"Kreativiti dunia fesyen pada hari ini semakin menakjubkan. Jika sebelum ini masyarakat lebih cenderung meniru gaya dan trend pakaian yang digayakan oleh selebriti tetapi kini sebaliknya. Anak-anak muda yang sedang mencari identiti fesyen personal nampaknya mula selesa mengadaptasi stail daripada watak kartun fantasi mahupun animasi," tutur perunding imej bebas dan pemilik I Nee by Melson Collection, Melvin Ashley Shah.
Pengakuan jujur Melvin itu lahir apabila dia melihat fenomena yang melanda pasaran fesyen tempatan sekarang. Kemunculan kelompok remaja dalam persalinan skirt pendek berkotak dan berkemeja putih bersama padanan kasut but potongan tinggi tidak ubah seperti watak pelajar sekolah animasi Jepun.
"Seronok sebenarnya melihat remaja mula berani dan bijak berpakaian bak watak kartun yang memiliki signatur fesyen menawan. Ini menunjukkan siri kartun yang ditayangkan di televisyen mahupun terbitan komik bukan sekadar hiburan malah dijadikan inspirasi untuk bergaya.
"Misalnya watak kartun fantasi Alice In Wonderland. Siapa sangka daripada sebuah novel kisah ini terus-menerus mencipta populariti. Apa yang membanggakan fesyen Alice, watak utama dalam siri tersebut, mula menjadi ikutan remaja dari segi ikatan rambut dan pemakaian reben besar di kepala," jelas Melvin yang menyifatkan tidak salah meniru gaya kartun asalkan bersesuaian dengan majlis yang dihadiri dan tidak melanggar adat ketimuran.
|
|
Melvin menyatakan isu meniru watak kartun barangkali masih baru di Malaysia, tetapi tidak di Jepun. Negara Matahari Terbit itu sudah lama mempraktikkan gaya fesyen seperti watak kartun. Situasi itu boleh dilihat di Shinjuku Street. Ia merupakan tempat yang menjadi lubuk pilihan gadis dan pemuda Jepun berkumpul dalam persalinan unik dan pelik.
Masing-masing tanpa segan silu menyarungkan busana dan merias wajah ala puteri, pahlawan dan seleksi karakter animasi yang popular di sana.
Sementara itu, pereka fesyen Calvin Thoo menyifatkan budaya fesyen inspirasi karakter di Jepun itu secara tidak langsung mendorong remaja tempatan mengambil pendekatan menata gaya dengan cara yang sama. Meskipun di Malaysia kita tidak mempunyai kawasan khas seperti di Shinjuku, Jepun, namun ia sedikit pun tidak menjadi penghalang kepada remaja tempatan untuk bergaya sedemikian.
"Pada pandangan saya kelompok wanita gemar meniru karakter kartun kerana mereka ingin tampil berbeza dan menonjol daripada orang lain. Tapi, saranan saya jangan terlalu asyik bergaya sakan sehingga penampilan kita pun terjejas dan kelihatan seperti kartun (ketawa).
"Bagi remaja yang bercita rasa funky dan ceria biasanya akan memilih fesyen kartun animasi Jepun. Pastinya mereka akan memakai kasut bertapak tebal, bulu mata palsu atau rambut yang disembur dengan warna-warna terang.
|
|
"Sementara itu, gadis yang menyukai fesyen fantasi dan mewah barangkali fesyen anak patung Barbie antara pilihan yang ideal," ujar Calvin Thoo kepada Stailo.
Berbicara soal solekan pula jurumekap artis bebas Vie Xenddra memberitahu, pemilihan solekan yang betul mampu menyerlahkan fesyen watak kartun yang sedang digayakan. Disarankan sebelum mengaplikasikan sebarang mekap pada wajah, sebaik-baiknya individu melihat dahulu contoh gambar karakter kartun yang menjadi pilihan.
Misalnya, kepada peminat Alice In Wonderland anda berpeluang bermain dengan bermacam-macam rona pembayang mata dan gincu bibir. Memandangkan dalam siri kartun itu sendiri kesemua karakter sentiasa tampil cantik dan menarik tidak kira yang bersifat antagonis mahupun protagonis.
"Walaupun anda memilih tampil feminin seperti karakter Alice yang memakai gaun kembang atau skirt bersama aksesori kepala reben besar, tetapi dari segi solekan anda berpeluang mengaplikasikan mekap seperti karakter kartun Permaisuri Merah.
"Seperti mengoles pemerah pipi dan gincu bibir rona terang. Kepada peminat karakter Cinderella pula sekiranya enggan menyarungkan gaun kembang, sudah memadai helaian rambut didandan sanggul tinggi dengan lilitan reben rona lembut," jelas Vie sambil mencalit gincu rona merah kepada salah seorang model yang bergaya bak karakter Snow White.
|
|
Tambah Vie, Snow White menjadi tumpuan semasa individu terbabit menghadiri majlis yang bertemakan kartun. Sedangkan hakikatnya, penampilan gadis salju itu juga boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Lihat sahaja bagaimana Vie memadankan cekak rambut bereben bersama dres separa lutut. Gaya seperti ini sesuai dipakai sewaktu menghadiri pasti hari jadi atau keluar bersantai bersama teman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: