Monday, May 31, 2010

HMM setaraf Hollywood


SALAH satu adegan filem Hikayat Merong Mahawangsa yang bakal ditayangkan pada bulan Februari tahun depan.


KRU Studios sememangnya mahu menjadikan filem terbaru mereka, Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) sebagai produk yang disegani di peringkat nasional dan antarabangsa.

Bukan sahaja dari segi penceritaan filem itu, tetapi aspek teknikal juga amat dititikberatkan oleh KRU Studios dalam memastikan HMM setaraf filem antarabangsa.

Justeru, apabila KRU Studios menjalinkan kerjasama dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) untuk menghasilkan penataan muzik bagi HMM, ia bukanlah perkara yang menghairankan.

Apatah lagi, dengan semangat dan iltizam yang mahu melihat filem ini berjaya apabila ditayangkan tahun depan, sememangnya wajar untuk HMM menerima sentuhan terbaik daripada MPO.

Bagi Presiden KRU Studios merangkap Penerbit Eksekutif HMM, Norman Abdul Halim, kerjasama yang terjalin antara pihaknya dengan MPO diharap dapat membuka ruang kepada pembikin filem tempatan untuk memberikan kualiti dari segi muzik untuk sesebuah filem.

Menurut Norman, KRU Studios memang sejak dari awal lagi mahu menggunakan khidmat dan kepakaran MPO dalam memberikan magis kepada muzik latar HMM.

Dengan status MPO sebagai salah sebuah kumpulan orkestra terbaik di rantau Asia, Norman melihat kredibiliti MPO mampu mewarnai HMM dengan muzik mereka yang bertaraf dunia itu.

"Apabila kami membentangkan cadangan kepada MPO, mereka melihatnya sebagai perkara yang positif.

"Sesuai dengan pelaburan dan kualiti tinggi yang dipersembahkan menerusi HMM, maka itu kami juga mahu hasilkan perkara serupa dari aspek skor muzik untuk filem ini," katanya dalam nada optimis.

Norman ditemui pada sidang akhbar pengumuman kerjasama KRU Studios dan MPO bagi penataan muzik HMM yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MPO, Karina Ridzuan; pengarah filem HMM, Yusry Abdul Halim dan adiknya, Edry Abdul Halim.

Pada majlis itu juga, Norman turut mengumumkan pemilihan penyanyi lelaki ternama negara, Anuar Zain yang akan menyampaikan lagu tema HMM yang berjudul Sedetik Lebih.

Skor muzik asal HMM telah dihasilkan dua komposer muda yang berkhidmat di KRU Studios iaitu Reza Ramsey dan Yudi Ashadi.

Sebaik siap skor berkenaan, karya yang dihasilkan itu dipersembahkan kepada MPO yang kemudiannya menyerahkan tugas menggubah muzik dalam bentuk orkestra kepada Ahmad Muriz Che Rose dan Vivian Chua.

Bukan soal wang ringgit

Seterusnya, di bawah seliaan pengarah muzik MPO, Claus Peter Flor, proses rakaman skor muzik HMM dijalankan selama tiga hari berturut-turut di DFP bermula 23 Mac lalu.

Penghasilan skor muzik tersebut menyaksikan penglibatan seramai 105 orang pemuzik profesional yang berkhidmat bersama MPO.

Berbicara tentang soal kos pula, Norman memberitahu, sememangnya peruntukan itu telah ada sebaik sahaja projek HMM bermula.

Tetapi katanya, projek HMM bersama MPO semuanya mengikut kemampuan dan juga bajet yang telah diperuntukkan.

"Kerjasama ini bukan soal wang ringgit tetapi usaha KRU Studios dan MPO untuk memartabatkan sekali gus meletakkan filem tempatan di peta perfileman dunia.

"Biarpun kami bekerja berdasarkan apa yang telah disediakan, namun kami tidak berkompromi soal kualiti kerana kami percaya dengan hasil kerja MPO yang tidak mengecewakan," ujar Norman sambil memberitahu album skor muzik HMM akan dipasarkan serentak dengan tayangan filem itu nanti.

Sementara itu, Karina pula menjelaskan, pihaknya tidak menunggu lama untuk bersetuju menjalin kerjasama dengan KRU Studios.

Katanya, pihaknya yakin dengan HMM yang disifatkannya sebagai filem yang berkualiti dan kerana itu MPO tidak teragak-agak untuk menyumbangkan tenaga kreatif bagi filem tersebut.

"Sewaktu Norman datang berjumpa dengan saya tahun lalu dan menceritakan tentang HMM, saya merasakan ia sebuah projek yang cukup menarik.

"Apatah lagi, MPO belum pernah menjalin kerjasama seperti ini. Kami berpendapat, inilah masa terbaik untuk berbuat demikian.

"Jika ada penerbit filem lain yang mahu bekerjasama dengan kami selepas ini, kami tidak akan menolaknya dengan syarat ia merupakan produk yang berkualiti.

"Kami mahu filem dan muzik kami bergerak seiring dalam memberikan hasil kualiti serta kepuasan kepada audiens," ujar Karina memberikan hujahnya.

Melihat kepada kerjasama sulung itu, adakah ini bermakna selepas ini KRU Studios akan terus menggunakan khidmat MPO untuk menghasilkan skor muzik filem-filem mereka akan datang?

Menjawab persoalan itu, Norman tidak menolak kemungkinan itu tetapi jelasnya, semuanya perlu diselarikan dengan konsep mahupun tema sesebuah filem yang mereka hasilkan.

"Kami merancang untuk menerbitkan filem bercorak aksi dan epik seperti HMM sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh lima tahun.

"Jadi, siapa tahu selepas ini kalau KRU Studios terbitkan lagi filem-filem sebegini, kami pastinya mahu menjalinkan kerjasama dengan MPO sekali lagi," kata Norman yang menjangkakan HMM akan ditayangkan pada bulan Februari tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: