Friday, May 28, 2010

Projek Pistol Band Playboy?


Playboy, hanya metafora menggambarkan bagaimana Projek Pistol menyuntik elemen percintaan dan pastinya wanita menjadi fokus utama dalam lagu-lagu yang diilhamkan. Diakui Edrie Hashim, band ini cuba menarik peminat wanita untuk menghayati setiap bait lirik dan alunan muzik yang disampaikan.

"Projek Pistol adalah ladies band. Kami memainkan lagu-lagu cinta dan banyak mengutarakan subjek wanita dalam lagu. Boy (vokalis) gelar Projek Pistol sebagai band playboy kerana banyak lagu yang disampaikan khas untuk wanita diantaranya Wanita Seluruh Dunia.

"Ambil contoh kumpulan Search, mereka juga ladies band dan banyak lagu berkisarkan wanita. Itu antara sebab Search begitu popular sampai sekarang. Selalunya apabila wanita suka, lelaki juga akan turut sama menggemarinya," ujar Edrie Hashim yang turut bertindak selaku penerbit bagi album Stereo Andromeda ini.

Tatkala industri muzik tenat dan hampir lumpuh gara-gara kegiatan muat turun secara haram dan cetak rompak, Edrie tetap dengan pendirian menerbitkan album penuh Projek Pistol. Bukan tidak gusar akan risiko yang bakal dihadapi, namun baginya seni yang ada pada sebuah album penting untuk seorang pencinta muzik.

"Saya tahu tak ramai yang berani buat album sebab keadaan industri kita. Tapi kalau semua artis keluarkan single, siapa akan keluarkan album. Bila semuanya single, bermakna seni dalam sesebuah album sudah hilang.

"Kalau yang benar-benar hargai muzik, mereka akan dengar susunan lagu di dalam album untuk mengetahui mood perjalanan dan cerita yang ingin disampaikan. Lagu di dalam album selalunya disusun untuk membawakan jalan cerita dan bukannya sekadar suka-suka," tambahnya lagi yang bakal menghiburkan peminat di Celebrity Club, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini.

Dianggotai empat anggota yang terdiri daripada Boy (vokalis), Edrie (gitar), Pa'e (drum) dan Zham (bass), Projek Pistol berdiri atas paksi sendiri dengan memperjuangkan lagu Melayu dan cuba untuk mengembalikan kegemilangan muzik rock.

Stereo Andromeda bermaksud kolaborasi bunyian cakerawala bakal membawakan pengalaman muzik berbeza dengan lagu-lagu seperti Animositi, Wanita Seluruh Dunia, Syurga, Turun Dari Langit dan lain-lain. Album ini telahpun berada di pasaran pada 26 Mei 2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: