Thursday, March 19, 2015

Kamal Adli Tepis Gosip Bawa Emma Maembong Jumpa Keluarga

Kamal menafikan pernah membawa Emma Maembong berjumpa dengan keluarganya.
PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli terus bertegas tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan aktres Emma Maembong seperti mana tersebarnya gosip mereka sejak kebelakangan ini.

Kamal, 29, berkata, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk bercakap soal percintaan kerana Emma sendiri sedang menyelesaikan kemelut dengan Zizan Razak selain dia enggan menambahkan masalah sedia ada.

"Hubungan saya dengan Emma hanya sekadar kawan biasa dan kami tidak bercinta seperti mana didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

"Dengan situasi Emma sekarang ini bukan masa sesuai untuk bercakap soal itu tambahan pula saya tidak mahu menambahkan lagi masalah yang sedang dihadapinya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp di sini pada Rabu.

Terdahulu, Kamal dikatakan telah membawa Emma berjumpa dengan keluarganya dan mereka dikatakan sudah menjalinkan hubungan cinta selepas wanita itu mengesahkan hubungannya dengan Zizan putus.
Emma Maembong.

Dalam pada itu, jelas Kamal, dakwaan tersebut sama sekali tidak benar dan dia tidak pernah membawa Emma berjumpa keluarganya.

Jelas Kamal, dia sendiri tidak pasti bagaimana cerita berkenaan boleh tersebar dan tidak faham mengapa dia menjadi sasaran gosip biarpun pernah menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Emma.

"Cerita saya bawa balik Emma jumpa keluarga sama sekali tidak benar dan saya sendiri tidak tahu bagaimana khabar angin itu boleh timbul.

"Rasanya cukuplah cerita mengatakan kami mempunyai hubungan kerana ia tidak benar," jelasnya.

Sementara itu, usaha mStar Online untuk mendapatkan penjelasan Emma berhubung perkara itu gagal selepas wanita berkenaan tidak menjawab panggilan dibuat.

Yana Samsudin Masih Sesuaikan Diri Sebagai Isteri Fadzil Zahari

Yana mengakui masih kekok bergelar isteri. 
PETALING JAYA: Pelakon Yana Samsudin masih cuba membiasakan diri dengan alam perkahwinan biarpun sudah sebulan bergelar isteri kepada aktor dan penulis skrip Fadzil Zahari.

Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 31, berkata, sebelum berkahwin dia dan Fadzil adalah sahabat baik dan perkara itu menyebabkan dia masih berasa kekok dalam mencari rentak sebagai isteri.

"Keadaan sekarang masih pelik kerana kami sebelum ini adalah sahabat baik jadi untuk mengubah situasi itu yang membuatkan saya kekok sedikit.

"Bagaimanapun semuanya berada dalam keadaan baik dan selepas berkahwin baharu saya menyedari banyak nikmat dan kebaikkan," katanya kepada mStar Online.
Yana dan AG bakal bergandingan sebagai hos DFKL 2015.
Yana ditemui pada majlis temu ramah dan sesi fotografi bersama penerbit dan hos Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL 2015) di Sri Pentas di sini, Rabu.

Selain Yana, penyampai radio Hot FM iaitu AG bakal bertindak sebagai hos acara itu yang bakal berlangsung pada Sabtu ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Yana mengakui semenjak berkahwin rezekinya semakin bertambah dan memberitahu dia kini mulai sibuk dengan pelbagai aktiviti melibatkan karier seninya.

"Alhamdulillah, rezeki selepas kahwin. Selain dapat mengacarakan DFKL 2015 saya juga bakal memasuki set penggambaran filem terbaharu dan akan bertindak sebagai pengacara untuk sebuah program baharu," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai pemilihannya sebagai hos DFKL 2015, Yana berkata, dia berasa teruja apabila diberi kepercayaan oleh pihak TV3 untuk mengendalikan sebuah acara anugerah biarpun tidak mempunyai pengalaman luas dalam bidang itu.

Jelas Yana, biarpun gementar namun dia menyahut cabaran itu kerana bidang pengacaraan adalah satu cabang seni yang ingin diberikan fokus selepas berkahwin.

"Biarpun sebelum ini saya pernah mengendalikan beberapa program seperti Juara Joran dan Lesung Pipit tetapi ini adalah kali pertama acara besar dan siaran langsung seumpama ini.
Yana kembali aktif dalam bidang seni selepas berkahwin.


"Sudah tentu saya berbesar hati dengan kepercayaan diberikan dan pada masa sama berasa gementar kerana bimbang akan melakukan kesilapan ketika berada di atas pentas nanti," katanya.

Bagaimanapun kata Yana, dia lega apabila mendapat tahu akan digandingkan dengan AG yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengacaraan terutamanya program siaran langsung.

"Selain akan mendapatkan tip daripada AG saya juga banyak menonton program anugerah di Youtube untuk melihat bagaimana seseorang pengacara mengendalikan sesuatu acara itu," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, penerbit ekskutif DFKL 2015, Khalijah Mohamed berkata, pemilihan Yana sebagai hos dibuat selepas melihat kredibiliti pelakon itu yang petah berbicara.

Malah kata Khalijah, pihaknya juga ingin memberi peluang kepada wajah baharu sebagai pengacara dan enggan menampilkan wajah yang sama.

Forteen Nafi Berpecah Kerana Projek Solo

Forteen masih utamakan untuk bergerak secara berkumpulan walaupan punyai projek solo.
PETALING JAYA: Kumpulan Forteen menyangkal dakwaan bakal berpecah kononnya disebabkan mereka mempunyai projek solo.

Ahlinya, Ameer atau Mohammad Arif Ameerais Azhar, 25, berkata, projek solo adalah rancangan pihak pengurusannya KRU bagi mengembangkan lagi bakat anggota kumpulan tersebut.

"Projek solo kami tidak bermaksud Forteen akan berpecah sebaliknya ia adalah rancangan KRU untuk mengembangkan bakat anggota Forteen lain dalam bidang ini.

"Projek solo itu tidak diberi secara serentak, ia secara berperingkat iaitu saya akan keluar dahulu dengan single solo berjudul Hitam bersama kumpulan hip hop Dualiti," ujarnya kepada mStar Online di sini.

Ameer berkata demikian ketika diminta mengulas laporan di ruangan pojok sebuah akhbar bahawa kumpulan tersebut bakal berpecah.

Forteen dianggotai oleh Izzue Islam, Wan, Ariz dan Ameer.
Ameer

Ameer berkata, buat masa ini keutamaan dan komitmen masih diberikan kepada kumpulan Forteen.

Tambahnya, projek solo tersebut juga tidak menganggu jadual persembahan dan promosi lagu kumpulan itu.

"Walau ada projek lain keutamaan kami masih diberikan kepada kumpulan Forteen, lagi pula kami baru sahaja melancarkan single baru berjudulLinangan Terakhir.

"Saya anggap satu cabaran juga bila terpaksa mempromosikan dua single dalam satu masa," katanya.

Bercerita tentang single terbaharu, Ameer berkata, lagu tersebut merupakan percubaannya untuk membawakan muzik genre hip hop.

"Katanya, lagu tersebut juga sudah dimainkan di radio dan mula mendapat perhatian pendengar.

"Muzik untuk single solo ini berbeza daripada yang saya bawa bersama Forteen, saya nak cuba genre hip hop pula dan alhamdulillah ia mula dapat perhatian," ujarnya.

Zara Zya Tidak Anggap Ayda Jebat Rampas Populariti

Zara Zya
KUALA LUMPUR: Pelakon Zara Zya menganggap populariti yang diraih pelakon Ayda Jebat adalah satu lumrah yang perlu dilalui seseorang artis.

Zara, 30, berkata, dia tidak pernah berasa cemburu dengan kejayaan Ayda dan menganggap ia sebagai giliran rezeki untuk aktres itu.

"Saya dah pernah lalui apa yang dia menang itu dan populariti yang dikecapinya tahun lalu. Ia adalah lumrah artis.

"Kadang-kala kita di atas dan ada masanya di bawah. Bukan bermaksud sekarang saya sedang jatuh, tetapi tahun ini adalah rezeki dia pula," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pra kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014), di Hotel Royale Chulan, di sini, Selasa.

Zara berkata demikian ketika diminta pendapat tentang populariti pelakon Ayda Jebat yang semakin menonjol selepas  memenangi kategori Pelakon Baru dan Top Top Meletop (Wanita) di Anugerah Meletop Era 2015 (AME 2015) pada 22 Februari lalu.

Anugerah sama pernah dimenangi Zara Zya pada tahun lalu.

Dalam pada itu tambah Zara, dia juga tidak menganggap wanita itu merampas populariti dan namanya dalam industri lakonan.
Ayda Jebat meraih kemenangan pada Anugerah Meletop Era 2015 pada Februari lalu.

"Pada saya tiada isu dia gantikan tempat saya kerana ia adalah perkara biasa, tentang anugerah pula bagi kategori yang dia menang itu saya sudah memenanginya tahun lalu dan tidak mungkin pula saya bersaing dalam kategori sama iaitu pelakon baru sekali lagi.

"Masa saya menang dulu pun orang ada berkata saya gantikan pelakon itu dan ini, tetapi sebenarnya tidak ada istilah itu pun," ujarnya.

Zara berkata, dia turut gembira dengan kejayaan dan populariti Ayda dan berharap ia dapat mengekalkan namanya terus dalam industri seni tanah air.

Sementara itu, ditanya tentang popularitinya semakin merundum, pelakon itu berkata, kebanyakan drama lakonannya belum lagi ditayangkan di televisyen.

Zara berkata dia bakal keluar dengan drama berjudul Dan Calonnya Adalah yang  di Tonton pada April depan dan Hidayahmu Ramadan untuk slot Samarinda sempena Ramadan nanti.

"Mereka ingat saya menyepi dan merundum kerana saya sibuk berlakon tahun ini. Orang tak nampak produk saya keluar di televisyen lagi.

"Insya-Allah bermula April ini ada beberapa buah drama saya akan keluar," katanya.

"Anak Beri Reaksi Positif Selepas Dengar Lagu Ketika Mengandung" - Ana Raffali

Ana memberitahu anaknya Aaydeen gemar mendengarnya menyanyi.
PETALING JAYA: Penyanyi Ana Raffali memberitahu amalannya memperdengarkan lagu-lagu ciptaannya ketika mengandungkan anak pertamanya, Aaydeen Oumar memberi kesan positif terhadap pembesaran bayi itu selepas ia dilahirkan.

Ana atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, 29, berkata, Aaydeen kini gemar mendengar lagu nyanyiannya dan akan berhenti meragam setiap kali dia menyanyikan lagu.

"Satu perkara yang sangat manis ialah Aaydeen cukup gemar mendengar saya menyanyi malah sejak dalam kandungan, dia menemani saya sepanjang masa ketika saya berkerja, menyiapkan lagu-lagu baru di studio.

"Kini, dia kelihatan seperti menghayati lagu saya terutamanya apabila saya ingin menenangkannya. Barangkali, secara rasminya dia merupakan peminat saya yang paling muda," katanya kepada mStar Online.
Aaydeen penyeri hidup Ana dan suami.
Ana yang berkahwin dengan Ahmad Aznaim Abdullah, 33, pada 25 Februari 2012 selamat melahirkan bayi sulung mereka pada 12 Februari lalu.

Dalam pada itu, Ana berkata, sejak bergelar ibu aktiviti hariannya semakin padat dan lebih tertumpu kepada penjagaan anaknya seperti memandikan dan memberikan susu badan sepenuhnya.

Jelas Ana, menerusi cara itu dia percaya ia dapat mengeratkan hubungan ibu dan anak selain menggalakkan interaksi mereka sekeluarga.

"Perubahan yang paling ketara ialah cara pembahagian masa dan perhatian dan menyesuaikan diri dengan kehadiran orang baru dalam hidup kami suami-isteri.

"Saya lebih memahami dan menghargai pengorbanan seorang ibu. Setiap hari membawa peluang untuk saya belajar perkara baru tentang 'parenting'," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai namanya dikatakan semakin tenggelam sejak berkahwin, Ana berkata, populariti adalah sesuatu yang di luar kawalannya kerana ia mempunyai pasang surut.
Ana berkahwin dengan Naim pada tahun 2012.
Kata Ana, dia bersyukur sepanjang bergelar anak seni dia berjaya mengelak daripada sebarang kontroversi dan yakin kehadirannya dalam industri masih relevan dan di terima peminat.

"Alhamdulillah, kehadiran saya dalam industri masih lagi relevan dan diterima masyarakat seluruh negara.

"Populariti bagi saya adalah sesuatu yang di luar kawalan individu kerana ada pasang surutnya. Saya lebih cenderung memastikan karya penulisan saya, baik lagu atau buku, bermakna dan tetap diterima peminat," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ana berkata, dia kini sedang giat menyiapkan album terbaharunya dari karya novel puisi tulisannya berjudul #24minggu.

Malah kata Ana, dia juga bakal kembali menerima jemputan persembahan pada April ini dan akan mula mempromosikan single terbaharunya kepada peminat.

"Selain album dan single terbaharu saya juga mempunyai beberapa projek istimewa seperti mengendalikan sebuah perniagaan 'online' 'online' bersama keluarga," katanya.

Mas kahwin juga kena GST?


  • Mas KahwinGambar Hiasan

SHAH ALAM -  Lebih kurang dua minggu lagi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan di negara ini, cakap-cakap mengenainya menjadi bualan kerana ramai yang tidak pasti mengenai pelaksanaannya.

Ada yang kata menguntungkan dan ada yang kata sebaliknya.

Kegusaran itu menyebabkan ramai yang tidak ‘duduk diam’, tambah-tambah bila disentuh mengenai pelaksanaan GST dalam bab perkahwinan.

Bagi yang bujang sudah semestinya ‘mulai pening’ kepala kerana mula  fikirkan mengenai bajet perkahwinan selepas GST dilaksanakan.

Namun ada berita gembira buat  mereka yang hendak berkahwin selepas GST dilaksanakan ini kerana GST tidak dikenakan terhadap bayaran mas kahwin.

Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat Jabatan Agama  Islam Selangor, Nurhamizah Othman berkata, harga Mas Kahwin kekal sepertimana yang termaktub dalam Undang-undang keluarga Islam di bawah kuasa Sultan.

“Di Selangor kita sudah putuskan pada 12 Mei 2009, iaitu sebanyak RM300 kadar mas kahwin bagi anak dara dan janda tanpa had maksimun.

“Ia kekal, GST tidak dikenakan,” katanya. Katanya lagi, anak muda yang hendak berkahwin tidak perlu gusar mengenai perkara tersebut.

"Tiada kenaikan, ia kekal sepertimana yang termaktub," katanya. GST akan dilaksanakan pada 1 April 2015 ini, sebanyak 160 buah negara telah melaksanakannya.

Kaka hadkan pergaulan


  • Kaka hadkan pergaulanKaka

NAMA penyanyi ini sememangnya agak popular dalam industri muzik tempatan.

Lebih-lebih lagi single bersama Zizan Razak, Bawaku Pergi dan Infiniti Cinta, mendapat sambutan hebat dan sering diputarkan di corong-corong radio.

Kerana itu, apabila namanya dikaitkan dengan kisah percintaan pelakon Tasha Shila bersama kekasihnya peninju dari Thailand, Han Chen Wong, baru-baru ini, dia menjadi tumpuan dan perhatian banyak pihak untuk mendapatkan sejauh mana kebenaran gosip itu.

Mengakui perlu menjawab gosip berkenaan sebagai mempertahankan dirinya, akui Kaka Azraff, dia tidak pernah menyangka akan dikaitkan dengan gosip-gosip seumpama itu.

Baginya, dalam apa juga situasi sekali pun, dia tidak pernah rapat dengan kedua-dua pihak itu.

"Saya hanya kenal mereka sebagai rakan dalam industri, saya akui sebelum ini tidak pernah rapat dengan mana-mana rakan artis kerana selesa berkawan dengan rakan-rakan dari kecil dan sekolah sahaja.

"Tak sangka pula bila dekat dengan mereka, saya terpalit kontroversi sebegini," ujarnya tidak selesa dengan gosip terbabit.

Masih terkejut dengan perkara itu, jelas penyanyi kelahiran program realiti Mentor TV3 ini, dia tidak pasti mengapa namanya dikaitkan dalam cerita tersebut.

"Saya masih tertanya-tanya, tetapi saya tidak mahu fikirkan perkara itu lebih panjang.

"Lagipun memang saya tidak bersalah dan tidak tahu menahu hubungan mereka berdua.

"Rasanya, jika ada menuding jari ke arah saya berikutan keretakan atau menjadi masalah hubungan mereka, itu luar jangkaan saya," katanya.

Tambah Kaka, sepanjang bergelar penyanyi, ini merupakan gosip pertamanya dikaitkan dengan lelaki.

"Mungkin selepas ini saya akan hadkan pergaulan saya dengan sesiapa pun bagi mengelakkan perkara ini berulang.

"Apa pun, saya harap dan minta supaya nama saya tidak lagi termasuk dalam kisah-kisah sebegini kerana saya tidak mahu di cop sebagai perampas kekasih orang," ujarnya.

Ditanya apakah dia merasa terjejas kerana perkara itu, jawabnya, memang agak sukar berhadapan perkara tersebut.

"Saya mementingkan kerjaya, jadi saya tidak mahu kerana perkara begini, peminat atau sesiapa sahaja memandang negatif kepada saya.

"Kerana itu saya tampil memberi penjelasan dan kerjasama kepada media untuk menjelaskan situasi sebenar," katanya mengambil perkara itu sebagai pengajaran.

Rindu Zizan?

Dalam pada itu, meskipun pernah mempunyai masalah dengan Zizan sebelum ini, akui Kaka, dia dan pelawak popular itu kini baik-baik sahaja.

"Itu bukan masalah saya, itu masalah mereka, kami sebenarnya tiada masalah pun.

"Sebab itu, saya teringin hendak bekerja dengannya lagi seperti sebelum ini. Lagi pun saya senang bekerja dengannya memandangkan dia sangat profesional dalam kerja.

"Malah, dia kelakar dan membuatkan kita selesa bekerja dengannya," katanya.

Berkongsi perkembangan terbarunya, menurut Kaka, dia kini sedang sibuk menjalankan promosi bagi single terbaharu, Bukan Hal Aku.

"Sekarang saya sedang menghantar lagu-lagu berkenaan ke stesen radio, manakala pelancaran rasmi single dan video klip akan dilakukan pada 24 Mac ini," katanya berduet dengan Sleeq buat kali kedua menerusi single tersebut.

Selain itu, penyanyi berusia 26 tahun ini merancang menghasilkan album sama ada hujung tahun ini atau awal 2016.

Serius berlakon 

Selain itu, penyanyi yang mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan ini berkata, dia juga sedia pergi lebih jauh dalam bidang itu.

"Buat masa sekarang saya dapat banyak tawaran lakonan. Walaupun minat utama saya adalah nyanyian, tetapi tidak salah mencuba.

"Selagi tidak menjejaskan karier sebagai penyanyi, bagi saya ia tidak salah," katanya bakal muncul menerusi filem 7 Dimensi Alif bersama Juliana Evans dan Izzue Islam.

Ayda Jebat jawab tuduhan gedik


  • Ayda JebatAyda Jebat

DISEBALIK populariti yang dimiliki, bintang Rindu Awak 200%, Ayda Jebat, tidak lari dari kritikan dan kontroversi. Selain dilabel sebagai pelakon 'gedik', Ayda juga dikatakan terlalu bersikap kebudak-budakan sehingga menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.

Tetap dengan pendiriannya, Ayda menegaskan, dia lebih suka menjadi dirinya sendiri.

“Memang ada yang tegur sikap saya yang mereka nampak seperti budak-budak tapi inilah diri saya.

“Saya lebih selesa menjadi diri sendiri daripada terpaksa berpura-pura sopan semata-mata untuk jaga perasaan orang lain. Tapi bila di belakang, macam-macam pula perangainya,” katanya.

Enggan mengambil pusing mengenai perkara itu, Ayda berkata, sebagai pelakon baharu adalah lebih penting dia menumpukan karier seninya berbanding kontroversi yang tercetus.

“Tak kisahlah orang nak kata saya gedik atau apa sahaja kerana ia tidak jejaskan karier saya dan itu lebih penting sebab gedik tidak ada kaitan dengan prestasi lakonan.

“Lainlah kalau saya ni berlakon seperti kayu, memanglah saya kena berubah,” jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan karier seninya, Ayda kini baharu sahaja tampil menerusi drama Isteri Separuh Masa dengan memegang watak antagonis bernama Lisa yang turut dibintangi Emma Maembong dan Aiman Hakim Redza.

Konsert Muzika Nusantara menghiburkan!


  • Konsert Muzika Nusantar

TIDAK ada apa yang dapat dibanggakan selain menonton sendiri seni budaya turun temurun yang di persembahkan di pentas penuh berprestij, Istana Budaya menerusi Konsert Muzika Nusantara yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat lalu.

Bertemakan ‘Senadi Dalam Seni’ konsert itu menggabungkan persembahan muzik dan puisi Melayu yang berasal dari beberapa suku bangsa serta etnik seperti Jawa, Mandailing, Batak, Minang, Boyan, Aceh dan Sunda, selain persembahan muzikal tari serta lagu dari Brunei dan Singapura.

Lebih meriah, konsert anjuran Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI), Yayasan Warisanegara dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu menampilkan artis terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Krisdayanti, Dwen, Tegar, penyair Indonesia Rafli Kande serta Orkestra Tradisional Malaysia.

Pementasan yang berlangsung selama dua hari bermula 13 Mac itu mengangkat persembahan muzik dan puisi yang menjadi penghubung kepada warisan di kepulauan Melayu sejak zaman-berzaman.

Konsert yang bermula tepat jam 9.00 malam itu membuka tirainya dengan persembahan nyanyian ‘Ala Dondang’ oleh Siti Nurhaliza diikuti dengan tarian ‘Mak Yong’.

Dewan menjadi lebih meriah dengan sorakan penonton yang bangga dengan persembahan budaya yang menampilkan asal usul mereka yang hadir.

Antara persembahan seni yang turut memeriahkan konsert adalah tarian menghadap rebab, permainan dolanan, dondang sayang, kercengan zapin, kipas pakarena, saman dan banyak lagi.

Penampilan dua diva Siti Nurhaliza dan Krisdayanti dan penyanyi cilik, Tegar menerusi segmen kemuncak dalam mengalunkan lagu-lagu tradisional seperti Kurik Kundi, Popaleweh, Es Lilin, Angin Mameri dan Jathilan Ponorogo memeriahkan lagi suasana konsert.

Hadir sama menyaksikan persembahan tersebut ialah Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri Pendidikan dan Kebudayaan
Republik Indonesia, Dr. Anis Baswedan dan Duta Besar Republik Indonesia, Herman Prayitno bersama isteri masing-masing.


Kehadiran dua diva Siti Nurhaliza dan Krisdayanti yang sememangnya sahabat baik itu dilihat sebagai simbolik ikatan di antara dua buah negara.

Buat penyanyi nombor satu negara, pengalaman kali kedua beraksi menerusi konsert itu pasti menjadi kebanggaan buat dirinya.

“Ini merupakan tahun ke dua untuk saya terlibat dalam konsert ini dan rasa bersyukur serta bangga kerana masih dipilih sekali lagi untuk mewakili Malaysia dalam persembahan kebudayaan ini.

“Lebih istimewa apabila teman baik saya sendiri, Krisdayanti turut sama berkongsi pentas dalam konsert ini.

“Walaupun kami tidak begitu memiliki masa yang panjang untuk berlatih bersama, namun kami berusaha beri yang terbaik buat penonton yang hadir,” ujarnya.

Teruja dengan penglibatan pertamanya dalam persembahan kebudayaan di pentas IB, Krisdayanti akui tidak ambil masa lama untuk bersetuju terlibat dalam persembahan itu.

“Perasaan saya ketika ini bercampur baur apabila hasrat saya untuk tampil di pentas ini akhirnya tercapai dan apa yang membanggakan, saya diminta untuk menyampaikan lagu budaya.

“Ini saya penghargaan besar buat saya kerana ia melibatkan persembahan pertukaran budaya antara dua negara di samping saya juga berpeluang berkongsi pentas sekali lagi bersama teman baik saya,” katanya.

Pada masa yang sama, Krisdayanti turut mengharapkan persembahan yang sama turut diadakan di negaranya.

“Kalau di Indonesia, pentas sebesar ini masih belum ada untuk tampilkan konsert budaya seperti ini.

“Tapi harus juga dilakukan di Indonesia dan tentunya penerimaan yang lebih baik selain dapat lebih buka ruang kepada penyanyi di sana untuk merasai sendiri kebanggaan menonjolkan tradisi budaya,” tuturnya.


Himpun peminat muzik serantau

Secara keseluruhan, persembahan konsert ini berhasil dalam menonjolkan keunikan budaya dua negara serumpun Malaysia-Indonesia.

Kejayaannya juga dapat dilihat apabila penonton yang memenuhi ruang dewan adalah himpunan peminat muzik asli dari negara rantau ini, termasuk Indonesia, Singapura, Brunei dan Malaysia.

Dalam konsert itu, penonton juga dibawa kembali kepada zaman kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 di mana waktu itu Melaka menjadi pusat atau tumpuan pedagang di Nusantara.

Pentas yang dipenuhi dengan warna-warni persembahan budaya itu dilihat mampu mencuri tumpuan setiap penonton yang hadir.

Suasana dewan bertukar serius apabila dua penyair dari dua negara beraksi penuh bersemangat dengan baris-baris puisi yang memberi pengajaran.

Penggunaan props dan kostum serta paparan visual yang menarik juga memberi impak yang baik sepanjang konsert dijalankan.

Debaran Fizo Omar

  • Fizo Omar

PELAKON dan pengacara, Fizo Omar, akan menjadikan tahun 2015 untuk dia kembali aktif di dalam bidang hiburan.

Menurut Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar ini, sebelum ini dia lebih memberi fokus terhadap perniagaan Hot Burger.

"Alhamdulillah perniagaan yang saya usahakan sejak setahun lalu semakin stabil dan atas sebab itu saya berani untuk kembali aktif di dalam bidang seni," katanya yang kini memiliki lebih 100 outlet Hot Burger di empat buah negeri.

Fizo yang akan muncul dalam filem terbaru, Isyarat Cinta bersama Adi Putra dan Liyana Jasmay, pada 19 Mac ini mengakui agak berdebar menantikan reaksi penonton terhadap lakonannya dalam filem tersebut.

"Ketika mendapat tahu saya akan berlakon bersama Liyana Jasmay dan Adi Putra, saya rasa diri saya kecil jika dibandingkan dengan mereka berdua.

"Malah saya sendiri sedar, walaupun sudah tujuh tahun berada di dalam industri, tapi branding nama Fizo Omar itu tidak sekuat pelakon lain.

"Jadi saya amat berharap Isyarat Cinta akan memberi lembaran baru buat saya selepas ia ditayangkan," katanya.

Menjadikan mesej dari penerbit filem Isyarat Cinta, Datuk Rosyam Nor sebagai dorongan, Fizo berkata, dia amat terharu dengan pujian Rosyam terhadapnya.

"Abang Rosyam ada menghantar mesej secara peribadi memuji lakonan yang saya berikan dalam filem itu. Apa pun saya amat terharu dengan pujian yang diberikan daripada seorang pelakon dan penerbit yang sangat saya kagumi,” ujarnya.

Hafiz, Adira kembali bersatu 'Untuk Cinta'


  • Hafiz, AdiraHafiz, Adira

UMUM sudah mengetahui akan kisah cinta dua bekas pelajar Akademi Fantasia, Adira dan Hafiz Suip yang sudah berlalu menjadi sejarah.

Bahkan kini, baik Adira mahupun Hafiz, kedua-duanya sudah menemui pengganti dan Hafiz sendiri telah pun mengikat tali pertunangan Februari lepas.

Bagaimanapun kedua-dua penyanyi terkenal ini masih mengekalkan sikap profesional dalam bekerja.

Buktinya selepas berduet menerusi lagu Ombak Rindu, Adira dan Hafiz kembali bekerjasama berduet lagu 'Untuk Cinta' yang juga lagu soundtrack untuk filem Pilot Cafe.

Ditemui pada sesi penggambaran klip video ‘Untuk Cinta’ baru-baru ini, Adira berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama bersama Hafiz, malah kekasihnya, Shahrul Nasrun, juga memahami dan tidak cemburu apabila mereka digandingkan semula.

"Saya tidak ada masalah dan senang bekerjasama dengannya, malah Hafiz juga amat membantu dalam memberi idea apabila kami menjalani penggambaran.

"Malah lagu ini juga sudah dirakamkan lebih setahun lalu, bersama-sama. Apa yang menjadi fokus dan keutamaan kami adalah memberi yang terbaik untuk lagu ini.

"Keserasian kami juga masih sama macam dulu, malah kali ini kami buat lebih baik daripada lagu Ombak Rindu," katanya.

Dalam pada itu, Adira turut melahirkan rasa gembiranya tatkala ditanya mengenai pertunangan bekas kekasihnya itu dengan Nureffy Jasreel 22.

“Saya gembira untuk dia kerana telah berjumpa wanita yang betul-betul sesuai untuk dijadikan teman hidup. Saya doakan yang terbaik dan berharap hubungan itu hingga ke akhir hayat,” katanya yang hanya menjawab 'Insya-Allah' apabila ditanya bila gilirannya untuk mengikat tali pertunangan.


Ratu Soundtrack?

Sementara itu, di tebak mengenai pemilihannya untuk menyanyikan lagu-lagu soundtrack bagi drama dan filem, sehingga digelar 'Ratu Soundtrack', Adira berkata, dia sedikit pun tidak berkecil hati dengan gelaran itu, sebaliknya berasa bangga.

"Kalau ikutkan memang dari dulu orang panggil saya 'queen of soundtrack' 'ratu soundtrack', apabila beberapa lagu saya dijadikan runut bunyi untuk drama dan filem.

"Bahkan ada juga beberapa buah lagu yang saya rekod khas untuk sesebuah filem. Tapi saya tak kisah dilabel 'ratu soundtrack' dan saya sangat bersyukur apabila pihak penerbit memberi kepercayaan kepada saya.

"Malah ia secara tidak langsung mempopularkan lagu-lagu yang saya nyanyikan," jelasnya.

Azlan diam-diam berisi!


  • AzlanNorazlan Roslee atau lebih mesra disapa sebagai Azlan dilihat semakin menyepi dalam pentas dunia hiburan. 

SEJAK kebelakangan ini, nama Norazlan Roslee atau lebih mesra disapa sebagai Azlan dilihat semakin menyepi dalam pentas dunia hiburan.

Malah, kelibat vokalis The Typewritter itu juga kini jarang dilihat di kaca televisyen mahupun mana-mana program hiburan.

Mengakui hal tersebut, Azlan memberitahu, itu adalah salah satu strateginya dalam industri muzik selain sibuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

"Mungkin ini (menyepi) adalah cara saya untuk kekal lama dalam bidang ini.

"Lagipun, dengan penubuhan syarikat rakaman Darkliquids Music Production Sdn Bhd (DMP), saya kini sudah ada hala tuju sendiri.

"Malah, mungkin kerana bisnes ini juga yang menyebabkan saya 'hilang' seketika," katanya semasa ditemui pada sidang akhbar Memorable Moment With Azlan & Dayang.

Menceritakan mengenai syarikat rakamannya itu, kata Azlan, DMP ditubuhkan hasil kerjasamanya dengan rakan kongsi, Datuk Mahadhir Mahideen, sejak Mei tahun lalu.

"Sebelum ini, saya lebih banyak terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir.

"Tetapi, untuk tahun ini fokus utama saya adalah kepada muzik.

"Itulah yang menyebabkan tertubuhnya DMP dan pada masa sama, kami turut berhasrat untuk mengambil artis naungan yang lain," katanya yang telah berpengalaman selama 15 tahun dalam industri.


Tampil album solo

Dalam pada itu, Azlan yang terkenal menerusi lagu-lagu indie bernada tinggi bakal mengeluarkan album solonya yang berkonsepkan balada rock, Diari, pada Mei depan.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 32 tahun itu sempat memperkenalkan single baharunya, Melankoli yang bakal dimuatkan dalam album baharunya itu kelak.

"Saya akui ramai yang kenal saya menerusi lagu-lagu 'jerit-jerit'. Jadi, saya cuba membuat eksperimen dengan menyanyikan lagu-lagu perlahan demi memenuhi selera pendengar.

"Sebelum ini, konsep muzik yang ditampilkan lebih kepada memberi kepuasan kepada saya.

"Album itu nanti bakal menceritakan perjalanan menjadi seorang lelaki dewasa dan terdapat lima lagu di dalamnya termasuklah Melankoli," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azlan akan meraikan Minggu Setiausaha yang akan diadakannya bersama Dayang Nurfaizah di Hotel Times Square, Kuala Lumpur pada 8 April ini bermula jam 12 tengah hari anjuran syarikat rakamannya.

Jelas penyanyi Idola itu, ini adalah persembahan pertama yang dijayakan sempena Minggu Setiausaha sejak menjadi penyanyi.

"Dulu, memang ada penganjur yang menawarkan untuk menjayakan persembahan minggu setiausaha, tetapi, ketika itu, kami tiada keyakinan diri.

"Seiring dengan peningkatan usia, tahap keyakinan itu juga berubah sejajar dengan keadaan sekeliling," katanya.

Ada apa Amar, Amyra?


  • Amar Baharin dan Amyra RosliAmar Baharin dan Amyra Rosli.

SEJAK membintangi drama Suamiku Encik Sotong, kelibat dua pelakon utama drama tersebut, Amar Baharin dan Amyra Rosli sering dilihat hadir dalam sesuatu majlis bersama.

Bahkan ada ketikanya mereka juga sering dilihat menggaya warna baju yang sama sehingga terdengar desas-desus kedua-dua pelakon tersebut menjalinkan hubungan cinta.

Justeru peluang bertemu kedua-dua pelakon ini pada tayangan episod akhir drama berkenaan digunakan pihak media untuk mendapatkan jawapan berkaitan khabar angin yang mula beredar itu.

"Kami nampak rapat mungkin kerana kami diuruskan oleh orang yang sama iaitu mama Amyra, Noor Zaridah Ahmad. Ini merupakan pertama kali kerjaya saya diuruskan oleh orang lain kerana saya memang agak susah nak percaya orang," ujar Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin.

Menegaskan keakraban mereka tidak ubah seperti adik dan abang, Amyra berkata, mereka berdua nampak rapat kerana sudah dilayan seperti adik-beradik oleh ibunya.

"Mama sendiri layan Amar macam anak, dan Myra sendiri anggap dia macam abang. Sebenarnya tak ada istilah bercinta antara kami, tapi mungkin sebab penonton lihat kami serasi dalam drama itu.

"Sebelum ini kami ada juga berlakon bersama tetapi tidak pula digosipkan kerana watak tersebut bukan pasangan kekasih," jelasnya.

Selepas kegagalan percintaannya bersama aktor, Dazrin Kamaruddin, Amyra berkata, dia tidak pernah menutup pintu hatinya untuk mana-mana lelaki.

"Sehingga kini Myra masih single. Kalau ALLAH kata sudah sampai jodoh, Myra terima sahaja, apa yang penting hubungan itu mendapat restu keluarga.

“Malah Myra juga tak letak apa-apa kriteria untuk seseorang itu menjadi pasangan Myra. Apa yang penting, dia tidak berpura-pura dan jadi diri sendiri untuk bersama Myra,” katanya.

Dalam pada itu, Amyra bersyukur, sambutan terhadap drama Suamiku Encik Sotong mendapat sambutan menggalakkan pada hari akhir tayangannya apabila menjadi tranding sebelum masa tayangan lagi.

Majlis tayangan episod akhir yang diadakan di di The Starnd Mall, dihadiri lebih 200 penonton yang turut dapat beramah mesra dengan artis dalam drama tersebut.


Kesabaran Amar berbaloi

Dalam pada itu, berbicara mengenai karier aktor berusia 30 tahun ini, Amar berkata, dia bersyukur kerana kesabarannya dalam meniti laluan sebagai anak seni kini berbalas.

Ujarnya sejak program Anak Wayang berakhir, dia tidak pernah kenal erti putus asa dalam mengecap kejayaan sebagai anak seni.

"Alhamdulillah selepas drama Kerana Terpaksa Aku Relakan dan diikuti oleh Suamiku Encik Sotong, sambutan peminat terhadap drama lakonan saya tidak berbeza.

"Namun saya tidak menjadikan alasan popular untuk saya mula berubah sikap kerana selama enam tahun berada di dalam industri, saya sentiasa menjaga disiplin dan belum pernah lagi ada pengarah yang mempunyai masalah dengan saya," katanya.

Biarpun tidak dapat lari dengan usikan gosip liar, Amar berkata, dia menganggap semua itu sebagai asam garam kehidupan.

"Kalau asyik bercakap pasal karier pun orang bosan juga. Tapi mulut orang kita tak boleh tutup, bila ada gosip liar saya terima saja. Tak guna nak melenting atau marah-marah.

"Apa yang penting apabila bekerja kita bagi komitmen 100 peratus kerana kita telah dibayar," katanya yang bakal muncul dalam drama bersiri arahan Rashid Sibir, Hujan Pagi, tidak lama lagi.


Amyra tak kejar anugerah

Sependapat dengan Amar mengenai perjalanan karier seseorang selebriti, Amyra berkata, dia juga sentiasa melakukan yang terbaik setiap kali menerima tawaran.

Dek kerana itu, ujarnya, dia tidak pernah mengejar anugerah kerana menganggap ianya sebagai satu platform buatnya dalam industri seni.

"Walaupun Myra baru dua tahun dalam industri dan sudah dikenali, namun itu bukan bermakna perjalanan Myra dalam industri ini mudah. Myra seperti pelakon lain yang perlu lalui sesi uji bakat dan hanta profil sebagainya.

"Apa yang penting bagi Myra, nama Amyra Rosli itu tidak cepat tenggelam. Myra tak mahu cepat naik, cepat jugalah jatuh.

"Oleh kerana itu keluarga, peminat menjadi tulang belakang penting untuk Myra dalam industri ini," jelasnya yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Bidadari, yang akan ditayangkan di slot Lestari, TV3.

Berilah Emma ruang – Kamal Adli




Krisis hubungan pasangan sensasi, Zizan Razak dan Emma Maembong bagai tiada penyudahan. Emma sudah memberi kenyataan bahawa hubungannya dengan hero filem adi wira Cicakman 3 itu sudah berakhir. Namun, Zizan masih belum membuka mulut, sama ada mengiakan atau menidakkan kenyataan tersebut.
Kemelut perhubungan mereka bertambah rumit apabila pelakon, Kamal Adli terus dikaitkan sebagai orang ketiga dalam perhubungan mereka.
Baru-baru ini, melalui ruangan pojok sebuah akhbar tempatan, Kamal difahamkan telah membawa Emma berjumpa kedua ibu bapanya.
Gempar dengan berita tersebut, Kosmo! menghubungi Kamal bagi mendapatkan penjelasan sebenar dari mulut tuan empunya badan. Terkejut dengan berita yang disampaikan, Kamal menafikan kenyataan yang mendakwa dia telah membawa Emma bertemu ibu bapanya.
Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya bersama pelakon yang pernah membintangi drama Cinta Tanpa Syurga itu.
KOSMO!: Melalui ruangan pojok dalam sebuah akhbar mingguan baru-baru ini, Kamal dikatakan telah membawa Emma Maembong berjumpa dengan ibu bapa anda. Benarkah kenyataan tersebut.
ADLI: Saya tidak tahu daripada siapa datangnya berita ini. Sejujurnya, saya tidak pernah membawa dia (Emma) bertemu kedua ibu bapa saya. Saya terkejut dengan berita ini dan pada masa yang sama saya sangat kasihankan Emma. Berilah dia ruang dan biar saya tegaskan di sini bahawa hubungan kami sekadar kawan biasa sahaja.
Benarkah status hubungan kalian hanya sebagai rakan biasa dan bukannya kekasih seperti digembar-gemburkan?
Ya, kami hanya bersahabat. Perhubungan kami masih belum sampai ke tahap sepasang kekasih lagi. Biarlah Emma selesaikan kemelut dengan Zizan dulu. Saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Sebagai seorang sahabat, Emma ada berkongsi masalahnya dengan saya, namun perkongsian itu tidaklah melibatkan soal peribadi.
Pada pandangan anda, bagaimana nama anda boleh terkait sebagai orang ketiga dalam hubungan Emma dan Zizan?
Saya tidak tahu sebab sebenar dikaitkan dengan perhubungan mereka. Salah satu sebabnya, mungkin status solo saya selepas putus cinta dengan Intan Ladyana menjadi punca sesetengah pihak mengaitkan saya dengan Emma. Di samping itu, saya juga terlibat dalam beberapa drama yang membabitkan kerjasama antara saya dan Emma, justeru kemesraan kami mungkin disalah ertikan.
Apakah komen anda kepada sesetengah pihak yang masih mengaitkan nama anda dengan Emma?
Saya harap mereka faham keadaan yang dilalui Emma buat masa ini. Harapan saya, mereka boleh memberi ruang kepada Emma untuk menyelesaikan masalahnya dengan tenang.
Adakah keberangkalian kalian akan menjadi pasangan kekasih?
Saya tidak mahu menjawab soalan ini, biarlah kemelut hubungan Emma dan Zizan selesai dahulu. Namun, saya tidak boleh menolak ketentuan jodoh.
Sedikit perkembangan mengenai karier seni anda?
Saya dalam persediaan menjalani sebuah penggambaran filem terbitan MIG berjudul Isteri Untuk Dijual. Selain itu, saya juga akan menjalani penggambaran sebuah drama 30 episod yang masih belum ditentukan judulnya. Penggambaran tersebut akan bermula dalam waktu terdekat.


Zul, Ayda serasi bersama


ZUL ARIFFIN dan Ayda Jebat menikmati populariti dan penerimaan yang cukup baik hasil gandingan dalam drama Rindu Awak 200%.


DALAM gemerlap dunia seni yang serba indah, nilai populariti boleh bercambah menerusi seribu satu cara. Mungkin ada yang berjaya mengecapi makna populariti dalam senggang masa yang pantas tetapi tidak semua individu yang membina karier dalam laluan itu mampu dikenali dalam masa singkat.
Penyataan itu tepat menggambarkan warna laluan karier pelakon Zul Ariffin dan Ayda Jebat. Sekitar lima tahun yang lalu, nama kedua-dua pelakon itu kurang menonjol berbanding pelakon lain seangkatan dengan mereka. Walaupun telah diberi pelbagai peluang dan ruang untuk menonjolkan bakat, namun kewujudan mereka dalam industri bagaikan dipandang sepi oleh khalayak umum.
Pernah diberi tanggungjawab menunjangi beberapa naskhah drama dan filem, usaha Zul atau nama lengkapnya, Zulkifli Ariffin, 28, mengembangkan sayap dalam bidang lakonan masih pada tahap biasa dan kurang menyerlah.
Begitu juga dengan Ayda atau nama sebenarnya, Nor Syuhada Jebat, 23. Selepas disingkirkan daripada Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) pada tahun 2011, kredibilitinya sebagai pelakon masih kurang kukuh untuk membawakan watak utama dalam sesebuah naskhah.
Namun, kelangsungan seni Zul dan Ayda mencanak naik selepas drama lakonan mereka, Rindu Awak 200%. Drama itu mencipta fenomena sehingga mencetuskan kegilaan luar biasa dalam kalangan penggemar drama bersiri tempatan.
Akui Zul, banyak hal tentang dirinya telah berubah terutama dari segi sokongan yang tidak pernah putus daripada peminat.
“Impak yang saya terima daripada drama Rindu Awak 200% memang luar biasa. Jika dahulu saya bukan sesiapa kini saya lebih dikenali,” rancak mulutnya memulakan bicara.
Tersisih
Pernah terasa disisihkan ketika namanya belum dikenali, Zul percaya, sinar populariti yang diterima pada tahun lalu telah membawa makna berbeza dalam kariernya.
“Sewaktu tidak dikenali, kehadiran saya di majlis-majlis anugerah bagaikan kurang diendahkan. Nama saya boleh ditukarkan ke meja lain begitu sahaja jika ada artis yang lebih popular ingin ditempatkan di meja sama.
“Namun, itu semua kisah lama. Pada waktu itu, saya sering bertanya pada diri, bagaimanakah rasanya bergelar selebriti popular. Sekarang, saya sendiri sudah merasainya,” ujar Zul.
Magis
Sama dengan bintang-bintang popular lain, populariti Zul turut disertakan dengan kesetiaan ratusan ribu peminat yang tidak pernah jemu mengerumuninya tatkala keluar berpergian.
Tambah anak bongsu daripada empat beradik itu, tiada apa yang lebih mengujakan selain daripada semangat serta sokongan padu diterimanya ketika ini.
“Sejak bergelar pelakon, saya tidak pernah mendapat sokongan sebanyak dan sekerap sekarang, apatah lagi dikerumuni khalayak meminta untuk bergambar bersama.
“Namun, saya hargai itu semua. Bagi saya, peminat adalah tulang belakang seseorang pelakon. Tanpa mereka, mungkin saya tidak berada di sini sekarang,” ujar Zul panjang lebar.
Melanjutkan bicara mengenai sokongan yang diterima daripada peminat, Ayda pula mencelah, dia berasa sungguh beruntung kerana namanya dipilih oleh pihak produser untuk membintangi drama Rindu Awak 200%.
Luah Ayda, telah banyak jiwanya larut dalam kepayahan sewaktu ingin meneruskan karier lakonan selepas disingkirkan daripada AF9 beberapa tahun lalu.
“Ramai yang mendakwa saya bertuah walaupun telah ditendang keluar daripada AF9. Namun, tiada siapa yang tahu kepayahan yang saya lalui sebelum dikenali menerusi Rindu Awak 200%.
“Saya pernah berputus asa tetapi saya tetap teruskan usaha untuk mengembangkan karier kerana yakin itu merupakan cara Tuhan menguji hambanya.
“Benar apa orang cakap, rezeki itu rahsia Allah dan rezeki itu ada di mana-mana sahaja. Alhamdulillah, kerjaya saya sebagai pelakon mula berkembang dengan baik,” katanya yang kini muncul menerusi drama Isteri Separuh Masa bersama pelakon Emma Maembong dan Aiman Hakim Ridza.
Menganggap peluang yang diberikan itu sebagai sebuah keajaiban, Ayda berharap namanya terus kekal di persada lakonan.
“Sejujurnya, saya berharap terus kekal untuk satu tempoh yang agak lama. Bukan senang untuk dikenali dan bukan senang juga untuk mengekalkan kelangsungan sebagai pelakon,” ujarnya positif.
Serasi
Menyentuh mengenai isu yang terbit antaranya dan Ayda, Zul pula berpendapat, setiap pelakon perlu mempunyai keserasian dengan pasangan masing-masing.
Bagi pelakon Istikharah Cinta itu, keserasian sememangnya penting, lebih-lebih lagi untuk menjayakan babak yang memerlukan lontaran dialog tanpa henti.
“Dalam pembikinan drama atau filem, pasti ada babak yang memerlukan pelakon lelaki dan perempuan menyambut dialog tanpa henti. Jadi, keserasian antara pelakon itu sangat penting.
“Pada pendapat saya, isu Ayda dan saya terlalu mesra atau suka antara satu sama lain hanyalah perkara remeh. Setiap pelakon perlu menyukai pasangan masing-masing. Dari situ, timbulnya keserasian.
“Apabila telah serasi, bukan sahaja kerja menjadi lebih mudah tetapi penonton juga dapat merasakannya menerusi layar kaca,” terang Zul.
Ditanya, bagaimanakah mereka mahu mengekalkan momentum lakonan pada masa akan datang, kedua-duanya bersetuju untuk memberikan yang terbaik dalam setiap naskhah dipertanggungjawabkan kepada mereka.
“Peminat telah tahu keupayaan kami menerusi drama tersebut. Sebagai pelakon, kami perlu mengatasi jangkaan mereka supaya apa yang dipersembahkan kelak tidak berbaur klise.
“Ia mungkin agak sukar tetapi itu merupakan cabaran yang perlu disahut untuk kekal relevan dalam industri,” jelas Ayda.
DFKL2015
Selepas berjaya mencipta fenomena menerusi drama Rindu Awak 200%, Zul dan Ayda tidak terlepas daripada menerima pengiktirafan serta anugerah.
Buktinya, Zul berjaya meraih anugerah Pelakon TV MeleTOP, manakala Ayda pula membawa pulang anugerah Artis Baharu MeleTOP dan Bintang Top Top MeleTOP Wanita menerusi penganjuran kedua Anugerah MeleTOP Era yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 Februari lalu.
Terbaharu, nama mereka sekali lagi dicalonkan menerusi empat kategori dalam majlis Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL2015) yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Kategori-kategori tersebut termasuklah Pelakon Lelaki Pilihan, Pelakon Perempuan Pilihan, Hero & Heroin Pilihan serta Barisan Pelakon Pilihan yang semuanya diraih hasil impak drama Rindu Awak 200%.
Mengakui teruja dengan pencalonan itu, Ayda berharap penyertaannya bakal menambahkan kemeriahan dan persaingan dalam pertandingan tersebut.
“Seperti yang diketahui umum, ramai pelakon berbakat tercalon dalam pertandingan itu.
“Menang atau kalah, DFKL2015 bakal menjadi platform kepada pelakon untuk berentap secara sihat,” ujar Aida positif.
Bagi Zul pula, penyertaan dalam DFKL2015 tahun ini telah memberikan peluang untuk terus dikenali, selain melunaskan harapan bertanding bersama pelakon lain.
“Saya pernah bercita-cita untuk menembusi DFKL sewaktu anugerah ini dilangsungkan buat pertama kali tahun lalu.
“Pada waktu itu, kami baru sahaja memulakan penggambaran drama Rindu Awak 200%. Alhamdulillah, impian saya terlaksana,” ujar Zul menyimpan debarnya.
DFKL2015 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Selangor pada 21 Mac ini.
Acara itu juga akan disiarkan secara langsung di saluran 103 Astro, pada pukul 9 malam.


Woo-bin enggan izin adik kahwini artis





Pelakon dan juga model, Kim Woo-bin baru-baru ini membuat kenyataan, tidak akan mengizinkan adik perempuannya berkahwin dengan artis.
Dalam siaran langsung Entertainment Weekly di saluran KBS baru-baru ini, Woo-bin hadir bersama dua lagi pelakon utama filem Twenty, Kang Ha-neul dan Junho.
Ketika program sedang berlangsung, wartawan program berkenaan mengajukan soalan, bagaimana sekiranya adik perempuan mereka mahu berkahwin dengan salah seorang daripada pelakon filem Twenty, siapakah yang akan dipilih?
Selepas mendengar soalan itu, tiada seorang pun daripada tiga pelakon berkenaan bersuara memberikan jawapan.
Woo-bin, satu-satunya dalam kalangan pelakon itu yang mempunyai adik perempuan akhirnya membuka mulut. Katanya: “Perkara itu tidak boleh berlaku. Lebih baik untuk kami kekal berkawan baik seperti sekarang.”
Jawapan Woo-bin disambut dengan gurauan oleh Junho.
“Saya juga tidak mahu melihat ada antara keluarga kita yang berpecah belah kerana hal demikian,” kata Junho.


Komedi mendewasakan Ah Boys To Men



Jack Neo (tengah) bersama para pelakon filem Ah Boys To Men 3: Frogmen, antaranya Maxi Lim (empat dari kanan) dan Wang Wei Liang (lima dari kanan).


Penghasilan sebuah filem komedi yang bukan sekadar lawak bodoh adalah satu tugasan mencabar terutama apabila penonton menjangkakan sesuatu yang tidak berat, sesuai dengan genre komedi iaitu untuk bergelak ketawa.
Garapan jalan cerita yang santai tetapi pada masa yang sama membina titian hubungan antara situasi kehidupan sebenar dan di dalam filem perlu diukir dinamik agar tidak lari daripada konsep sebenar.
Sekuel ketiga Ah Boys To Men: Frogmen dari Singapura boleh disifatkan mencapai satu tahap cemerlang apabila penonton bukan saja tercuit dengan keseronokan bergelak ketawa tetapi turut menikam sayu ke hati.
Pengarah Jack Neo membawa penonton untuk merasai pengalaman remaja Singapura yang terpilih mengikuti program khidmat negara dengan lebih dekat dan mendalami konflik dalaman yang terpaksa ditempuh peserta sepanjang 40 minggu latihan dijalankan.
Berbeza dengan dua filem terdahulu, latihan yang dijalani oleh watak-watak kali ini adalah berpaksikan asas latihan tentera laut yang terkenal sebagai latihan ketenteraan paling sukar.
Walaupun masih bergerak atas jalur komedi, namun gurauan yang diselitkan dalam dialog-dialog pelakonnya membuat penonton berfikir sejenak.
Nilai-nilai murni yang ditonjolkan sangat jelas iaitu semangat setiakawan, disiplin serta hormat-menghormati sepanjang penceritaan.
Menerusi cerita ini juga, pengarah turut menitipkan faedah-faedah yang dapat dikutip oleh peserta khidmat negara untuk membentuk personaliti lebih baik dalam jiwa anak muda.
Walaupun menonjolkan kekerasan dalam latihan yang dijalani, pandangan penonton dibuka ketika jalan cerita menuju klimaks. Sedikit demi sedikit, perubahan sikap watak-watak utama sangat menarik perhatian.
Menerusi setiap babak yang dipersembahkan, penonton dapat mengaitkan perasaan watak-wataknya dengan kehidupan seharian. Situasi yang diwujudkan pengarah terasa begitu dekat dengan apa yang sedang berlaku dalam kalangan masyarakat.
Filem ini memfokuskan pada empat watak utama iaitu Lobang King lakonan Wang Weilang, seorang remaja yang penuh tipu muslihat, Ken Chow (Joshua Tan). anak orang kaya yang terlalu dimanjakan, Wayang King (Mazi Lim), remaja genius tetapi lurus bendul dan Hei Long (Wesley wong), remaja bermasalah yang mempunyai kumpulan gengster.
Latar belakang keluarga watak-watak utama yang berbeza menjadikan jalan cerita lebih menarik. Pendekatan watak-watak itu berhadapan situasi yang menjadikan mereka lebih matang, sesuai dengan tajuk ceritanya, Ah Boys To Men. Sepintas lalu, tajuk itu seperti membawa maksud perjalanan budak lelaki menjadi lelaki dewasa.
Perwatakan selamba Lobang, remaja kaki tipu, rupa-rupanya seorang abang dan anak yang cukup rapat dengan keluarga mendatangkan rasa terharu.
Wataknya berkembang mencapai satu penamat yang membuktikan kejayaan hanya boleh dicapai andai tidak putus asa di pertengahan jalan.
Emosi ditunjukkan Lobang dalam adegan dia harus membuat keputusan menyerahkan ibunya yang ketagih dadah kepada polis sangat menyentuh sanubari.
Elemen-elemen komedi seperti watak Wayang yang lurus bendul tetapi sentiasa berusaha untuk rapat dengan ahli kumpulannya sangat menghiburkan.
Di situ, pengarah sekali lagi berjaya membuat penonton berfikir. Wayang yang digambarkan selalu rela dibuli oleh Hei Long akhirnya menunjukkan kebolehan sebenar apabila bangkit mempertahankan diri setelah Hei Long tetap tidak belajar daripada kesilapan dan bersikap bodoh sombongnya.
Secara keseluruhannya, filem Ah Boys To Men 3: Frogmen menyajikan penonton dengan komedi yang bukan sekadar menyajikan jenaka ringan, sebaliknya mendewasakan pemikiran penonton tanpa mengira usia.


Sensasi bintang YouTube


BINTANG YouTube yang popular menerusi bakat seni masing-masing. (Dari kiri) Jin Lim, Jun Sung-ahn, Justin, Jason dan Dan Matthews.


Fenomena kelahiran bintang daripada YouTube sudah berlaku kepada beberapa bintang seperti Najwa Latif, Justin Bieber, Zee Avi dan Greyson Chance. Bermula sekadar suka-suka, kini mereka sudah tersohor dan diangkat sebagai selebriti.
Itu impak YouTube terhadap bintang popular berkenaan, tetapi nama-nama seperti JRod Twins, DanakaDan, Jun Sung-ahn dan JinnyBoy mungkin masih asing dalam atmosfera hiburan arus perdana. Belum dipuja atau diagungkan seperti bintang terkemuka K-Pop, Hollywood atau Bollywood yang saban waktu menjadi buruan media, namun pengaruh JRod Twins, DanakaDan, Jun Sung-ahn atau JinnyBoy, sudah mula memberi impak kepada pengguna YouTube.
Mereka mencetuskan sensasi bersandarkan bakat seni nyanyian, muzik dan filem yang mengalir dalam diri. Bermula sebagai hobi, kini YouTube bukan sahaja saluran untuk mempertontonkan bakat tetapi juga asas kepada kerjaya mereka hari ini.
Meskipun tidak memiliki ratusan ribu pengikut di saluran YouTube masing-masing, namun populariti mereka setanding selebriti yang mempunyai jutaan pengikut di Instagram.
Ditemui pada sidang akhbar program jelajah Reach Out Convention & Celebration 2015 di Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka berkongsi pengalaman tentang bakat seni dan kemahiran yang dimiliki dengan belia tempatan dalam program anjuran stesen radio iM4U itu.
Jin minat bikin filem
JinnyboyTV merupakan antara saluran YouTube paling popular buat pengguna laman perkongsian video tersebut di Malaysia. Diasaskan oleh Jin Lim, 30, yang juga penyampai radio Hitz FM, popularitinya hadir dalam situasi yang tidak disengajakan.
Bermula dengan hanya berkongsi video temu bual bersama artis terkenal untuk tatapan pendengar radio berkenaan, secara tidak langsung Jin telah mengumpul peminat dan tanpa disedari angka itu semakin bertambah saban hari.
“Tujuan asal saya membuka saluran di YouTube menggunakan nama JinnyboyTV untuk berkongsi video temu bual dengan artis terkenal bersama pendengar radio Hitz fm. Kemudian, buat pertama kalinya saya membikin filem pendek pertama berjudul Ah Wing - Malaysia’s Number 1 Salesman untuk suka-suka.
“Saya tidak sangka orang ramai menyukai filem pendek tersebut. Sejak daripada itu, saya tidak pernah berhenti untuk membikin filem bercerita tentang kehidupan masyarakat di Malaysia,” katanya yang mula aktif di YouTube sejak tahun 2012.
Tanpa YouTube, Jin mengakui, berkemungkinan besar dia tidak akan popular seperti hari ini.
“Mungkin terdapat medium perkongsian video lain selain YouTube, tetapi saya tidak pasti adakah prosesnya semudah YouTube? Saya mungkin tidak membikin filem pendek jika YouTube tidak wujud,” balasnya yang juga popular di Australia, Thailand, Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) khususnya di Los Angeles.

PASANGAN kembar, Jason (kiri) dan Justin tidak sangka dapat mengumpul ramai peminat dengan menyanyikan lagu saduran penyanyi terkenal.


Bercakap tentang masa depannya, Jin berkata saluran JinnyboyTV akan menampilkan siri animasi yang mencerminkan suasana kehidupan di Malaysia.
“Setiap filem pendek atau video yang saya hasilkan pasti menyelitkan tentang Malaysia. Sama seperti siri animasi yang akan menemui peminat tidak lama lagi. Bagi saya siri animasi lebih mudah menarik minat, bukan sahaja masyarakat tempatan tetapi juga antarabangsa,” ujarnya yang mempunyai 504,270 pengikut tetap di saluran YouTube miliknya.
Lagu saduran popularkan JRod Twins
Pasangan adik-beradik kembar, Jason dan Justin Rodjanapanyakul, 24, popular di YouTube menerusi saluran mereka yang diberi nama JRod Twins. Mempunyai 24,102 jumlah pengikut, pasangan kembar yang berasal dari Seattle, AS itu popular dengan hanya menyanyikan lagu saduran penyanyi popular.
Kata mereka, bermula sekadar suka-suka, bagaimanapun selepas menerima respons positif daripada orang ramai, mereka mula mengambil serius setiap kali memuat naik video terbaharu di YouTube.
“Kami bermula di YouTube sekitar lima tahun lalu dan hanya serius sejak tiga tahun kebelakangan ini. Waktu itu, belum ada pasangan kembar menyanyi bersama, jadi saya fikir sebelum orang lain buat, lebih baik kami muncul sebagai pasangan penyanyi kembar terlebih dahulu.
“Saya tidak sangka video yang dimuat naik sekadar hobi telah berjaya mengumpul peminat yang ramai. Akhirnya, menyanyi di YouTube menjadi kerjaya utama kami selain membikin video menarik lain di akaun masing-masing,” kata Justin.
Tambah Jason pula, dia tidak menyangka populariti di YouTube telah membawa mereka ke serata di dunia termasuk Malaysia.
“Walaupun sekadar menyanyi lagu saduran penyanyi lain, kami pastikan lagu tersebut dinyanyikan mengikut acuan sendiri. Maknanya, ia kedengaran seperti lagu asal kami sendiri,” kata Jason.
Demi mengembangkan kerjaya seni, Jason dan Justin bakal berpindah ke Los Angeles tidak lama lagi untuk tinggal berdekatan dengan bintang YouTube yang lain.
“Kami berpindah untuk mengembangkan kerjaya seni dan akan pertimbangkan andai menerima tawaran daripada mana-mana label rakaman. Namun, setakat hari ini kami lebih selesa bergerak sendiri.
“Bukan berlagak bagus, tetapi jika bergerak sendiri kami bebas mengikut kemahuan hati dan melakukan apa yang kami minat tanpa paksaan daripada pihak lain,” ujar Jason.
Jun Sung-ahn pemain biola popular
Jun Sung-ahn, 22, pemuda yang dilahirkan di Korea Selatan tetapi kini menetap di Illinois, Chicago, AS mencipta sensasi di YouTube hanya dengan gesekan biolanya.
Pelajar jurusan perfileman di Universiti Northwestern, Chicago itu memiliki seramai 562, 920 pengikut di saluran miliknya menggunakan nama JunCurryAhn.
Sung-ahn belajar bermain biola sejak berusia 10 tahun. Pada mulanya dia mengguna YouTube sebagai saluran untuk berkongsi bakat dan minatnya terhadap muzik bersama pengguna internet yang lain.

JINNYBOYTV, antara saluran YouTube yang cukup sensasi milik anak Malaysia yang terkenal di beberapa buah negara termasuk AS, Australia dan Thailand.


“Apabila saya masuk ke universiti, saya tidak ada masa untuk berlatih bermain biola kerana sibuk dengan kuliah. Saya berasa cukup rugi kerana sebelum ini, saya telah belajar dan berlatih bermain biola selama lima jam sehari. Bayangkan perasaan saya apabila terpaksa melupakan semua itu.
“Sebab itu, saya memilih YouTube sebagai saluran untuk menunjukkan bakat. Sekurang-kurangnya, saya ada alasan setiap hari untuk bermain biola,” katanya.
Walaupun dipersendakan rakannya sewaktu mula-mula memuat naik video bermain biola di YouTube, kini, Sung-ahn boleh tersenyum lebar kerana bakatnya bukan sahaja diakui oleh peminat tetapi juga industri muzik K-Pop.
“Saya pernah terlibat dalam program muzik popular Korea Selatan iaitu M! Countdown Los Angeles Special yang berlangsung tahun lalu. Pernah juga saya diundang untuk program yang sama di Jepun,” tuturnya.
Sung-ahn yang masih belum membuat keputusan sama ada hendak menetap di Korea Selatan atau Los Angeles itu menjelaskan, dia tidak mungkin aktif bermain biola andai YouTube tidak wujud.
“Jika YouTube tidak ada, mungkin saya sudah melupakan minat terhadap biola. Saya tidak sangka dikenali oleh orang ramai dan diundang mengadakan persembahan ke luar negara kerana YouTube,” bicaranya yang bercita-cita menjadi seorang pengarah filem pada masa akan datang.
DanakaDan bertemu keluarga kandung
Penyanyi rap DanakaDan atau nama sebenarnya Dan Matthews, 30, yang berasal dari Los Angeles, AS, pula mencipta sensasi luar biasa bukan sahaja menerusi muzik tetapi juga kehidupan peribadinya.
Walaupun Dan hanya memiliki jumlah pengikut seramai 11,447 orang sahaja tetapi dia telah menyentuh hati banyak pihak dengan kisah sedihnya. Dan yang berasal dari Korea Selatan menjadi anak angkat kepada pasangan suami isteri di Camarillo, California sejak berusia lapan bulan.
Pada tahun 2013, dia berusaha menjejaki ibu bapa kandungnya di Korea Selatan. Merakam perjalanannya ke Korea Selatan dalam bentuk dokumentari menjadikan Dan terkenal dalam sekelip mata.
Dokumentari yang telah ditonton oleh 253,556 orang sejak ia dimuat naik setahun lalu di YouTube, telah membuka mata banyak pihak tentang sistem pengambilan anak angkat dari Korea Selatan ke luar negara.
“Meskipun saya dikenali sebagai penyanyi rap di YouTube, tetapi perkara yang paling memberi kesan ialah rakaman dokumentari perjalanan mencari keluarga kandung di Korea Selatan.
“Selepas 28 tahun, saya bertemu semula dengan ibu bapa termasuk abang kembar. Sebenarnya saya bukan ingin mencari keuntungan atau populariti, sebaliknya berkongsi kisah peribadi supaya memberi inspirasi kepada orang lain,” tuturnya.
Bercakap tentang kerjaya seninya, YouTube telah mengumpulkan pengaruh yang bukan sedikit terhadap Dan. Keyakinan penyokong di YouTube telah merealisasikan penerbitan album sulungnya yang berjudul Stuntman pada tahun lalu.
“Pertemuan semula dengan keluarga kandung merupakan inspirasi utama untuk kebanyakan lagu dalam album ini. Tanpa YouTube mungkin saya tidak dikenali peminat,” tuturnya.