Sunday, May 30, 2010

Kekasih mengaku curang

SALAM.

SAYA seorang pemuda berusia 25 tahun dan masih menuntut di institut pengajian tinggi.Saya mempunyai seorang teman wanita yang bernama Zee. Hubungan kami bermula ketika kami belajar diploma dan Zee kini sudah bekerja dan mempunyai jawatan di syarikat dia bekerja.

Hubungan kami dalam masa tiga tahun ini mempunyai banyak masalah dan boleh dikatakan kami kerap bergaduh walaupun kami jarang berjumpa sejak tamat belajar dahulu. Masalah saya ialah baru-baru ini, saya terkejut dengan tindakan Zee yang mengaku dia telah curang dan telah tidur bersama dengan rakan kerjanya, L. L telah berkahwin dan telah mengikuti isterinya ke luar negara untuk sambung belajar.

Saya mendapat tahu perkara ini setelah saya mendesak Zee untuk bercerita perkara sebenar dan Zee memberitahu yang dia telah menyesal. Masalah saya ialah saya seolah-olah tidak dapat menahan daripada mengungkit perkara ini apabila ada sesuatu yang terjadi antara saya dengan Zee seperti bergaduh. Saya mengakui yang saya tidak dapat hidup tanpanya kerana saya sayang sangat padanya. Apabila bergaduh saya kerap mengungkit perkara yang telah dia lakukan walaupun saya telah berjanji yang saya tidak akan ungkit perkara tersebut lagi. Zee juga kecewa dan kerap kecil hati dengan saya dan dia juga pernah berkata dia tidak mengungkit perkara yang saya pernah lakukan lepas.

Saya akui yang saya dulu dan ketika berkawan dengan Zee perangai saya memang liar dan pernah tidur bersama wanita lain juga. Saya reda dengan balasan saya dapat dengan perbuatan Zee tetapi saya tidak dapat lupakan perbuatan Zee kerana saya telah menjaga Zee dengan baik.

Bagaimana dengan tindakan saya, adakah perlu saya meneruskan hubungan dengan Zee atau memutuskan nya sahaja. Jika saya meneruskan hubungan bagaimana hendak saya mengelakkan daripada mengungkit dan memikirkan perbuatan yang Zee telah lakukan? Bantulah saya Putri.

Buntu, Shah Alam, Selangor

Terima kasih kerana sudi berkongsi luahan sebagai iktibar bersama. Mungkin sudah tiba masanya bagi saudara keluar daripada hubungan ini. Sebelum itu, saudara sendiri perlu sayangi diri sendiri. Ubahlah sikap yang suka berfoya-foya dengan wanita. Mungkin inilah sedikit balasan terhadap perbuatan kita. Tanpa kita sedari setiap apa yang kita lakukan ke atas orang lain mungkin terjadi pada diri kita sendiri. Sebelum menilai perbuatan Zee terhadap saudara, nilai dan sayangilah diri sendiri. Berilah masa untuk Zee memperbaiki diri sendiri dan mencari ruang dalam perhubungan ini. Jika tiada persefahaman dan masing-masing sering melakukan kesilapan, ini bermakna perhubungan ini tiada penamat yang baik. Ramai lagi wanita di luar sana yang mungkin sesuai buat saudara. Untuk mendapat yang terbaik, jadikan diri saudara yang terbaik dahulu. Jangan lupakan perihal agama kerana iman merupakan benteng kunci segala-galanya. Jika saudara memutuskan untuk menerima Zee semula, carilah penyelesaian yang terbaik. Masing-masing pernah melakukan perbuatan yang salah. Mungkin pernikahan antara saudara berdua adalah yang terbaik. Ia bukan sahaja mengelak saudara terlibat dengan dosa, malah ia mengajar kita erti tanggungjawab dan komitmen. Putri ucapkan, selamat berjuang meneruskan hidup saudara dengan penuh yakin dan sentiasa berfikiran positif. Percayalah, kegembiraan sebenarnya lahir dari dalam diri saudara sendiri. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini.

2 comments:

  1. perempuan yang baik untuk lelaki yang baik... hadis nabi s.a.w.

    ReplyDelete
  2. mana hadis yang u quote? prove it...

    kepada pakwe zee, come on lah bro, aku pun macam ko gak, tapi relax, banyak lagi perempuan kat luar tue... ko nak jadi lelaki dayus ker apa? blah jer...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: