KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 penghuni Rumah Panjang Jinjang Utara di sini, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kerana selain dikelilingi puluhan rumah terbiar dan tidak berpenghuni, kini terpaksa berdepan kumpulan samseng yang ‘berkampung’ di situ.
TERBIAR...rumah terbiar di Jinjang Utara dipercayai dijadikan tempat kegiatan jenayah.
Tinjauan Metroplus mendapati kawasan rumah terbiar itu ibarat ‘neraka’ apabila rumah terbabit boleh roboh bila-bila masa dengan dinding kayu, sampah serta kepingan bumbungnya bertaburan di kawasan berdekatan membahayakan orang ramai.
Pengerusi persatuan penduduk di situ, T Yanaparagasam, yang sudah empat tahun dibelenggu masalah berkenaan, mendakwa keadaan lebih berbahaya apabila dinding batu serta tiang kayu rumah dua tingkat yang tidak kukuh itu menunggu masa untuk roboh.
Menurutnya, punca kuasa elektrik yang masih berfungsi di rumah terbabit juga menghantui keluarga berdekatan yang bimbang keselamatan anak mereka yang mungkin terkena renjatan elektrik apabila sering dilihat bermain di situ.
Katanya, bukan itu saja, rumah yang ditinggalkan turut digunakan beberapa lelaki dipercayai penjenayah menjalankan operasi jenayah mereka.“Mereka menggunakan ruang atas rumah terbabit bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa kerana bahagian bawah rumah yang sudah hancur tiada siapa menyangka ia masih berpenghuni.
“Kegiatan mereka dikesan penduduk berdekatan yang melihat kelibat mereka pada waktu malam yang berkumpul di kawasan itu,” katanya.Beliau mendakwa, rumah itu digunakan sebagai tempat melakukan aktiviti jenayah seperti penjualan dadah oleh kumpulan lelaki dipercayai samseng di sini.
Dia berkata, pelanggan dipercayai datang dari luar kawasan terbabit dan menjalankan urus niaga di situ.
Yanaparagasam berkata, mereka bukan saja melakukan aktiviti jenayah berkaitan dadah, malah rumah jiran tetangga berdekatan turut dirompak.
Sebelum ini katanya, dia sering terserempak kumpulan terbabit yang memecah masuk rumah jirannya yang ketika itu tidak berada di rumah kerana dimasukkan ke hospital.
“Mereka memecah masuk rumah jiran saya itu melalui dinding rumah terbiar yang berada bersebelahannya.
“Beberapa laporan polis dibuat, namun ia masih berlaku,” kata Yanaparagasam.
Katanya, perumahan yang menempatkan lebih 1,000 penduduk itu turut terdedah pelbagai bahaya lain termasuk bahaya penyakit berjangkit yang berpunca dari rumah terbiar berkenaan.
“Terdapat 1,400 rumah di sini dengan hampir 500 daripadanya kosong dan perlu dirobohkan.
“Jika langkah susulan tidak diambil, ia bakal membawa kesan kepada orang ramai yang masih menghuni di sini,” katanya.
Menurutnya, rumah di situ juga dipercayai disewakan kepada warga asing apabila kerap terserempak lelaki Afrika yang keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.
“Kami pelik bagaimana warga asing terbabit menyewa di kawasan berkenaan yang majoritinya penduduk tempatan.
“Kami risau kerana warga asing terbabit sering dikaitkan dengan aktiviti jenayah tambahan mereka tidak mempunyai kerja tetap,” katanya.
Yanaparagasam berkata, kawasan rumah terbiar itu bakal menjadi sarang pembiakan aedes memandangkan ia terdapat banyak kawasan takungan air.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad, ketika dihubungi berkata pihaknya sudah dimaklum mengenai perkara itu dan sudah mengambil tindakan sewajarnya di kawasan berkenaan.
“Kawasan terbabit ialah kawasan yang dikenal pasti polis sebagai kawasan panas di daerah Sentul.
“Kami sudah mengambil tindakan sewajarnya termasuk sentiasa menjalankan rondaan di kawasan itu,” katanya.
Kata Zainuddin, dialog bersama penduduk juga sering diadakan bagi mengetahui masalah mereka dan pihaknya beberapa kali mencekup mereka yang dipercayai samseng.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: