Sunday, May 30, 2010

Ayu banyak bertudung

IMPAK drama rantaian ‘berhantu’, Nur Kasih masih belum berakhir buat pelakon jelita yang menggalas watak sampingan sebagai Alia iaitu Ayu Raudhah Che Wan meskipun drama bersiri itu sudah lama terhenti.

AYU... idamkan kelainan dalam watak yang dibawa.
AYU... idamkan kelainan dalam watak yang dibawa.
MANIS... Ayu kini semakin kerap membawakan watak gadis sopan.
MANIS... Ayu kini semakin kerap membawakan watak gadis sopan.

Mahu atau tidak, Ayu terpaksa akur dan cuba menampilkan sisi lain dalam lakonannya meskipun perjalanan watak itu tidak lari jauh dari landasan yang sama.


Pastinya gadis peramah ini bersyukur dengan tawaran yang datang selepas namanya kian melonjak hanya kerana watak dalam drama arahan Kabir Bhatia itu. Bagaimanapun, jauh dalam sudut hatinya, Ayu meronta agar kelainan dapat diberikan kepadanya dan tidak hanya watak yang sama kerana risau peminat akan bosan.


Menurut bintang drama Dilema Wanita, Manjalara dan Dari Mata Arisa ini, rezeki buatnya sudah tertulis dan watak Alia sudah kemas mengikatnya hingga pihak produksi dan stesen TV menginginkan dirinya begitu. Mungkin fenomena yang sudah tertera itu terpaksa ditelan hingga satu masa nanti ia reda dengan sendirinya.


“Saya akui impak Nur Kasih cukup besar hingga meletakkan saya setinggi ini dan saya sentiasa bersyukur kerana sebelum ini juga nama saya pantas popular disebabkan drama bersiri Manjalara. Rezeki sentiasa ada dan terbuka untuk saya. Bezanya menerusi Nur Kasih, watak Alia jauh daripada personaliti sebenar saya dan itu adalah cabaran yang perlu saya galas.

“Bagaimanapun, yang terjadi berbeza daripada apa yang saya bayangkan. Mana tidaknya, sebaik tamat dengan Nur Kasih, saya mula dihujani tawaran untuk kekal sebagai gadis bertudung, baik dan sopan. Ia sama seperti watak dalam Nur Kasih.


Memang saya tiada masalah untuk membawakan watak sebegitu namun sebagai seorang pelakon baru, saya risau peminat akan bosan kerana sering tampil sama.


“Bayangkanlah, telefilem Sapu Tangan Merah untuk RTM saya bawakan watak guru tadika yang bertudung dan sekarang saya baru saja selesai penggambaran drama bersiri Janji Kekasih, masih kekal sebagai seorang pelajar bertudung, Alia.


Kadang-kadang kelakar juga bila memikirkannya namun itu adalah satu label yang makin melekat dalam identiti lakonan saya,” katanya yang turut bertudung ketika berlakon dalam Manjalara sebelum ini.


Walaupun dramatis berusia 25 tahun ini merasakan watak gadis bertudung bagai meletakkan limitasi buatnya meneroka lebih pembaharuan dalam lakonan, bagi keluarganya dan teman lelakinya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Abdul Razak punya pandangan sebaliknya.


“Keluarga saya terutamanya ibu sememangnya suka melihat watak saya yang bertudung dan sopan. Maklumlah ibu pasti mempunyai persepsi sebegitu. Zaquan pula jenis yang tidak kisah sangat dalam soal watak lakonan saya cuma dia sudah perasan akan perkara itu yang mana kemunculan saya di kaca televisyen pasti tidak lekang mengenakan tudung.


“Zaquan memang suka melihat saya bertudung dan melakonkan watak sebagai gadis sopan walaupun ada kalanya dia sendiri nak ketawa menontonnya. Malah dia juga sempat memesan agar saya tidak lagi mengenakan pakaian seksi ketika sesi fotografi selepas ini. Mungkin dia sudah selesa melihat saya bertudung,” katanya.

Menyentuh kerjaya lakonannya sekarang, Ayu yang selesai menjalani penggambaran tiga filem termasuk Nur Kasih The Movie, Madu Empat dan Durian vs Timun ini sekali lagi tampil imej bertudung dalam drama bersiri berjudul Kau Laksana Bulan. Drama ini akan ditayangkan setiap Isnin, jam 8.30 malam bermula esok di TV2.


Masih berpijak pada karektor yang sama, cuma kali ini Ayu beraksi sebagai seorang penulis yang didatangi beberapa lelaki yang ingin berlabuh di hatinya. Berlakon di samping barisan pelakon popular seperti Fizo Omar, Ashraf Muslim dan Zul Huzaimy, Ayu hanya menganggap drama bersiri arahan Mohd Azhar Khalid ini menyingkap satu kelainan personaliti lakonannya.


“Saya sebenarnya gembira dan tidak sabar untuk menyaksikan sendiri drama ini kerana jalan ceritanya berbeza serta menarik untuk ditonton. Saya sebagai Adrianna berdepan konflik antara keinginan diri dan permintaan ibunya. Dalam pada itu, muncul pula beberapa lelaki yang inginkan cintanya sehingga memberatkan lagi masalah Adrianna.


“Drama ini sebenarnya menarik kerana ia tidak hanya berfokus pada elemen drama semata-mata sebaliknya ada juga suntikan romantik, suspens, aksi dan persoalan misteri,” katanya.


Drama adaptasi daripada novel Kau Laksana Bulan, karya Aina Emir ini turut banyak lagi dramatis popular yang lain seperti Marisa Yasmin, Kenchana Dewi, Dian P Ramlee, Fadilah Mansor dan Aznah Hamid.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: