IPOH - Biarpun jumlah buku yang dibaca purata rakyat Malaysia bertambah dari tahun-tahun sebelumnya, ia masih belum memadai.
Itulah gambaran tentang amalan membaca di kalangan masyarakat di negara ini dengan purata antara lapan hingga 12 buah buku setahun.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kei berkata, biarpun ada pertambahan jumlah buku, namun pihaknya masih tidak berpuas hati dengan pencapaian tersebut.
Justeru, jelasnya, usaha berganda menerusi jalinan kerjasama dengan semua pihak termasuk sekolah, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat korporat sedang dilakukan bagi menarik minat membaca di kalangan masyarakat terutama pelajar.
"Berdasarkan statistik, kadar purata membaca mengikut golongan umur, kita dapati golongan di peringkat persekolahan mempunyai purata membaca 12 buah buku setahun.
"Bagaimanapun, selepas tamat pengajian atau selepas berusia 21 tahun, purata membaca jatuh kepada lapan buah buku setahun," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Mari Membaca 1Malaysia di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: