PENAMPANG: “Saya tidak mampu berbuat apa-apa, dan hanya mendengar jeritan dua kanak-kanak yang terperangkap di bilik air, dan seorang daripadanya adalah anak saya sendiri,” kata Izman Mansur, 20, bapa kepada seorang mangsa yang meninggal dunia dipercayai lemas terhidu asap dalam kejadian kebakaran di Jalan Shantung, di sini, semalam.
MENGHARUKAN... Azmil dan Nursiah melihat anggota bomba mengusung mayat anaknya, semalam.
Izman, bapa kepada Azmil, berkata ketika kejadian, dia tidur dalam bilik sebelum dikejutkan oleh anak perempuannya mengenai kebakaran lalu menyebabkannya bergegas ke lokasi dan ketika itu api sedang marak.
“Lalu saya mengejutkan isteri dan mencari seorang lagi anak tetapi tiada. Ketika saya cuba memadam api yang semakin marak itu, saya terdengar jeritan meminta tolong dari bilik mandi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Dia kemudian cuba menyelamatkan anaknya bersama seorang lagi anak jirannya itu tetapi tidak berdaya kerana api semakin marak.
“Saya hanya mampu menyelamatkan isteri dan anak saya serta seorang lagi anak jiran sambil dibantu orang ramai. Saya sekali lagi cuba untuk memadam api itu bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa tetapi gagal,”katanya yang turut mengalami kecederaan di kaki.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Nursiah Ibrahim, 22, berkata jika tidak kerana anak perempuannya yang mengejutkan suami, mungkin mereka sekeluarga mati terbakar.
“Ketika kejadian, saya sedang tidur dan dikejutkan oleh anak perempuan saya yang juga adik kepada mangsa. Saya cuba menyelamatkan diri dengan melalui tangga bersebelahan bilik kami tetapi gagal kerana api sudah marak, dan suami menyuruh saya melompat melalui tingkap bersama anak,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bomba Sabah, Khirudin Drahman, berkata ketika kebakaran berlaku, kedua-dua mangsa terbabit terperangkap di dalam bilik mandi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: