PENGKRITIK tetap Akademi Fantasia 8, Adlin Aman Ramlie khabarnya pernah mengatakan bahawa muzik jazz bukanlah muzik mainstream.
Maulana yang menduduki tempat keempat tidak bersetuju dengan pandangan Adlin.
Ini menguatkan azamnya untuk membuktikan pandangan juri tersebut adalah meleset sama sekali.
"Saya betul-betul nak ketengahkan muzik jazz. Saya nak sahut cabaran Adlin bahawa muzik jazz ini bukan muzik mainstream.
"Saya harap dapat ketengahkan muzik jazz dengan cara saya yang tersendiri. Bukan jazz yang berat. Saya akan mudakan dan tampankan jazz ini," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.
Pelajar Diploma Reka Bentuk Industri, Universiti Teknologi Mara Shah Alam ini ditemui seusai konsert akhir AF8 selesai.
Maulana memberitahu, dia sangat bertuah kerana dapat mengetengahkan muzik jazz ini di bawah naungan Pengetua AF8, Cikgu Norman Abdul Halim.
"Dulu, mungkin konsep AF dulu lain, macam-macam muzik. Tapi kali ini, mulai minggu ketiga, mereka dah tentukan aliran muzik... Jadi, saya sangat beruntunglah pada AF8 ini," jelasnya.
Maulana amat yakin jazz berpotensi diangkat ke peringkat mainstream seperti yang dibuktikan oleh penyanyi jazz terkenal, Datuk Sheila Majid.
Katanya, dia mampu membawa muzik jazz sehingga 'meletup'.
"Jadi, kenapa saya tak bolehkan? Kalau orang lain boleh lakukannya, saya turut boleh lakukannya," katanya dengan penuh keazaman.
Akui Maulana, dia amat terpengaruh dengan penyanyi handalan jazz seperti Michael Bubley dan Frank Sinatra.
"Untuk memastikan impian saya tercapai, saya kena ubah sikap, rendah diri, jangan cakap besar dan kena tahu berkomunikasi kerana saya kini menjadi figura awam," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: