|
|
KOTA BHARU 30 Mei - Bidang perguruan semakin mendapat perhatian masyarakat khususnya di kalangan generasi muda apabila jumlah siswazah yang memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kian bertambah.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pihaknya menerima 40,000 permohonan KPLI setiap tahun iaitu jumlah yang sangat ramai.
''Selain siswazah, KPLI turut menjadi buruan golongan yang telah bekerja dan sanggup melepaskan jawatan sebagai peguam, jurutera, pegawai eksekutif dan pensyarah bergaji lebih lumayan untuk menjadi seorang guru.
''Perkembangan ini amat menakjubkan kerana mereka sanggup mengorbankan kerjaya yang telah diterokai dan melepaskan gaji tinggi semata-mata menjadi guru," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvokesyen kali ke-47 Institut Pendidikan Guru, Kampus Kota Bharu di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pelajaran, Datuk Misrah Ibrahim.
Dalam pada itu, Alimuddin meminta guru pelatih menunjukkan kesungguhan yang berterusan selepas bergelar guru dengan mengajar murid-murid daripada pelbagai latar belakang dengan ikhlas.
''Sekiranya teori dan praktikal semasa latihan gagal diaplikasikan, rujuk dengan guru-guru yang lebih berpengalaman," katanya.
Sementara itu, seorang graduan dan bapa kepada tiga anak dianugerahkan Pelajar Cemerlang Kokurikulum apabila berjaya menyeimbangkan di antara akademik dan aktiviti luar.
Shahrul Nizam Shahlan, 32, mengakui untuk menyeimbangkan akademik dan kokurikulum memang meletihkan.
Sebelum mengikuti KPLI, Shahrul Nizam memegang jawatan Pengurus Keselamatan di Johor Bahru selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Teknologi Percetakan dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
Seorang lagi pelatih yang juga bekas Eksekutif Pemasaran Takaful Malaysia cawangan Kota Bharu, Mahani Mat Deris, 33, berkata, dia sanggup meninggalkan jawatan dan gaji lumayan semata-mata untuk menjadi guru.
''Guru adalah cita-cita sejak kecil dan apabila anak-anak semakin membesar, kerjaya ini paling sesuai kerana mempunyai lebih banyak masa dengan mereka," katanya yang dianugerahkan sebagai Pelajar Cemerlang Praktikal.
Penerima Anugerah Pencapaian Terbaik Keseluruhan, Aminah Sabtu, 29, berkata, dia pernah kecewa apabila permohonannya sebelum ini untuk memasuki maktab perguruan ditolak.
Namun dia tidak berputus asa dan kesabarannya itu berbaloi apabila hari ini, selain anugerah itu dia turut menerima anugerah Pelajar Cemerlang Akademik.
Aminah kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Batu Unjur, Klang, Selangor sebagai guru bimbingan dan kaunseling.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: