|
|
HARI ini senario di Malaysia, teh tarik dan roti canai bukan untuk orang India saja begitu juga nasi lemak atau yong tau fu bukan lagi 'milik mutlak' orang Melayu atau Cina. Sebaliknya tanpa batasan kaum dan warna kulit makanan-makanan tersebut sudah menjadi 'ruji' kepada semua lapisan masyarakat.
Ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja kaya dengan masyarakat yang berbilang kaum serta agama malah makanan tradisi masing-masing juga sudah boleh diterima 'tekak' semua rakyat.
Selain teh tarik, roti canai dan nasi lemak, dim sum yang merupakan makanan tradisi masyarakat Tionghua turut digemari ramai.
Pada zaman dahulu, dim sum lazimnya dihidang ketika upacara minum teh untuk majlis tertentu tetapi kini ia semakin popular malah senang diperoleh di mana-mana hotel di sekitar Lembah Klang.
Bagi penggemar dim sum sekitar Lembah Klang, sekiranya ingin menikmati hidangan tersebut apa kata kunjungi Restoran Cina Zuan Yuan yang terletak di Hotel One World, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Sehingga 30 Jun ini pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis hidangan dim sum untuk sajian tengah hari.
Menurut Chef Michael Chew Chee Peng, sempena promosi tersebut sebanyak 37 menu disediakan secara ala carte dan 17 menu lagi disediakan secara pek.
''Bagi menghasilkan dim sum yang enak, bahan-bahan untuk intinya akan diperap semalaman sebelum dimasukkan ke dalam kulit doh.
''Lazimnya, dim sum kukus mengandungi inti sayuran atau makanan laut dan untuk menikmatinya mudah sahaja, ia hanya perlu dikukus selama 10 minit ataupun digoreng.
''Dim sum juga lebih sedap sekiranya ia dimakan bersama-sama sos manis dan sos cili,'' ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.
Barangkali ada yang tertanya-tanya, apakah maksud dim sum itu? Ia merupakan kuih-muih yang berasaskan doh kenyal, yang boleh ditarik-tarik dan pintal serta berintikan pelbagai jenis perisa.
Ia menjadi satu hidangan yang unik apabila ia dihidangkan dalam bekas kukus buluh yang comel dan ia sesuai dimakan sebagai pemula sajian atau penyudah hidangan.
Jika dilihat dari sudut tradisi Cina, dim sum berkait rapat dengan adat 'yum cha' atau minum teh khususnya di kalangan pengembara yang melalui Laluan Sutera, di Tanah Besar China.
Mereka lazimnya akan singgah untuk berehat melepaskan lelah di kedai- kedai teh yang banyak terdapat di sepanjang laluan tersebut.
Namun minum teh tidak lengkap tanpa diiringi kudap-kudapan dan dari situlah lahirnya sajian dim sum.
Menawarkan dua jenis set dim sum untuk makan tengah hari iaitu set Emperor (maharaja) dan Empress (maharani), para pengunjung hanya dikenakan bayaran sebanyak RM48 seorang.
Bagi kedua-dua set tersebut, ia akan dimulakan dengan hidangan sup sama ada sup sirip ikan yu atau sup ikan yu bersama ketam.
Sajian dim sum ini diakhiri dengan hidangan pencuci mulut seperti air kristal buah pir bersama ginseng dan jus serai bersama aloe vera.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: