Sunday, May 30, 2010

Pesona Luang Prabang


Air terjun Kuang Si antara tarikan alam semulajadi di Luang Prabang.


LAOS mungkin satu destinasi yang tidak ada dalam fikiran kita. Negara Indochina yang bersempadan dengan Thailand dan Kampuchea jarang kedengaran kisah pelancongannya.

Tetapi sebenarnya ia menawarkan satu destinasi berbeza.

Selain Vientiane, ibu negara yang agak 'sepi' berbanding ibu kota lain di rantau ASEAN, Luang Prabang merupakan destinasi yang perlu dicuba di Laos.

Ia merupakan bekas ibu negara Laos sebelum bertukar ke Vientiane.

Luang Prabang merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO dan destinasi yang perlu dilawati jika anda sampai ke Laos.

Bukan binaan serba moden yang tersergam indah menjadikan Luang Prabang begitu istimewa.

Tetapi suasana ringkas dan relak merupakan tarikannya.

Luang Prabang mengajak kita berjalan-jalan sambil memerhati persekitarannya yang mempersonakan.

Satu ketika dahulu ia merupakan bandar pelabuhan penting di Sungai Mekong. Penjajah Perancis menggunakannya untuk membawa keluar segala hasil yang ada.

Sebab itu hingga kini masih ada vila tinggalan Perancis yang menjadi sebahagian daripada warisan dunia.

Jika mahu mendekati budaya tempatan, elok jika berjalan-jalan di pasar malam yang turut menjual pelbagai hasil kraf tangan.

Pasar malam Luang Prabang dikatakan tersenarai dalam pasar terbaik dunia untuk pelancong.

Melancong di bandar ini perlu banyak berjalan. Dengan cara ini boleh melihat dari dekat keunikan dan warisan yang ada. Itu matlamat ke Luang Prabang - meneroka seni bina tinggalan Perancis, melihat hasil kraftangan di pasar malam dan melihat sami yang berpakaian oren menuju ke rumah ibadat mereka.

Disebabkan kedudukannya antara dua sungai, ia sangat penting daripada segi politik, agama dan ekonomi.

Kesan sejarahnya boleh dilihat dengan bangunan tinggalan kolonial yang disulam dengan kuil-kuil Buddha.

Yang paling menarik ialah alam semulajadinya. Pelancong mempunyai pelbagai pilihan. Jika mahu melihat kehidupan primitif boleh melawat penempatan kaum aslinya.

Selain itu, ia juga menawarkan percutian ala safari dengan meneroka pusat pemuliharaan gajah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: