PASANGAN suami isteri, Rizal Ahmad dan Siti Anisa Mohd. Anuar tidak menyangka mereka akan menerima pengiktirafan daripada syarikat Hiraq Marketing & Trading (M) Sdn. Bhd. (Hiraq) kerana berjaya mencatat jualan terbaik untuk produk jenama tersebut.
Malah, Rizal mengakui sejak terlibat secara aktif sebagai wakil pengedar Hiraq di sekitar Kedah dan Perak, dia langsung tidak pernah mengira hasil jualannya.
Sebaliknya, dia hanya bertekad untuk mempromosikan produk makanan sunah Rasulullah yang dihasilkan oleh Hiraq kerana mengetahui kebaikan produk tersebut untuk umat Islam.
"Alhamdulillah, saya dan isteri bersyukur atas pemberian yang begitu bermakna ini. Terima kasih kepada pihak syarikat kerana prihatin terhadap semangat yang ditunjukkan wakil-wakil stokis di seluruh negara.
"Dalam erti kata lain, hadiah berupa pakej mengerjakan haji ini mampu bertindak sebagai perangsang untuk kami terus mempromosikan produk Hiraq pada masa akan datang," kata Rizal ketika ditemui Kosmo! sempena Pelancaran Produk Terbaru Hiraq di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Isterinya, Siti Anisa pula memberitahu, dia mula menjadi pengedar barangan Hiraq sejak Mei 2008. Sebelum itu, dia memang berminat untuk menceburi dunia perniagaan berasaskan produk Muslim.
Bagi Anisa, produk Muslim lebih diyakini dan dipercayai tahap kesucian sewaktu proses penghasilannya berbanding barangan jenama lain yang diimport.
"Apabila mengetahui Hiraq yang diasaskan oleh Raja Mazian dan dikilangkan mengikut piawaian Amalan Pengilangan Islam (IMP), maka saya tidak teragak-agak untuk menjadi pengedar.
"Niat saya hanya untuk berjihad bagi mengembangkan perniagaan yang berasaskan makanan sunah Rasulullah s.a.w yang semakin dilupakan oleh generasi muda masa kini.
"Justeru, menjadi tanggungjawab saya sebagai orang Islam untuk menguar-uarkan bahawa kita juga mempunyai produk terbaik," ungkap Anisa sambil melahirkan rasa syukur kerana pengiktirafan yang diterima.
Pada majlis itu, Anisa dan suaminya masing-masing menerima pakej menunaikan haji bernilai RM15,000 yang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim. Turut hadir ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan; Datuk Aziz Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan 1, Othman Mohamad dan Pengarang Kosmo, Baharom Mahusin.
Sementara itu, pakej menunaikan umrah bernilai RM5,500 menjadi milik pasangan Yusnida Yusop dan Nur Faiz Abd. Jabbar.
Menurut Pengarah Urusan Hiraq Marketing & Trading (M) Sdn. Bhd., Raja Mazian Raja Mohamed, pihaknya memilih untuk menghadiahkan pakej menunaikan haji dan umrah kerana ia dilihat mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
Lancar produk baru
Berbanding syarikat tertentu yang memberi insentif seperti pakej pelancongan ke luar negara, Hiraq sebaliknya mahu wakil-wakil stokis berpeluang melaksanakan ibadah di Tanah Suci atas kerja keras mereka.
"Sebagai perniagaan yang menawarkan produk berupa pemakanan sunah tinggalan Rasulullah s.a.w maka sudah tentu insentif sedemikian lebih bermakna," jelas Raja Mazian yang mendapat ilham menubuhkan Hiraq sewaktu menjalani penggambaran rancangan berbentuk keagamaan yang disiarkan menerusi TV3, Al-Hidayah di Gua Hiraq, Mekah pada tahun 2006.
Pada majlis itu juga, Hiraq turut melancarkan dua produk terbaru mereka iaitu teh tarik susu kambing dan set penjagaan wajah untuk wanita yang kini boleh didapati di stokis-stokis Hiraq di seluruh negara.
Pelancaran dua produk itu menjadikan jumlah keseluruhan produk yang dikeluarkan di bawah jenama Hiraq kepada 11 barangan.
Apakah rasional pemilihan produk tersebut? Raja Mazian memberitahu, teh tarik merupakan minuman kegemaran rakyat Malaysia. Justeru, ia mempunyai kelompok penggemarnya yang tersendiri.
"Istimewanya teh tarik susu kambing yang kami tawarkan jauh lebih berkhasiat dan sihat untuk dinikmati pada bila-bila masa.
"Malah, rasanya juga lebih sedap dan jika diminum selalu ia mampu menjadikan seseorang itu bertenaga.
"Begitu juga dengan set penjagaan wajah. Kami menawarkan produk yang diyakini kesuciannya untuk kegunaan umat Islam pada masa kini," ujar Raja Mazian.
Pelancaran produk tersebut turut dihadiri oleh duta Hiraq iaitu Azmil Mustafa dan Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohammad.
Untuk maklumat lanjut mengenai Hiraq, layari laman web www.hiraq.net.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: