Sunday, May 30, 2010

Nasi kukus istimewa


NASI goreng kambing.


Nasi yang dimasak cara biasa selalunya melekit tetapi nasi kukus nyata berbeza. Kelainan terletak pada butir nasi yang lebih peroi. Ia juga tidak mengeras biar pun dipanas untuk tempoh yang lama. Ini menjadikan nasi kukus paling sesuai dimakan bersama lauk berkuah atau dibuat nasi goreng.

Keistimewaan nasi kukus itu diketengahkan Restoran Nasi Kukus yang terletak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Restoran berkonsep kopitiam Melayu yang dibuka sejak 10 bulan lalu itu menyediakan pelbagai variasi hidangan nasi kukus dengan lauk pilihan.

Pengurus restoran, Suhaimi Ab Halim berkata, kebanyakan resipi adalah warisan keluarga pemilik, Zakiah Arifah di samping beberapa resipi tambahan yang disediakan chef.

Pelbagai pilihan lauk seperti ayam goreng berempah, sup tulang dengan ikan masin, pais sotong, udang lemak kuning dan banyak lagi, pasti membangkit nostalgia lama.

Alangkah enaknya menikmati nasi kukus panas bersama sup tulang, disertakan sekali dengan ikan masin dan sambal belacan. Begitu juga dengan set ayam berempah yang disertakan tiga kuah campuran.

Suhaimi berkata, bagi menghasilkan nasi kukus dalam kuantiti yang banyak, mereka menggunakan sebuah periuk kukus besar setinggi lima tingkat.

Menurutnya, beras yang sudah dibasuh diletakkan dalam mangkuk kecil bersama air secukupnya. Kemudian dimasak selama 15 minit. Istimewanya tekstur nasi kukus tetap kekal lembut biar pun dipanas kanbeberapa kali.

Bagi yang ingin menikmati hidangan ringan, terdapat pelbagai pilihan mee dan kuisin Barat yang menyelerakan. Antaranya hor fun makanan laut, mee bandung, nasi goreng kambing, nasi goreng beriani, Pan Grill Fish, California Steak Sandwic, spaghetti marinara dan banyak lagi.

Menjanjikan harga yang berpatutan, menikmati hidangan di Restoran Nasi Kukus pastinya menggamit nostalgia, apa lagi tatkala terpandang gambar-gambar lama milik keluarga pemilik terpampang di dinding restoran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: