|
|
REMAJA Jepun dan Korea sememangnya sangat gilakan gajet. Tengok sahaja telefon bimbit mereka, pelbagai bentuk dan warna dihasilkan untuk memenuhi keperluan golongan ini, terutamanya bagi anak-anak gadis.
Gajet yang menggunakan karakter terkenal seperti Hello Kitty, Power Puff Girls, Hanna Montana dan sebagainya sememangnya banyak dihasilkan sama ada untuk anak gadis kecil atau yang meningkat remaja.
Selain telefon bimbit dan pemain MP3, ramai juga golongan remaja kini mula berjinak-jinak dengan dunia pengkomputeran kerana ingin sentiasa dihubungkan ke laman sosial seperti facebook, MySpace, Twitter dan sebagainya.
Yang menariknya, bukan golongan ini sahaja yang sangat teruja dengan laman-laman sosial tersebut, bahkan ibu mereka juga kadang kala terlebih taksub dengan dunia facebook mereka.
Memandangkan pasaran gajet dan komputer untuk golongan wanita semakin meningkat, maka pengeluar barangan elektronik mula menghasilkan produk-produk dengan reka bentuk khusus untuk mereka.
Samsung misalnya antara pengeluar produk elektronik yang sentiasa peka dengan keperluan 'Girls Power' dan baru-baru ini membangunkan notebook atau komputer buku khas untuk peminat-peminat patung Barbie.
Notebook Barbie yang akan melengkapkan koleksi anak-anak gadis itu mempunyai dua warna iaitu hitam dan merah jambu.
Komputer ini menggunakan skrin bersaiz 11.6 inci dengan resolusi maksima 1366 x 768, RAM 4 Gigabait (GB), pemproses 1.3Ghz Intel Core 2 Duo, cakera keras (HDD) 500 GB dan kad grafik GMA4500MHD.
Bagi hubungan wayarles pula, anda boleh menggunakan kemudahan WiFi dan Bluetooth yang disediakan dalam komputer ini.
Komputer ini menggunakan bateri sembilan sel yang mampu memberikan kuasa sehingga sembilan jam dan beratnya hanya 1.36 kilogram dengan tebal 2.54 sentimeter, yang sangat sesuai untuk dibawa ke mana sahaja.
Bagi yang mempunyai anak gadis, sememangnya notebook ini sangat sesuai untuk dijadikan hadiah hari jadi atau kerana mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan mereka.
Apa yang menarik bagi anak-anak remaja ini mungkin kamera web 1.3 megapiksel yang dipasang kerana ia sudah tentu memudahkan panggilan video dilakukan oleh ibu atau bapa mereka ketika di pejabat atau luar negara.
Bagaimanapun, memandangkan komputer ini mempunyai spesifikasi berkuasa tinggi, mungkin juga ia lebih sesuai digunakan untuk anak remaja atau ibu mereka sendiri.
Setakat ini, notebook Samsung X-Series Barbie Special Edition ini hanya dipasarkan di Korea Selatan dengan harga kira-kira RM3,620.
Pada awal pengeluarannya, Fujitsu hanya memperkenalkan netbook MH380 berwarna merah dan hitam tetapi menambahkan warna merah jambu sebagai tarikan kepada anak-anak gadis.
Netbook ini mempunyai skrin 10.1 inci, paparan 1366 x 768, pemproses Intel Atom N450, WiFi, Bluetooth, WiMax, bateri enam sel dan menggunakan Windows 7 starter edition.
Sementara itu, Sony melalui netbook Vaio P terbarunya juga sangat sesuai untuk menjadi pilihan mereka yang inginkan komputer kecil tetapi mempunyai pelbagai fungsi lengkap.
Dengan hanya seberat 619 gram, Vaio P dilengkapi dengan WiMax, WiFi ABGN, Bluetooh dan kamera 0.31 megapiksel.
Model asas Atom Z530 berkuasa 1.60GHz dan model Atom Z560 (2,13GHz) mempunyai 2GB RAM, 64GB SSD dan cipset Intel SCH US15W yang menggunakan monitor bersaiz lapan inci.
Selain daripada warna merah jambu, Vaio P juga mempunyai empat warna yang lain termasuk warna 'Crocodile' yang tentu akan menambahkan koleksi gajet bergaya anda.
Tetapi itu semua kurang penting, kerana ciri terbaru bagi komputer ini ialah PS3 Remote Play yang mana jika anda menggunakan PlayStation 3 (PS3) dengan firmware 3.30 ke atas, anda boleh mengakses kandungan PS3 anda dan juga merakam program televisyen melalui Vaio P.
Selain itu, ia juga mempunyai Sistem Kedudukan Global (GPS), kompas digital, imej berpusing mengikut kedudukan komputer, WiMax (Everwair 3G) dan sensor accelometer.
Sememangnya bertuah sungguh anak-anak gadis masa kini kerana adanya gajet-gajet terkini, mereka tentu tidak perlu bersusah-payah untuk mengisi masa lapang dengan bermain teng teng, batu seremban, lompat getah dan congkak seperti rakan sebaya di zaman dahulu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: