Monday, May 31, 2010

Sanyo hasil produk mesra alam


Sistem fotovoltaik keluaran Sanyo yang digunakan untuk mengecas bateri telefon atau kamera.


PELBAGAI barangan terkini keluaran Sanyo Electric Co. Ltd (Sanyo) dipamerkan semasa Persidangan Produk Asia Pasifik yang diadakan di Sentosa, Singapura baru-baru ini.

Persidangan berkenaan mempamerkan hampir semua produk dan sistem Sanyo yang kebanyakannya telah menerima anugerah antarabangsa kerana reka bentuk dan persembahan.

Ini termasuk sistem tenaga pintar (SES), kelengkapan rumah dan penyelesaian digital mewakili Sanyo dalam tiga domain utama iaitu tenaga, ekologi dan elektronik.

Ketua Pegawai Serantau Asia Pasifik Sanyo, Yoshinori Nakatani berkata, Sanyo memulakan dengan bisnes penyelesaian tenaga pada 2009 dan telah membawa kepada peningkatan dalam kesedaran jenama dan jualan.

Sanyo telah bekerjasama dengan kedai serbaguna di Thailand menggunakan kamera litar tertutup, alat hawa dingin dan pameran.

"Sanyo kemudian melangkah maju menjadi peneraju dalam aplikasi penjimatan tenaga, alam sekitar dan gaya hidup, Sanyo akan terus mengembangkan bisnes penyelesaian tenaga bagi mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida (CO2)," katanya.

Selain itu Sanyo juga akan mengaplikasikan kemudahannya itu dalam pelbagai bangunan seperti kilang, sekolah, kedai dan rumah di rantau Asia.

Pembangunan ekonomi di rantau berkenaan menyebabkan peningkatan bilangan kedai, pasar raya, pejabat dan kilang.

Beliau menambah, kesedaran dalam isu alam sekitar Sanyo akan memberikan penekanan kepada perniagaan berkaitan tenaga dalam alam sekitar.

"Sebagai satu inisiatif bagi mendapatkan masyarakat dengan tenaga bersih, Sanyo akan meluaskan bisnes solar di Singapura dan rantau Asia Pasifik," katanya.

Januari lalu, sistem fotovoltaik terbesar di Singapura menggunakan modul solar heterojunction with intrinsic thin layer (HIT) telah digunakan di Universal Studio, Singapura.

Ia telah diiktiraf sebagai hub bagi perkongsian maklumat dan dilihat sebagai barisan depan dalam eko teknologi dan inisiatif.

Ini telah memberikan peluang kepada Sanyo untuk mempamerkan projek berkenaan sebagai yang pertama di rantau Asia Pasifik.

Pada April lalu, Sanyo telah mula memasarkan panel HIT ke Malaysia, Thailand dan India manakala lampu solar LED pada Julai depan.

Sanyo juga akan menggunakan teknologi canggih dan mencipta produk khusus bagi keperluan penduduk di Asia Pasifik, memberikan penekanan bagi memastikan produknya akan mendapat permintaan menggalakkan.

"Rantau Asia Pasifik merupakan antara yang pasaran penting bagi Sanyo dan kami akan berterusan menghasilkan produk tenaga dan alam sekitar bagi memenuhi kehendak pasaran," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: