Monday, May 31, 2010

Derma seluar dapat baucar


ALEX (dua dari kiri) menyerahkan lebih 2,000 helai seluar Dockers yang dikitar semula hasil sumbangan orang ramai kepada Noramni (dua dari kanan).


BIASANYA ke manakah perginya seluar-seluar lama anda yang sudah tidak dipakai? Jika selalunya ke tong sampah, mulai sekarang usah dibuang dahulu kerana jika anda pengguna jenama Dockers anda boleh menyumbangkan pakaian lama itu kepada golongan yang memerlukan.

Ini kerana Dockers sejak Disember tahun lalu melaksanakan usaha murni khidmat masyarakat dengan memperkenalkan program Guna Semula Seluar Anda.

Sepanjang beberapa bulan program itu dijalankan, pihak Dockers sudah menerima sejumlah 2,143 helai seluar daripada jenama tersebut yang didermakan oleh penggunanya.

Program usaha sama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Dockers itu adalah bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan selain mendidik semangat kitar semula demi persekitaran yang bersih dan hijau.

Menurut Pengurus Jenama Barangan Dockers, Alex Tan, program itu adalah bagi menyahut cadangan pelanggan mereka yang ingin memberi sumbangan kepada pihak yang memerlukan daripada membuang sahaja seluar lama mereka.

"Pihak kami juga menghargai pelanggan yang menyokong usaha ini apabila dengan setiap seluar lama Dockers yang diserahkan, mereka akan menerima baucar bernilai RM60 untuk membeli seluar baru Dockers Core Pants dan Dockers Mobile Pants berwarna navy dan hitam.

"Sasaran kami untuk mengumpul 2,000 helai seluar juga dapat dicapai kerana ia mendapat sambutan menggalakkan. Aktiviti ini kami harap menjadi landasan untuk mereka berbakti kepada masyarakat," katanya ketika menyampaikan pakaian tersebut kepada JKM baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Kanak-kanak JKM, Noramni Yusoff, turut melahirkan perasaan terharunya apabila ada syarikat korporat yang tampil mengambil inisiatif untuk membantu golongan kurang berkemampuan sambil menggalakkan penggunaan semula barang lama.

"Saya harap usaha pihak Dockers menjalankan usaha ini akan menjadi ikutan kepada syarikat korporat lain bagi bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.

"Pihak JKM akan mengagihkan seluar-seluar terpakai ini kepada semua bahagian dalam JKM termasuk kanak-kanak, keluarga tidak berkemampuan dan warga emas," katanya lagi.

Majlis penyerahan yang diadakan di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi, Kuala Lumpur itu turut dihadiri oleh Pengetua sekolah tersebut, Ismail Airul Raj Amirudin, pelajar-pelajar dari Sekolah Tunas Bakti dan Asrama Sentosa, Sentul dan staf-staf JKM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: