Monday, May 31, 2010

Mahu eksport kerisik ke pasaran dunia


KERISIK yang telah siap dimasak sebelum menjalani proses pembungkusan.


MEMEGANG kata-kata semangat Arab, 'sujaah' yang bermaksud keberanian, anak muda berusia 25 tahun ini tidak pernah gentar mengharungi suka-duka dunia perniagaan.

Malah, bagi Abdul Latif Othman, pengalaman menceburi bidang tersebut sejak berumur 15 tahun banyak membantunya memahami cabaran sebagai seorang usahawan.

"Saya memang minat berniaga dan menjadikan prinsip hidup berani mengambil risiko sebagai pendorong untuk berjaya dalam bidang ini.

"Peringkat awal pendedahan diterima daripada ayah ketika membantunya mengusahakan perniagaan kerisik,'' katanya ketika ditemui pada lawatan media anjuran Agrobank di Kampung Laneh, Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

Sebaik tamat sekolah menengah, anak sulung daripada 10 beradik itu menyambung pengajian Diploma Syariah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Ipoh, Perak.

Dia kemudiannya mendapat tawaran meneruskan pengajian Ijazah Syariah Undang-Undang di Mesir tetapi mengambil keputusan untuk menangguhkannya kerana ingin memberi fokus kepada perniagaan.

Dengan bermodalkan wang hasil simpanannya, Abdul Latif telah membuka kilang memproses kerisik di Kuala Kangsar selepas menamatkan pengajian diplomanya.

Pada tahun 2008 pula, dia telah membuat pinjaman bernilai RM50,000 daripada Agrobank sebagai usaha memperkembangkan operasi kilang.

Kini, dia boleh menghela nafas lega kerana syarikatnya yang dibangunkan menerusi penjenamaan Sujaah Enterprise telah mempunyai beberapa cawangan di Ipoh dan juga di Bagan Datoh, Perak.

Untuk memastikan produk kerisiknya mempunyai kualiti yang baik, sedap dan wangi, dia telah mempelajari teknik memasak makanan itu daripada bapanya.

"Memang ramai orang tahu buat kerisik, tetapi tidak semua mengikut cara yang betul.

"Sebenarnya, kelapa tua sangat sesuai digunakan untuk menghasilkan kerisik selain perlu dicampur dengan kelapa muda bagi mengeluarkan bau wangi,'' jelas bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Abdul Latif memberitahu, penetapan tempoh memasak itu adalah berdasarkan permintaan pelanggan.

"Tempoh ini akan menentukan warna kerisik kerana lebih lama ia dimasak, warnanya akan menjadi lebih gelap mengikut kadar pecahan minyak.

"Ia sesuai digunakan dalam penyediaan hidangan seperti rendang, kari, kerabu dan inti roti,'' katanya.

Kerisik yang telah siap dimasak akan dipek dalam bungkusan kemas dengan pilihan berat 100 gram, setengah kilogram (kg) dan satu kg.

Bagi mengurangkan bahan buangan kilangnya, dia mengambil langkah membakar tempurung kelapa yang tidak digunakan untuk membentuk kiub arang sebelum dijual kepada syarikat yang memerlukannya.

Dengan kapasiti enam orang pekerja, syarikatnya mampu mengeluarkan enam tan kerisik dalam masa sebulan dengan penggunaan 400 biji kelapa sehari.

Mengenai sumber bahan mentah pula, 10 peratus bekalan kelapa diperoleh daripada Indonesia manakala selebihnya dia bersama ayahnya memajak kebun kelapa seluas 30 ekar di Kuala Kangsar bagi mengurangkan kos pengeluaran.

Kebanyakan kerisik keluaran syarikatnya akan dipasarkan ke seluruh kawasan Semenanjung termasuk jualan secara borong kepada pasar raya besar. Harganya pula adalah sekitar RM6 hingga RM7 sekilogram.

"Pada masa depan, saya memang berhasrat untuk memperluaskan pasaran kerisik ini ke peringkat global pula,'' jelasnya yang mendapat sokongan penuh daripada isteri serta keluarga untuk terlibat dalam bisnes tersebut.

Selain bantuan input daripada ayahnya, Abdul Latif turut mendapat bimbingan perniagaan daripada beberapa jabatan agensi seperti Jabatan Pertanian, Mara dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Produk-produk keluarannya turut dipromosikan melalui penyertaan pameran serta ekspo seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

Untuk memperluaskan lagi perniagaannya, dia turut menghasilkan pelbagai produk kosmetik dan kesihatan berasaskan buah kelapa dara gred A seperti sabun, minyak rambut, minyak urut, jeli kelapa, nata de coco dan sebagainya.

Tidak terhenti setakat itu, beliau ketika ini merancang untuk membuka kilang menghasilkan santan segar pula.

"Menerusi perluasan operasi ini, saya ingin buktikan bahawa belia juga mampu bersaing dalam dunia perniagaan kerana peluang ada di mana-mana,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: