Sunday, May 30, 2010

Cadangan radikal Kampung Baru


KAWASAN rumah kedai di Kampung Baru ini bakal berubah sekiranya cadangan kuota pemilikan 40 peratus bagi bukan Melayu menjadi kenyataan.


KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang untuk membuka kawasan Kampung Baru di sini kepada bukan Melayu dalam usaha untuk membangunkannya daripada kawasan perkampungan kepada pusat perniagaan dan penempatan lebih moden.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (gambar kecil) berkata, bagaimanapun, hak pemilikan tanah orang Melayu di kawasan tersebut tidak akan terjejas biarpun masyarakat bukan Melayu bakal diberikan kuota 40 peratus untuk memiliki hartanah di kawasan berkenaan apabila projek Pembangunan Kampung Baru dilaksanakan kelak.

Katanya, tindakan itu perlu untuk memberikan nilai yang lebih tinggi kepada kawasan itu setanding dengan kawasan sekitarnya seperti KLCC.

"Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan ditubuhkan di bawah Akta Parlimen yang bertindak sebagai badan mekanisme penyeliaan kawalan pemilikan Melayu di kawasan ini.

"Langkah ini dibuat bagi memaksimumkan potensi pembangunan di Kampung Baru. Sekiranya kawasan ini hanya boleh dimiliki oleh orang Melayu, pasti nilai pasarannya tidak setinggi yang dikehendaki dan tiada pihak yang berminat untuk memajukannya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: