Sunday, May 30, 2010

UPM lahir robot terbaik

DUNIA robotik tempatan mungkin belum lagi sehebat Jepun namun tidak bermakna pencapaian negara kita jauh ketinggalan dalam penciptaan teknologi berkaitan.

TERBAIK...pasukan UPM ungguli kategori robot rope climbing.
TERBAIK...pasukan UPM ungguli kategori robot rope climbing.

UJI...Hasimi dan rakan menguji keupayaan robot rope climbing UPM. UJI...Hasimi dan rakan menguji keupayaan robot rope climbing UPM. MEGAH...Safwan bersama rakan memegang robot paintball ciptaan  mereka. MEGAH...Safwan bersama rakan memegang robot paintball ciptaan mereka.  BERJAYA...pasukan mencipta robot dari Fakulti Kejuruteraan, UPM  yang mengungguli Pertandingan Robotik Antara Universiti Malaysia (Muroc)  2010, baru-baru ini. BERJAYA...pasukan mencipta robot dari Fakulti Kejuruteraan, UPM yang mengungguli Pertandingan Robotik Antara Universiti Malaysia (Muroc) 2010, baru-baru ini.

UJI...Hasimi dan rakan menguji keupayaan robot rope climbing UPM.


Itu pendirian pasukan mencipta robot dari Fakulti Kejuruteraan, Jabatan Elektrikal Dan Elektronik (FKJEE) Universiti Putra Malaysia (UPM) yang kini antara 'kuasa besar' penciptaan robot di negara ini sejak kebelakangan.

Baru-baru, UPM memperoleh pencapaian membanggakan ketika berlangsung Pertandingan Robotik Antara Universiti Malaysia (Muroc) 2010, di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).


Mereka mengungguli dua kategori ciptaan robot , iaitu Rope Cilmbing dan Paintball Robotik, dan hanya tercicir di tempat kedua bagi kategori Fire Fighter.

Pensyarah di FKJEE, Wan Juha Wan Hasan, berkata prestasi terbaik UPM dalam pertandingan berkenaan adalah satu dimensi baru buat mereka dalam penerokaan dunia robotik di negara ini.

"Ia cukup baik sebagai satu pendedahan kepada penuntut, terutama daripada aspek daya cipta dan kayu ukur buat mereka menilai ciptaan (robot) yang dihasilkan.

"Saya percaya, jika pertandingan (reka cipta robot) begini lebih kerap diadakan, ia mampu membawa perkembangan teknologi robot ini lebih jauh ke depan," katanya yang mengetuai pasukan UPM dalam Muroc kali ini.

Di samping itu, Juha berkata, meskipun UPM berjaya mengecapi kejayaan besar kejohanan itu, ia sebenarnya bukan perkara penting bagi mereka.

Katanya, ia lebih memberi manfaat besar kepada penuntut yang terbabit dalam kejohanan itu kerana ia adalah aplikasi daripada apa yang mereka pelajari di dewan kuliah masing-masing.

"Ketika saya masih menuntut dulu, kami (penuntut kejuruteraan) hanya terdedah kepada teori, pendedahan terhadap kreativiti dan daya cipta tidak ada.

"Jadi, saya lihat (Muroc) ini satu manifestasi yang cukup baik kepada penuntut untuk menterjemahkan apa yang mereka pelajari kepada sesuatu yang lebih realiti," katanya.

Ikuti pendapat lanjut daripada penuntut UPM yang terbabit dalam kejohanan berkenaan, Mohd Safwan Mohd Somari, 26, Mohd Afiq Abdul Ghafar, 21, dan Mohd Hasimi Mohd Sidek, 23, untuk bercerita mengenai pengalaman serta pengetahuan mereka mengenai dunia robot.

Bagi Safwan, Muroc bukan sekadar pertandingan robot biasa, sebaliknya ia adalah medan menentukan arah tuju perkembangan robotik di negara ini.

"Pertandingan ini membabitkan sebahagian besar universiti dalam negara dan ia cukup baik untuk kami berkumpul bagi mengetengahkan kreativiti serta keupayaan ciptaan robot masing-masing.

"Dengan itu, kami boleh berkongsi pengalaman dan pendapat mengenai ciptaan robot sesama kami dengan universiti lain.

"Saya percaya, ia mampu menjadi pencetus ke arah pembangunan cemerlang dalam bidang ini," katanya.

Ketika Muroc berlangsung, Safwan bersama enam rakannya mereka cipta robot paintball bagi kategori robotik paintball.

"Kami mencipta robot hampir satu bulan dan rekaannya berbentuk mesin yang berupaya untuk melancarkan tembakan menggunakan marker (senjata paintball).

"Dalam pertandingan, kami bukan saja perlu memastikan robot ini berfungsi dengan sempurna, bahkan perlu mengendalikannya dengan gerakan pantas dan mampu menyerang serta menepis robot dengan baik," katanya.

"Mencipta robot yang mampu memanjat tali adalah pengalaman yang amat bermakna buat saya. Ia cukup mengujakan," kata Afiq.

Baginya, selain kepuasan, dia beranggapan cabaran sepanjang tiga minggu menyiapkan robot berkenaan bersama rakan memberi pengalaman yang cukup bermakna kerana ia bukannya sesuatu yang mudah untuk direalisasikan.

"Kami terpaksa mencipta enam bentuk robot sebelum berjaya menghasilkan robot yang benar-benar boleh berfungsi dengan baik dan mampu memanjat tali dengan sepantas mungkin.

"Lebih bermakna lagi, usaha kami menyiapkan robot berkenaan berbalas dengan kemenangan yang kami kecapi dalam kategori ini. Ia bagaikan satu bonus kepada saya, bukan saja kerana kemenangan terbabit, sebaliknya ilmu yang saya perolehi," katanya

Menyingkap perkembangan robotik di peringkat universiti dalam negara, Afiq berkata, setakat ini, walaupun perkembangannya boleh dikatakan positif, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan mutu ciptaan robot yang dihasilkan.

"Masih banyak yang perlu kita tingkatkan dan pelajari dari negara luar. Daripada segi perbelanjaan, kita juga masih agak kekurangan berbanding negara luar yang sanggup berbelanja besar-besaran untuk kemajuan dalam bidang ini," katanya.

Meskipun gagal bergelar juara dalam kategori robot fire fighter, Hasimi menganggap ia satu pengalaman berguna untuk memperbaiki kelemahan mereka.

Hasimi berkata, menjelang pertandingan robot atau Robot Contest (Robocon) kebangsaan yang akan berlangsung pertengahan tahun ini, mereka akan berusaha untuk mempertingkatkan lagi keupayaan robot ciptaan mereka itu.

"Kami akan memberi tumpuan untuk mengurangkan beberapa aspek mekanikal untuk memudahkan pergerakan robot berkenaan supaya ia lebih berkesan dan pantas bergerak.

"Apapun, bagi saya Muroc banyak memberi pendedahan berguna untuk saya dan rakan. Jika sebelum ini saya dan rakan hanya terdedah dengan teori dalam kuliah, melalui Muroc kami dapat mengaplikasinya dan melihat sendiri hasilnya," katanya yang mencipta robot robot fire fighter dengan kebolehan memadam api dan mengutip bola ping pong secara automatik.

Menurut Hasimi, ada wajarnya pertandingan sedemikian diadakan berterusan sepanjang tahun kerana ia adalah salah satu strategi baik untuk melahirkan saintis dan jurutera negara yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Selain menguji kebijaksanaan dan kreativiti penuntut, kami tidak perlu hanya memberi tumpuan kepada bidang akademik, sebaliknya mengambil pendekatan lebih praktikal untuk mampu berdaya saing," katanya.


INFO

  • Pertandingan Robotik Antara Universiti Malaysia (Muroc) 2010 adalah platform mengetengahkan kreativiti penuntut di peringkat universiti dalam mereka cipta robot.
  • Muroc adalah pertandingan yang julung kali diadakan dan tempatnya Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). UPM memenangi kategori Paintball Robot dan Rope Climbing Robot manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjuarai kategori Fire Fighting Robot.
  • Pertandingan yang dianjurkan Universiti Malaysia Perlis itu disertai kira-kira 170 penuntut yang mewakili 21 kumpulan daripada tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk politeknik.


    NAMA: Mohd Hasimi Mohd Sidek
    UMUR: 23 tahun
    PENDIDIKAN: Sarjana Muda Elektrik Dan Elektronik, Universiti Putra Malaysia
    ASAL: Banting, Selangor
    PEMBABITAN: Mereka cipta robot fire fighter

    NAMA: Mohd Afiq Abdul Ghafar
    UMUR: 21 tahun
    PENDIDIKAN: Sarjana Muda Elektrik Dan Elektronik, Universiti Putra Malaysia
    ASAL: Subang, Selangor
    PEMBABITAN: Mereka cipta robot rope climbing

    NAMA: Mohd Safwan Mohd Somari
    UMUR: 26 tahun
    PENDIDIKAN: Sarjana Muda Elektrik Dan Elektronik, Universiti Putra Malaysia
    ASAL: Ipoh, Perak
    PEMBABITAN: Mereka cipta paintball robotik
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: