Friday, May 28, 2010

Dulu rasa terpinggir

AIR matanya berlinangan tanpa henti kala namanya tidak dipanggil bagi menyertai kelompok 16 peserta utama The Biggest Loser Asia musim pertama, baru-baru ini.

DULU DAN KINI...Zenny (kiri) sebelum menyertai The Biggest Loser  Asia dan selepas berjaya menurunkan 33kg (kanan).
DULU DAN KINI...Zenny (kiri) sebelum menyertai The Biggest Loser Asia dan selepas berjaya menurunkan 33kg (kanan).
TERUSKAN USAHA...Zenny kini giat mengekalkan berat badannya untuk  tampil lebih sihat dan cergas.
TERUSKAN USAHA...Zenny kini giat mengekalkan berat badannya untuk tampil lebih sihat dan cergas.
Farrah Zenny Lyn Salihuddin tanpa silu memperlihatkan kesedihan dan kekecewaannya di kaca televisyen yang disaksikan berjuta penduduk Asia menerusi saluran Hallmark (Astro 702) selepas tidak tersenarai mengikuti program realiti itu.


Dengan berat badan mencecah 104 kilogram (kg), wanita yang lebih dikenali sebagai Zenny itu menganggap impiannya untuk tampil langsing tidak kesampaian dan merasakan dirinya sudah ditakdirkan untuk kekal obes.


"Saya terlalu sedih kerana merasakan itu saja cara untuk mengubah diri dan fizikal saya supaya lebih sihat dan cergas. Sejak kecil badan saya agak gempal hingga menjangkau usia dewasa.


"Saya tidak tahu bagaimana untuk mengawal makan, malah saya tidak kisah dengan apa yang saya makan. Ahli keluarga yang lain tidak mengalami masalah ini walaupun mereka juga tidak kawal pengambilan makanan dan makan tidak kira masa.


"Selama ini saya cuba terima hakikat bahawa kredibiliti seseorang dinilai daripada tahap keyakinan serta pencapaian dan bukannya daripada penampilan luaran.


"Tapi, walau sekuat mana pun saya berusaha tampil yakin, saya tetap rasa terpinggir. Saya tetap merasakan diri tidak sebaik atau seelok orang lain. Saya cuba tunjukkan wajah ceria sedangkan hati saya remuk mendengarnya," katanya.


Biarpun kecewa kerana tidak terpilih menyertai kelompok utama itu, pihak penganjur kemudian menawarkannya peluang berentap bagi cabaran di rumah bersama 13 peserta lain yang turut tidak tersenarai.

Menerusi bimbingan jurulatih khas dan laman web The Biggest Loser Club Asia, Zenny akhirnya berjaya menurunkan 33kg, sekali gus dinobatkan juara bagi cabaran itu dengan berat 71kg.


Kemenangan itu membolehkan wanita kelahiran Selangor ini membawa pulang tiga hadiah utama iaitu wang AS$10,000 (RM33,499) daripada Hallmark, AS$2,000 (RM6,700) daripada Pay Pal dan keahlian percuma seumur hidup dengan Fitness First.


Sebagai salah seorang daripada 14 peserta di rumah, Zenny juga diberi kemudahan menjalani latihan bersama jurulatih khusus daripada Fitness First, sama seperti 16 peserta dalam kelompok utama dan menggunakan diari dalam laman web The Biggest Loser Club Asia.


"Saya diberi peluang kedua untuk menurunkan berat badan dengan betul, jadi saya terus menetapkan sasaran tinggi demi kepentingan karier dan masa depan saya.

"Saya tidak letakkan sasaran untuk kurus tapi saya mahu lebih sihat. Banyak perkara dalam hidup ini yang ingin saya lakukan dan ia hanya berjaya dilaksanakan jika saya sihat fizikal dan mental."Sebelum menurunkan berat badan, saya sentiasa letih dan cuba mengelak berjalan jauh kerana mudah penat. Tapi saya kini sudah mampu lakukan pelbagai perkara termasuk berlari, menari dan menyertai aktiviti," ujarnya.


Jurulatih kecergasannya, Fidie, seorang yang tegas dan efektif dalam memastikan wanita berusia 20 tahun itu melakukan senaman yang sudah dirancang seperti aktiviti berbasikal, berlari dan menggunakan mesin di gimnasium.

"Latihan bersama Fidie sebenarnya amat menyeronokkan. Kami jarang berlatih di gimnasium kerana ia membosankan apabila kerap melakukan rutin yang sama.

"Jadi, latihan kami diselangselikan dengan aktiviti luar. Pernah ke satu tahap di mana Fidie duduk di atas motosikal lalu menyuruh saya menolaknya di sekitar Mutiara Damansara hinggakan orang ramai pun pelik melihat gelagat kami.


"Disebabkan sudah terbiasa dengan aktiviti latihan di luar, saya kini sentiasa membawa kasut sukan walaupun ke mana pun saya pergi. Setiap kali berkelapangan, saya akan bersenam - tidak kira berlari di kawasan sekitar atau ke gimnasium hotel penginapan," tambahnya.


Di samping itu, Zenny turut mempelajari cara yang betul untuk membakar lemak, membaca label dan mengira kalori dalam setiap pengambilan makanannya menerusi penggunaan diari itu."Diari itu amat berguna kerana saya dapat mengira kalori dalam setiap makanan yang saya ambil, malah saya turut belajar lebih lanjut mengenai makanan itu.


"Semua yang saya perlukan ada dalam laman web itu dan ia banyak membantu saya kekalkan berat badan yang seimbang. Kualiti hidup saya juga bertambah baik, lebih sihat dan cergas.

"Saya lebih berhati-hati mengambil makanan dan sudah mampu mengawal tahap pengambilannya. Walaupun sesekali saya mengambil makanan segera, saya tidak menjadikannya sebagai tabiat dan akan pastikan bersenam pada kadar tambahan," ujarnya.


Karier sebagai penyanyi separuh masa juga nyata menjadi pendorong utama bagi penuntut tahun kedua Program Ijazah Amerika Syarikat jurusan komunikasi di Kolej Universiti Segi itu yang pernah beraksi selama tiga bulan di Bangkok Jazz, beberapa tahun lalu. Malah Zenny pernah menyertai pertandingan nyanyian DiGi CelebriTeen pada 2007.


"Industri muzik dan media di negara ini masih tidak terbuka dengan idea penyanyi berbadan besar. Tidak semua penyanyi berbadan besar diberikan peluang menunjukkan bakat mereka seperti Adibah Noor.

"Media juga sering tidak adil dengan penyanyi berbadan besar, apatah lagi jika seseorang itu masih baru. Jadi, saya rasa perlu lakukan sesuatu pada diri jika ingin memasarkan bakat saya kepada umum.


"Saya pernah beberapa kali menyertai sesi uji bakat program nyanyian tapi ia amat mengecewakan. Lebih menyakitkan hati apabila saya digelar isteri Shrek (filem animasi terbitan DreamWorks Pictures).


"Tapi keadaan itu kini berubah selepas saya berjaya menurunkan berat badan. Orang ramai mula ambil serius dengan nyanyian saya. Keadaan itu membuatkan emosi saya lebih terkawal dan rasa gembira dengan pencapaian ini.

"Andainya saya tiada rezeki menjadi penyanyi, saya mahu tampil di khalayak sebagai pengacara, wartawan atau apa saja yang berkaitan dengan bidang komunikasi media," katanya.


Selain sibuk menguruskan karier dan pengajian, wanita ceria ini tidak ketinggalan terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan antaranya Kelab Leo dan Malaysian Celebrities Go Green bersama rakannya seperti Dina (finalis Malaysian Idol musim pertama), Azizi Zakaria (penyanyi dan duta NKF), Baki Zainal (selebriti 8TV dan pelakon) serta Soo Wincci (Ratu Malaysia 2008/2009).


Kumpulan itu memberi tumpuan dalam membantu memperbaiki dan menghijaukan alam sekitar menerusi gerakan membersih pantai, menanam lebih banyak pokok di kawasan tanah lapang dan menjalankan kempen kitar semula di kalangan remaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: