SUDAH lima tahun koreografer terkenal dari Sayang Dancers iaitu Farah Datuk Seri Sulaiman, 52, melakukan persembahan sambil beramal.
Dengan memperkenalkan Farah Sulaiman & Friends, Farah telah menerbitkan beberapa persembahan amal seperti Dance Hysteria untuk membantu Persatuan Talasemia Malaysia pada tahun 2000, Broadway Babies (Persatuan Talasemia Malaysia, 2001), Dance Hysteria 2 (Tasputra Perkim, 2004), Jalan Impian The Musical (Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Hulu Langat, 2005) dan DanSing Thru Broadway (Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Hulu Langat, 2008).
Tahun ini, persembahan muzikal Sparks of Broadway bakal dipentaskan pada 25 hingga 27 Mei ini di Auditorium DBKL untuk membantu Pusat Sindrom Down Malaysia (PSDM).
Hasil daripada jualan tiket muzikal itu akan didermakan untuk mencukupkan dana berjumlah RM500,000 bagi menubuhkan program Latihan Karier dan Vokasional untuk golongan Sindrom Down yang berada di bawah jagaan PSDM.
Muzik broadway pastinya menjadi pilihan persembahan yang diarahkan oleh Sabrina Hassan dan Peter Ong itu kerana ia merupakan muzik yang digemari oleh Farah sejak berusia lapan tahun.
Di samping itu, Farah yang bertindak selaku penerbit dan koreografer muzikal itu berkata dia mahu memberikan pendedahan tentang muzik broadway kepada generasi muda memandangkan pelbagai muzik baru yang datang dan pergi silih berganti.
“Apabila saya mengajar tentang tarian broadway, saya akan jelaskan tentang lagu, karakter dan apakah cerita mengenainya.
“Kami telah mengadakan latihan untuk persembahan ini sejak November tahun lalu pada setiap hujung minggu di Duta Nusantara tetapi sekarang kami berpindah ke Akademi Seni, Budaya dan Warisan (ASWARA),” katanya ketika sidang media muzikal tersebut di Duta Nusantara.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh penaung Sparks of Broadway iaitu Datin Norzieta Zakaria, isteri kepada Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Presiden PSDM, Wan Mohd Hanizan Wan Ramlan.
Menyentuh tentang muzikal itu, sebanyak 21 buah lagu yang dipilih oleh Farah dan Sabrina.
Antara lagu-lagu yang diambil daripada 17 muzikal broadway berbeza adalah All That Jazz (Chicago), Summer Nights (Grease), Broadway Baby (Follies) dan Without Love (HairSpray).
Para audiens yang hadir akan dapat menyelami dunia magis broadway di mana setiap lagu mempunyai cerita tersendiri dibantu dengan lampu yang berkilau, muzik toe-tapping, tarian yang dinamik, set pentas dan kostum yang cantik.
Persembahan itu melibatkan 54 orang termasuk Sayang Dancers Junior yang berusia antara 7 hingga 18 tahun yang dilatih oleh Farah sendiri.
“Semua kanak-kanak yang terlibat itu baru pertama kali mempelajari muzik broadway ini. Bagaimanapun, mereka sangat komited dan serius semasa mempelajarinya bagi memberikan persembahan yang terbaik kelak.
“Walaupun masing-masing mempunyai komitmen dengan kelas dan peperiksaan di sekolah beberapa bulan lalu, namun mereka menampung semula latihan itu dengan memberikan tumpuan sepenuhnya setelah diberikan cuti seketika
“Saya berasa sangat seronok bekerja dengan mereka yang bukan sahaja muda tetapi berbakat. Mereka pandai melakukan pelbagai aksi menarik termasuk berlakon dan menari,” katanya yang menceburi dunia tarian sejak tahun 1974.
Muzik diperakui boleh menggembirakan kanak-kanak Sindrom Down. Pelbagai jenis muzik yang boleh membantu golongan seperti ini untuk mencapai kebahagiaan seperti insan biasa yang lain. Ada yang menari dan memberikan pelbagai respons apabila mendengar muzik.
“Saya agak terkejut dengan kepandaian kanak-kanak dari PSDM yang akan turut serta menari apabila pelajar saya menari bersama-sama mereka. Mereka bukan sahaja pandai bergaul dengan orang lain malah ada yang mempunyai bakat dalam bidang seni lukis.
“Saya tertarik dengan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang menghasilkan lukisan yang sangat hebat,” ujarnya lagi.
Farah berkata kanak-kanak Down Sindrom dari PSDM turut akan dijemput untuk menyaksikan muzikal itu semasa salah satu persembahan matinee.
Terdapat lima persembahan Sparks of Broadway yang akan dibuka kepada peminat muzikal broadway bermula 25 hingga 27 Jun ini di Auditorium DBKL.
Persembahan Malam Gala pada 25 Jun ini, pukul 8.30 malam akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Tiket pada Malam Gala dijual pada harga RM80 hingga RM120. Sementara malam 26 dan 27 Jun, pukul 8.30 malam berharga RM50, RM60 dan RM80 manakala tiket untuk persembahan matinee, pukul 3 petang pada 26 dan 27 Jun dijual pada harga RM40.
Dapatkan tiket sekarang! Ia boleh dibeli menerusi talian di www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41498600 (dibuka dari pukul 9 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: