matlamat saya dalam menyempurnakan majlis saya nanti agar semua yang hadir gembira terutamanya ahli keluarga saya yang banyak membantu saya," ujar Anne yang sudah empat tahun bersama Hot FM.
Anne dan bakal suaminya yang merancang untuk menunaikan umrah sebaik selesai hari bahagia mereka juga akan berpindah ke kondominium di Segambut yang dibeli mereka berdua.
Pada majlis pernikahannya nanti, Anne akan menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan selain wang hantaran berjumlah RM11,181 iaitu simbolik hari kelahiran Anne pada 11 Januari 1981.
sedihnya..tak mengapalha itu semua dugaan..
ReplyDelete