Sunday, May 30, 2010

Tarian jalanan bukan perosak


KEMAMPUAN beraksi sesebuah kumpulan tari B-Boying terletak pada keunikan gaya serta stamina setiap penari.


MENJADI program realiti 'battle dance' terbaru terbitan 8TV, Showdown 2010 yang disiarkan setiap Rabu dilihat antara program yang berjaya mencuri perhatian ramai penggemar seni khususnya tarian walaupun formatnya tidak dipinjam daripada program realiti luar negara.

Sarat dengan gerak tari krumping, popping, locking dan break dancing serta banyak lagi istilah tarian yang memfokuskan stamina dan energi di atas pentas, pertandingan pencarian krew penari jalanan itu dilihat sebagai platform terbaik untuk mengetengahkan bakat baru bidang tarian tanah air.

Kelihatan sedikit agresif, liar dan bagai pesta tari anak muda, bagaimanapun kepada sembilan lagi krew yang masih meneruskan pertarungan, penyertaan dalam Showdown bukan setakat mengejar habuan RM50,000.

Tiga anak muda, Alam, Becky dan Safwan dicuri waktu mereka untuk meluahkan makna tarian dalam hidup mereka.

Sensasi Bintang: Selain kejuaraan, apa rancangan peribadi kalian dalam bidang ini?

ALAM (A): Saya tidak menyasarkan kejuaraan sebagai perkara utama. Lebih penting adalah pengalaman dan mengutip emosi berdepan cabaran sesebuah pertarungan itu yang tidak boleh diperoleh dalam mana-mana acara.

Emosi pertandingan realiti TV tidak sama dengan pertandingan yang biasa. Bersama kumpulan saya, Wakaka Krew, kami hanya mahu menonjolkan bakat yang ada dan bertekad memberi persembahan terbaik setiap minggu.

Di luar pertandingan, saya ada menubuhkan Cinta.bboy.net, satu perhimpunan pencinta break dance. Di situ kami merancang bagaimana hendak memperkemaskan gerakan kami.

Saya mahu masyarakat tahu bahawa tarian bukan seni yang tidak memberi manfaat dan saya sudah nampak kesedaran itu bila ramai ibu bapa mula menghantar anak-anak mereka ke kelas tarian.

BECKY (B): Masuk ke senarai Top 10 sudah cukup memberi rasa syukur buat saya dan ahli kumpulan yang lain. Kalau boleh saya mahu menerokai banyak lagi ilmu tarian yang tidak saya ketahui.

Saya mahu sambung belajar di luar negara dan merancang hendak ke Jepun dan London jika berpeluang.

Ogos nanti saya akan menyertai satu pertandingan line dance dan mewakili Malaysia ke London.

SAFWAN (S): Kumpulan saya baru beberapa bulan ditubuhkan dan pencapaian dalam Showdown adalah membanggakan. Saya masih baru.

Hasrat saya, jika kembali ke Sabah nanti, tarian dan kumpulan kami akan lebih dihargai dan mendapat tempat di hati semua.

Saya sendiri sanggup menunda pengajian saya di politeknik di Sabah semata-mata mahu terlibat dalam pertandingan ini.

Bagaimana kalian melihat 'status' tarian dalam masyarakat sekarang?

A: Rasanya sudah ramai rakyat Malaysia yang membuka mata terhadap tarian termasuklah dari aspek budaya.

Contohnya dalam pertandingan ini, tarian sudah dinilai ke satu tahap yang profesional. Tarian dalam pertandingan sebegini bukan seperti menari di lantai kelab malam atau untuk mencederakan diri, sebaliknya kami bertanding secara sihat dan tidak berbahaya.

Sebagai penari, saya pernah mendapat bayaran yang tidak setimpal.

Saya harap selepas ini orang ramai akan sedar bahawa tarian juga satu pekerjaan yang menuntut kepakaran dan profesionalisme.

Benar, penyanyi itu lebih utama dalam sesuatu persembahan tetapi penari juga penting terutama kepada golongan cacat pendengaran.

B: Tarian berkait rapat dengan kemampuan fizikal dan tubuh yang sihat. Ia juga boleh menghilangkan tekanan dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai tarian.

Saya pernah dibayar RM100 bahkan serendah RM50 untuk lima persembahan. Jadi, pendedahan masyarakat kepada pertandingan ini sangat wajar.

S: Dahulu tarian dianggap sebagai bidang yang tiada masa depan tetapi pemikiran itu sedang berubah.

Sokongan dan penyertaan semua pihak khususnya ibu bapa mampu mendorong lebih ramai anak Malaysia mencipta nama besar dalam bidang ini.

Dari segi inspirasi koreografi, apa yang dilakukan?


BECKY, Alam dan Safwan mahu masa depan tarian, B-Boying khususnya tidak disalah tafsir sebagai tarian budak nakal.


ALAM: Selalunya inspirasi akan datang apabila melihat tarian penari luar negara.

Saya hanya akan ambil asasnya sebelum menambah dan mencipta gerakan baru mengikut trend terkini dan apa yang sedang digemari pengikut tarian di sini.

Biasanya, asas itu akan menyumbang kekuatan kepada gerak tari secara individu. Adakalanya filem-filem Melayu klasik seperti filem Tan Sri P. Ramlee boleh mendatangkan inspirasi buat saya.

BECKY: Sekarang laman web YouTube banyak membantu dari segi idea dan inspirasi. Saya gemar merujuk kepada video luar, belajar cara gerakan mereka dan bagaimana hendak hasilkan langkah tari yang menarik.

Kalau ada gerakan-gerakan yang sukar, saya tidak paksa diri sebaliknya hanya ambil gerakan yang mampu dilakukan sebab saya tidak handal dalam bidang hip hop atau breakdance.

S: Biasanya kami tidak akan tiru kesemua gerak tari penari luar. Kami ambil dan ubah ikut cita rasa sendiri.

Saya banyak tengok video klip dari Korea dan Amerika Syarikat dan untuk satu lagu biasanya akan mengambil masa selama seminggu untuk memahami koreografinya.

Bagaimana pula ketulenan atau jati diri gerak tari kalian?

A: Setiap penari secara individu atau berkumpulan harus ada ketulenan atau keunikan sendiri tetapi tarian bukan satu seni yang bermusim.

Saya dan ahli kumpulan mahu pastikan semua bentuk tari dapat dikuasai, itu bukan maknanya kami tamak. Untuk tarian B-Boying, rasanya penyampaian kami ada keunikan.

B: Kami masih mahu menjaga ketulenan gerak dan langkah tarian kami tetapi dalam masa yang sama, kami kena seiring dengan trend sekarang.

Sedikit terkebelakang, kumpulan saya terdiri daripada semua anggota wanita, jadi bila beraksi sebagai penari break dance, akan menampakkan sedikit kejanggalan.

Dari situ akan terbentuk idea-idea sendiri tapi masih tidak menyimpang daripada konsep breakdance.

SAFWAN: Saya berpegang pada kata-kata seorang penari B-Boy popular dari Kanada, katanya, 'untuk dikenali ramai, kamu harus ada jati diri'.

Bagi saya, jati diri itu ada dalam diri tetapi dalam masa yang sama haruslah versatil. Dalam setiap persembahan, kami pastikan ada gerak tari kami sendiri supaya orang akan ingat dan kenal kami.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: