Sunday, May 30, 2010

Jangan tangguh rawat kanser

KISAH yang dipaparkan minggu ini memang lain daripada kisah yang pernah anda baca sebelum ini. Ia bukan tentang masalah rumahtangga, anak menantu, perebutan harta dan sebagainya, sebaliknya adalah curahan hati tulus ikhlas Puan Zuhainie tentang penyakit kanser yang dihidapinya sejak lebih empat tahun lalu.

Kepada anda yang tidak pernah melihat saudara mara ataupun kenalan yang diserang penyakit ini maka anda tidak akan dapat membayangkan penderitaan yang ditanggung oleh pesakitn. Kecuali jika anda pernah membantu, merawat atau melaluinya sendiri. Ketika itu barulah anda tahu betapa hebatnya penderitaan yang terpaksa dilalui dan ditanggung oleh pesakit, demikian cerita Zuhainie dalam e-melnya.

''Dulu saya tak suka langsung pergi ke hospital kerana saya takut dan sedih melihat mereka yang menderita menanggung kesakitan. Bukan saya tidak bersimpati, tetapi saya ngeri dan kesihan melihat orang sakit.

''Namun berita kematian Datin Seri Endon kerana penyakit kanser menyedarkan saya tentang pembunuh nombor satu ini. Sejak itu entah kenapa saya begitu mengambil tahu sangat tentang penyakit kanser ini.

''Hendak dijadikan cerita dan Allah mahu menguji keimananan saya, pada hujung 2006 saya didiagnos dan disahkan oleh doktor pakar mempunyai clusters of infiltrating lobular carcinoma cells di bahagian payudara kanan dan cysts di sebelah kiri. Saya terkejut dan tidak menduga mendapat penyakit pembunuh nombor satu ini.

''Walaupun takut namun saya terpaksa ikut nasihat doktor, demi kesihatan saya. Selepas mengambil kira faktor umur belum 50 tahun dan kos perubatan mahal, maka saya terpaksa setuju dengan cadangan doktor supaya menjalani pembedahan serentak kedua-dua payudara saya.

''Memang saya takut, tetapi demi kesihatan, saya terpaksa menjalani pembedahan serentak membuang mastectomy di sebelah kanan dan cysts di sebelah kira payudara saya.

''Saya rasa tak ramai pesakit kanser yang melalui dua pembedahan serentak seperti saya lalui. Saya masuk bilik pembedahan pukul 3 petang dan keluar 9 malam. . Selepas dibedahsaya terlantar tujuh hari di hospital dan disambung sebulan lagi berehat di rumah

Puasa

''Masa itu di bulan Ramadan, suami dan dua anak saya ikut tumpang tidur di bilik hospital. Mereka buka puasa dan sahur di hospital. Saya bersyukur suami saya ambil cuti dan sentiasa di sisi sepanjang saya di hospital. Anak sulung cuti belajar, adiknya cuti sekolah.

''Siang hari suami saya bergegas balik ke rumah untuk mandi dan berehat. Dia datang semula waktu berbuka. Dialah bapa yang amat pengasih sepanjang tempoh saya sakit dan tidak berdaya. .

''Oleh kerana kos perubatan susulan juga mahal, atas nasihat doktor bedah, saya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk berjumpa onkologi bagi pemeriksaan lanjutan. Syukur kepada Allah saya disahkan menghidap kanser tahap 1 dan tidak perlu menjalani kimoterapi.

''Tetapi saya kena makan ubat temoxefen setiap hari selama lima tahun yang diberi percuma oleh HKL. Bermakna tarikh tamat makan ubat kanser tersebut pada tahun depan, InsyaAllah.

''Namun penggunaan temoxefen membawa kesan sampingan seperti risiko kanser rahim, malah pengambilan bahan berkenaan selepas lima tahun pula didapati tidak berupaya meninggikan peluang pesakit untuk terus hidup kerana ia sekadar pilihan bagi tempoh lima5 tahun saja. Penjelasan doktor bagaikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas saya.

''Untuk rawatan susulan, setiap bulan saya ulang alik ke Pusrawi dan HKL selama setahun.Rawatan pesakit luar dikurangkan kepada tiga bulan sekali di Pusrawi dan tiga bulan lagi HKL, begitulah untuk selama dua tahun.

''Tahun ketiga rawatan d kurangkan setiap enam bulan sekali di Pusrawi dan enam bulan lagi di HKL. Kini, mencecah tahun keempat, saya masih berjumpa doktor setiap enam bulan sekali.

''Kali terakhir saya berjumpa doktor, beliau memaklumkan setakad ini kesihatan saya baik dan tiada tanda serangan ulangan. Apa pun saya masih taat menjalani mamogram, membuat imbasan tulang, hati, pemeriksaan darah dan apa sahaja yang di suruh oleh doktor.

''Saya seorang yang aktif bersukan, mementingkan kesihatan dan mengamalkan pe makanan seimbang. Sebab itu saya masih cantik dan anggun walaupun usia di hujung 40-an. Oleh kerana saya tidak mahu sakit maka saya kuatkan semangat melawan penyakit ini.

''Pengalaman saya daripada tidak tahu menahu tentang kanser, kini saya banyak membaca berkaitan kanser dan penjagaan kesihatan. Apabila saya ke hospital saya akan berbual dengan pesakit lain bertanya khabar dan bertukar cerita. Saya juga akan meminta nombor telefon mereka dan berhubung sebagai kawan sehingga sekarang.

''Pada saya berbaloi berkawan dengan orang senasib dengan kita kerana mereka senang memahami perasaan dan tekanan hidup masing masing.

''Ya, saya akui ada kawan yang survive dan ada juga yang meninggal dunia akibat kanser sel menular ke bahagian lain atau serangan kali kedua.

''Nasihat seorang ustaz, penyakit adalah anugerah Allah, kita kena terima dan redha, InsyaAllah ada penawarnya. Berbekal ilmu dari beliau maka saya lawan penyakit ini dengan amalan ayat al-Quran, solat, zikir dan doa. Tidak kurang kata semangat dan nasihat dari keluarga, jiran dan sahabat. Rupanya ramai yang menyayangi saya.

''Saya tidak berdukacita disebabkan hilang payudara kerana selama ini suami tidak langsung menunjukkan perubahan terhadap saya, malah beliau tidak mahu pun saya sebut sakit atau mengeluh. Beliau tetap melayan dan menunaikan tanggungjawabnya sama seperti dulu, tiada perubahan tingkat laku atau dalam hubungan suami isteri.

''Saya rasa sangat bertuah kerana suami dan anak-anak sangat sayang dan baik melayan saya, seperti tiada apa pun perubahan pada diri saya. Malah dari tahun 2008 saya kerap dibawa makan angin di dalam dan luar negara.

''InsyaAllah sebelum Ramadan ini beliau merancang membawa saya bercuti ke London dan Eropah. Saya bukan memuji suami, tapi dia baik dan masih membawa saya ke mana saja dia pergi kecuali urusan rasmi kerjanya.

''Ada juga saya dengar keluhan dari kanser survivor lain, yang suami kahwin lagi, suami dingin, suami tinggalkannya dan bermacam ragam lagi. Untuk mereka, saya nasihatkan agar jangan mudah putus asa, teruskan kehidupan walaupun tanpa suami, kita ada anak-anak untuk dijaga dengan penuh kasih sayang. Merekalah permata hati.

Berserah

''Anda mesti sabar, jangan kesalkan nasib kerana ia sama seperti anda menyalahkan anugerah Allah. Paling penting jangan tinggalkan ubat dan pemeriksaan susulan di hospital. Jangan berserah tanpa usaha. Peluang sembuh di tangan anda. Tawakallah setelah berusaha.

''Kepada anak-anak inilah masanya jika mereka ingin melabur saham akhirat, jagalah ibu atau ayah anda yang sakit kerana Allah sentiasa merahmati mereka yang berbudi kepada ibu bapa. Kepada suami atau isteri inilah masanya jika anda ingin mendapat rahmat Allah, ada pembalasannya menjaga orang sakit khususnya ibu bapa, isteri ataupun suami.

''Saya meluahkan isi hati untuk tatapan sahabat, peminat DCCK, atau sesiapa sahaja yang diserang penyakit kanser, jangan melewatkan rawatan jika doktor sudah mengesahkan anda menghidap kanser. Jangan biarkan penyakit ini merebak ke tahap lebih teruk hingga sukar dirawat nanti. Ikut nasihat doktor dan bukan nasihat mereka yang tidak ada kepakaran merawat penyakit ini.

''Semua orang tak kira lelaki ataupun wanita memang takutkan penyakit kanser, tetapi kita tidak boleh menolaknya jika telah ditakdirkan, hanya Allah lebih tahu.'' Demikian cerita Puan Zuhainie semoga anda lebih mengerti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: