|
|
KOTA BHARU 30 Mei - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan melancarkan kempen satu poskad satu pelajar melalui Kelab Rukun Negara di sekolah-sekolah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah berkata, kempen itu akan menggalakkan pelajar menambah kenalan di luar dari negeri mereka tinggal.
Sebagai sokongan, katanya, setiap kelab di sekolah rendah dan menengah yang berminat akan diberikan sumbangan RM1,000 untuk menggerakkan pelajar menulis poskad masing-masing dan diserahkan kepada pihak kelab.
''Melalui poskad itu, generasi muda akan mengenali teman-teman baru yang berbeza agama, kaum dan budaya misalnya di kalangan masyarakat di Sabah seterusnya memahami nilai-nilai persahabatan di antara mereka.
''Justeru matlamat kempen untuk melahirkan masyarakat yang saling mengenali rakan-rakan dari negeri lain yang berbeza latar belakang dan budaya akan tercapai seterusnya mewujudkan perasaan saling hormat- menghormati satu sama lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Sambutan Perpaduan anjuran JPNIN dengan kerjasama Balai Seni Lukis Negara (BSLN) di Dewan Putra Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Harun dan Pengerusi BSLN, Datuk Rozali Isohak.
Sementara itu, Murugiah melahirkan rasa bangga dengan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kelantan yang berjaya memenangi lima daripada tujuh kategori Anugerah Kualiti Rukun Tetangga anjuran jabatan tersebut di peringkat kebangsaan baru-baru ini.
''Buat masa ini, SRS Kelantan paling aktif berbanding negeri-negeri lain dan berjaya membantu pihak polis menurunkan kadar jenayah sebanyak 30 peratus.
''Ahli berdaftar kini 22,000 orang daripada 277 buah SRS yang ada di negeri ini dan kejayaan itu menunjukkan kesungguhan masyarakat membanteras jenayah tanpa penggantungan sepenuhnya pada pihak berkuasa," katanya.
Murugiah menambah, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penglibatan orang ramai yang berminat menjadi ahli SRS.
Katanya, ahli SRS yang baru akan dibekalkan dengan peralatan seperti radio, kayu cota dan lampu suluh untuk membantu mereka melakukan rondaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: