Monday, May 31, 2010

Teringin pegang anugerah




BERGELAR seorang pelakon yang berjaya bukan mudah. Apa lagi bila seseorang pelakon itu perlu berusaha kuat untuk mendapat tempat di hati peminat serta penggiat seni filem.

Namun, tuah bagi pemilik nama Intan Ladyana atau nama sebenarnya, Intan Nurladyana Mohamad Yahaya kerana dirinya agak mudah diterima umum.

Selain memiliki kecantikan semula jadi, bakatnya diasah sejak empat tahun lalu menerusi filem sulung lakonannya, Tipah Tertipu The Movie (2006) dengan membawa watak pembantu.

Nama pelakon berusia 28 tahun itu terus memuncak selepas berlakon dalam filem Jangan Pandang Belakang pada tahun 2007, diikuti filem I'm Not Single (2008), Adnan Semp-It (2010) dan V3 Samseng Jalanan.

Kebetulan pula, setiap filem lakonannya mencapai tahap pecah panggung, sekali gus memudahkan perjalanan karier seninya sebagai seorang pelakon.

Namun, ada juga cakap-cakap nakal yang mengatakan walaupun lakonan tidak seberapa, anak kacukan Melayu-Thailand itu popular kerana berjaya berganding dengan pelakon-pelakon hebat dan menumpang populariti mereka.

Intan hanya mampu mengukir senyuman manis saat diminta memberikan komen mengenai kata-kata negatif itu pada sesi fotografi di studio Utusan baru-baru ini.

Katanya, dia bersyukur kerana tuah berpihak kepadanya apabila banyak filem lakonannya berjaya meraih kutipan tinggi. Cuma gadis ini menafikan dia menumpang populariti orang lain.

"Apa yang dikecapi kini adalah hasil usahanya untuk memartabatkan nama sendiri dalam industri. Sementelah, berlakon dengan beberapa nama besar yang lain hanyalah satu kebetulan.


INTAN LADYANA menerima dengan terbuka komen umum terhadap dirinya.


"Alhamdulillah, secara kebetulan saya berlakon dalam filem yang hebat dan bernasib baik kerana digandingkan dengan pelakon yang hebat juga.

"Biasalah, kalau ada kelemahan di sana sini kerana semua orang ada kelemahan.

"Kalau benarlah kelemahan lakonan saya dikaburi dek kehebatan pelakon-pelakon yang digandingkan, sudah pasti saya akan tenggelam. Tapi kenapa saya juga dikenali?

"Apa pun, saya tak kisah dengan komen orang. Masing-masing mempunyai persepsi yang tersendiri. Ada yang suka kita dan ada yang tidak.

"Setakat ini, saya menerima respons yang baik daripada peminat. Sampaikan ada yang panggil saya 'cikaro' (teman wanita mat rempit) dan ada juga yang bergurau dengan mengatakan, 'jangan pandang belakang, pandang depan!" selorohnya.

Lembik

Setiap penggiat seni pasti menginginkan sesuatu dalam kerjaya mereka. Begitu juga dengan Intan, dia mempunyai impian besar sebelum berundur daripada dunia lakonan suatu hari nanti.

Baru sahaja selesai penggambaran Adnan Sempit The Series, Cinta-Pandang dan Dimensi Muzik sebagai pengacara, Intan mahu dirinya dihargai kerana hasil kerjanya.

"Saya faham masyarakat juga ingin tahu hal peribadi artis idola mereka selain hal kerjaya. Tapi seboleh-bolehnya saya cuba elakkan gosip. Itu matlamat saya. Bukannya apa, takut orang bosan pula dengan kisah-kisah remeh saya.

"Apa pun, saya akan mengasah bakat saya bagi setiap lakonan supaya lebih bermutu. Lagipun, kalau boleh saya mahu merasa pegang trofi anugerah yang saya anggap sebagai satu penghargaan yang besar buat saya.

"Selain itu, saya ingin mencari kelainan watak dan tidak sama seperti watak-watak yang saya terima sebelum ini. Mungkin watak hero, aksi atau orang cacat. Jangan ingat saya tak berani cuba mengambil watak-watak sebegini pula. Saya teringin sangat.

"Cuma belum ada tawaran kerana ramai yang selalu mengangap saya seorang yang lembik. Tapi sebenarnya saya sukakan aksi lasak.

"Saya mahu mencuba watak yang bukan diri saya," katanya yang menjadikan pelakon Ellie Suriati dan Nasir Bilal Khan sebagai idolanya.

Tambah Intan, selepas berjaya mencapai impiannya, dia mahu mengurangkan aktiviti lakonan dan kembali aktif dalam bidang pengacaraan yang sememangnya diminatinya sejak dahulu lagi.


CINTA Intan dan Kamal kini sedang mekar.


Bukannya apa, kesibukannya sebagai seorang pelakon membuatkan dirinya tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

"Berlakon adalah satu kerja yang agak memenatkan. Bayangkan, kami akan bekerja hampir 24 jam setiap hari sebaik sahaja penggambaran drama atau filem dimulakan. Memang tiada langsung masa untuk bersama keluarga, apatah lagi dengan kawan-kawan.

"Walaupun diberi cuti sehari, sudah pasti saya akan menghabiskan masa untuk berehat agar lebih segar ke lokasi pada keesokan hari. Apa pun, semua ini adalah perancangan masa depan," ujarnya.

Britney dan Beyonce

Dalam pada itu, Intan juga menyimpan hasrat untuk menjadi seorang penyanyi dan ingin mengeluarkan sebuah single khas buat para peminatnya.

Apa yang diingankan Intan, dia mahu lagunya nanti berkonsep rancak seperti penyanyi Britney Spears dan Beyonce Knowles.

Berduet dengan kekasih hatinya, Kamal Adli? Tidak, Intan hanya mahu merakam lagu sendirian dahulu.

"Saya mahu menari sambil menyanyi. Apa pun, saya tak terfikir pula untuk berduet dengan Kamal walaupun dia pandai menyanyi. Saya mahu fikir tentang diri saya dulu. Tapi ia sekadar perancangan sahaja. Belum beria-ia sangat lagi," ujarnya dalam tawa manja.

Ditanya pula mengenai perancangannya untuk mendirikan rumah tangga bersama Kamal, pasangan ini belum mempunyai sebarang perancangan ke arah itu. Mereka mahu fokus pada kerja masing-masing dahulu.


MENGAKUI berlakon merupakan suatu kerja yang memenatkan.


Bagaimanapun, dengan kejadian perceraian artis yang agak banyak kebelakangan ini, ia membuatkan Intan sedikit trauma mengenai alam berumah tangga.

"Sebenarnya, saya takut nak kahwin. Kawan-kawan banyak juga yang dah bercerai. Tak tahulah apa punca keretakan rumah tangga mereka.

"Ada juga yang kata kalau kahwin artis sesama artis, hubungan itu tidak akan bertahan. Tapi bila ambil contoh seperti pelakon Vanidah Imran dan Rashidi Ishak serta pasangan-pasangan artis lain, mereka bahagia. Entah saya pun kurang faham.

"Ada juga saya tanya kepada kawan yang sudah berkahwin, apa yang membuatkan mereka bersedia memikul tanggungjawab untuk mendirikan rumah tangga? Kata mereka, bila sampai seru, hasrat untuk berkahwin akan hadir. Mungkin saya belum sampai seru lagi," selorohnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: