Sunday, May 30, 2010

Pesona alam Endau Rompin


KETENANGAN yang menanti pelawat di chalet Kuala Jasin.


HUTAN tropika Endau- Rompin sudah lama dikenali sebagai syurga di kalangan pengkaji dan penyelidik alam semula jadi. Namun masih ramai yang tidak menyedari keistimewaan taman negara kedua terbesar di Semenanjung Malaysia itu.

Mungkin tarikan Taman Negara Pahang terlalu kuat sehingga mengaburi taman-taman negara lain di negara ini atau mungkin Taman Negara Endau-Rompin sendiri masih kurang dipromosikan.

Jika dibandingkan dengan Taman Negara di Pahang, hutan seluas 80,000 hektar di Johor itu tidak kurang menariknya. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan tarikan hutan dan sungai di Endau Rompin lebih menakjubkan.

Air Terjun Buaya Sangkut, Tasik Air Biru, Upih Guling dan Gunung Janin Barat antara tarikan yang telah diceritakan pada minggu yang lalu. Kali ini WOW! berkongsi tiga lokasi penginapan di taman negara itu sebagai panduan.

Pada lawatan ke taman negara yang diuruskan oleh Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) yang lalu saya diiringi Fakhrul Annuar Mohamed Shukri selaku Pegawai Interpretasi Perbadanan Taman Negara Johor.

Kompleks Pelawat

Dari pintu masuk Kahang, perjalanan menaiki pacuan empat roda (jalan tanah merah) sejauh 63 kilometer akan membawa pelawat ke stesen pertama iaitu Kompleks Pelawat di Kampung Peta.

Kompleks menyediakan pelbagai kategori penginapan bermula dari bilik standard yang disewa pada harga RM80, bilik keluarga (RM150) dan bilik VIP (RM180).

Untuk kemasukan kumpulan yang lebih besar, asrama yang memuatkan sehingga 80 orang dewasa boleh didapati pada harga RM10 manakala bayaran RM5 dikenakan untuk kanak-kanak.

Kemudahan asas lain yang disediakan di sekitar kompleks yang di kelilingi hutan itu termasuk surau, kafetaria, galeri maklumat dan taman botani yang menghimpun pelbagai spesies tumbuhan kecil.

Bagi pelancong yang mengikuti pakej untuk beberapa hari, kompleks itu biasanya menjadi penginapan pada hari pertama dan hari terakhir kerana tarikan utama di taman yang dibuka pada tahun 1985 itu terletak di Kuala Marong dan Kuala Jasin.

Berhampiran kompleks itu pelancong boleh meluangkan masa untuk melawat perkampungan Orang Asli Jakun di Kampung Peta untuk menyaksikan demonstrasi pemasangan jerat haiwan dan permainan Kerchang.

NERC

Pada sebelah petang, Fakhrul Annuar membawa kumpulan kami ke pengkalan bot yang terletak di hujung Kampung Peta. Destinasi seterusnya adalah ke Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Alam (NERC) yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan menyusuri aliran sungai antara yang paling jernih di negara ini.

NERC merupakan kompleks pertama yang dibangunkan di taman negara itu. Pusat itu kini menempatkan dewan, makmal, perpustakaan dan penginapan yang menjadi lokasi utama penyelidikan flora dan fauna di Endau Rompin. NERC juga dibuka kepada pelawat.

Kuala Jasin

Penginapan chalet yang terletak di antara Sungai Endau dan Jasin

itu adalah lokasi terbaik bagi mereka yang ingin melarikan diri daripada kesibukan kota.

Chalet kayu yang dibina dengan reka bentuk rumah Melayu lama itu mempunyai tiga bilik termasuk satu bilik master dan bilik air. Di halamannya, pengunjung disediakan pondok rehat dan bangku untuk aktiviti berkumpulan. Bagi yang ingin turun bermandi-manda, kolam mandi semula jadi yang terbentuk daripada aliran Sungai Jasin sedia menanti. Harga penginapan di Kuala Jasin ditawarkan sama dengan penginapan di Kompleks Pelawat.

Kuala Marong

Dari Kuala Jasin, perjalanan ke Kuala Marong menaiki pacuan empat roda memakan masa kira-kira 30 minit. Kuala Marong merupakan pintu masuk dua lokasi utama iaitu jeram Upih Guling dan Tasik Air Biru yang terletak kira-kira 10 minit jalan kaki.

Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman berkhemah, tapak-tapak perkhemahan disewakan pada harga RM10 semalaman.

Tarikan di kawasan itu ada aliran sungai sejernih kristal yang merupakan kawasan konservasi beberapa spesies ikan yang kian terancam seperti Kelah dan Tengas.

Maklumat lanjut mengenai penginapan dan lawatan ke TNER termasuk pakej aktiviti kayak dan meredah hutan boleh diperolehi dengan menghubungi Pejabat Taman Negara Endau-Rompin di Kahang, Johor di talian 07-7882812.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: