Sunday, May 30, 2010

Perkeso buru 300,000 majikan

pix_gal0
Gerakan dilancar Selasa kesan tauke gagal buat caruman

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memburu 300,000 majikan yang gagal atau langsung tidak mencarum pekerja mereka melalui 'Ops Kesan' yang akan dijalankan secara besar-besaran di seluruh negara mulai Selasa ini.Senarai majikan degil itu diperoleh Perkeso berdasarkan maklumat terkini syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga akhir 2009. Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, K Selvarajah, berkata ketika ini hanya 324,000 majikan di seluruh negara dikategorikan pencarum aktif, membabitkan 5.6 juta pekerja.

“Jika dianggarkan 300,000 majikan dengan minimum dua pekerja tidak mencarum, ini bermakna mereka gagal mencarum antara RM300,000 hingga RM39.84 juta sebulan kepada Perkeso,” katanya dalam satu pertemuan, di sini, semalam.

Mengikut jadual caruman Perkeso, setiap pekerja perlu mencarum minimum 50 sen sebulan iaitu 40 sen dibayar majikan dan bakinya caruman pekerja bagi kategori Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat dengan anggapan gajinya RM30 sebulan.

Bagi pekerja yang mempunyai pendapatan maksimum lebih RM2,900 sebulan, nilai carumannya ialah RM66.40 iaitu RM51.56 dibayar majikan dan RM14.75 dibayar pekerja.
Esok ialah hari terakhir ‘pengampunan sementara’ ditetapkan Perkeso kepada majikan yang masih belum mendaftar pekerja mereka dengan agensi itu.
Bagaimanapun, sambutan majikan begitu dingin sejak dilancarkan Ogos 2009.

Selvarajah berkata, majikan ingkar akan dikenakan tindakan tegas jika mereka dikesan dalam Ops Kesan itu.

“Kita percaya ada antara majikan cuba bersembunyi di sebalik alasan syarikat mereka tidak aktif, tetapi Perkeso percaya sebahagian besar daripada syarikat itu masih beroperasi tetapi enggan membayar caruman untuk pekerja mereka.

“Setiap pekerja layak untuk didaftar dan dicarumkan tanpa mengira status sama ada bekerja sementara, percubaan, kontrak atau disahkan jawatan. Itu hak pekerja dan majikan perlu melindungi mereka," katanya.

Mengikut peruntukan undang-undang, majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja atau lebih wajib mendaftar dan membayar caruman setiap bulan kepada Perkeso.

Sebelum ini, tumpuan penguatkuasaan Perkeso lebih kepada syarikat atau premis yang beroperasi mengikut waktu pejabat, tetapi Ops Kesan kali ini yang mendapat bantuan polis dan Rela akan memfokuskan aktiviti di sebelah malam, termasuk pusat hiburan, restoran dan kedai makan.

Katanya, majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Selvarajah berkata ada majikan hanya mendaftar sebahagian kecil pekerja mereka, sedangkan pemantauan pihaknya mendapati syarikat terbabit mempunyai ramai pekerja.

“Soalnya apa akan jadi jika pekerja terbabit mendapat kemalangan di tempat kerja atau ketika dalam perjalanan pergi dan pulang ke rumah,” katanya.

Beliau berkata, masalah timbul apabila pekerja membuat tuntutan Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat dengan Perkeso, sedangkan majikan mereka tidak membuat sebarang caruman, bahkan ada syarikat yang membuat potongan gaji bulanan pekerja tetapi tidak menyerahkannya kepada Perkeso.

katanya, antara syarat wajib membuat tuntutan atau digelar Orang Berinsuran (OB) atau pencarum aktif ialah mereka mesti mempunyai sekurang-kurangnya 12 hingga 24 bayaran caruman dengan Perkeso.

FAKTA
Jumlah majikan mendaftar:


2009: 724,290
2008: 684,465

Aduan 2009:
182 majikan tidak mendaftar
1,049 majikan tidak mencarum atau menghentikan caruman selepas daftar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: