Sunday, May 30, 2010

Pidato tingkat karisma Sarah

GADIS genit kelahiran ibu kota Kuala Lumpur ini beranggapan seni berpidato dan debat mempunyai magis tersendiri kerana ia bukan saja dapat membina keyakinan diri yang tinggi malah menyerlahkan karisma seseorang.

TERBAIK...Sarah (dari kanan), Puvanamala dan Lim menjuarai  Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia 2010 Peringkat Wilayah  Persekutuan.
TERBAIK...Sarah (dari kanan), Puvanamala dan Lim menjuarai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia 2010 Peringkat Wilayah Persekutuan.
BERBAKAT...Sarah menganggap dunia pidato ada magis tersendiri.
BERBAKAT...Sarah menganggap dunia pidato ada magis tersendiri.


"Ia mampu membentuk disiplin yang tinggi dalam diri, selain turut memberi keyakinan diri dan mampu mempertingkatkan penguasaan bahasa seseorang.

"Mungkin ada yang melihat pidato sebagai sesuatu yang mudah. Hakikatnya, bukan senang hendak bercakap secara spontan dengan kata-kata yang berisi dan meyakinkan orang ramai," katanya yang bakal menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia tahun ini.


Menurut Sarah, sejak dia di sekolah rendah lagi keluarganya banyak memberi pendedahan dengan aktiviti berpidato, perbahasan dan debat.

Malah dalam dunia pidato, kakaknya, Raja Dianah Madiha, 23, seorang pemidato dan kini belajar di Universiti Curtin di Sarawak, menjadi sumber inspirasi dan idolanya.

"Kakak sering meyakinkan saya supaya membuang rasa takut ketika berhadapan orang ramai, dan lakukan yang terbaik dalam perbahasan. Ia memang berkesan dalam mengubah diri saya, bukan saja sebagai pemidato, malah ketrampilan saya," katanya.

Sarah yang juga pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) ini adalah seorang gadis yang bukan saja aktif berpidato dan debat, malah turut cemerlang dalam lakonan teater dan deklamasi sajak, termasuk aktiviti kokurikulum Kadet Polis Kuala Lumpur.

Baru-baru, Sarah bersama dua rakannya dari KTAR, iaitu Puvanamala Sivavikkraman, 19 dan Lim Soon Vin, 19 menjuarai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia (PK1M) 2010 bagi peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Ia satu lagi pencapaian peribadi yang amat bermakna buat saya. Selepas ini, kami akan ke Terengganu untuk pertandingan (PK1M) peringkat kebangsaan dan pastinya kami akan usahakan yang terbaik untuk mengungguli pertandingan itu sekali lagi," katanya.

Bercakap mengenai masa depannya, Sarah mengakui dia meminati bidang pengacaraan, tetapi dalam masa sama turut menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

"Jika berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang, selepas itu saya akan sambung belajar pula dalam bidang komunikasi massa atau yang berkaitan dengan bidang pengacaraan.

"Mungkin ada beranggapan keinginan saya untuk berjaya dalam kedua-dua bidang ini agak kurang munasabah. Namun, dalam mengharungi dunia yang serba moden kini, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan," katanya tersenyum.

PROFIL
NAMA: Raja Sarah Maziya Raja Mohamood
UMUR: 19 tahun
ASAL: Wangsa Maju, Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Prauniversiti (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) Sastera, Kolej Tunku Abdul Rahman
PEMBABITAN: Pidato Piala Diraja, Bahas Ala Parlimen dan Forum Remaja pada 2007; Deklamasi Sajak pada 2008
SUKAN: Atlit sukan Gimrama dari 2000 hingga 2005
PENCAPAIAN TERBARU: Juara Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia 2010

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: