Monday, May 31, 2010

Pos Malaysia sertai sektor hartanah

PUSAT operasi perkhidmatan Pos Laju di Brickfields    antara  lokasi strategik bakal dimajukan.
PUSAT operasi perkhidmatan Pos Laju di Brickfields antara lokasi strategik bakal dimajukan.
Semakan semula Akta Tanah Pos bolehkan lokasi strategik dimajukan

SEMAKAN semula Akta Tanah Pos yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen Jun ini, bakal menyaksikan penyertaan Pos Malaysia Bhd dalam sektor pembangunan hartanah.
Mengikut sumber yang rapat dengan syarikat itu, ia akan memberi peluang kepada Pos Malaysia mempelbagaikan sumber pendapatannya dengan membangunkan semula tanah miliknya yang kini hanya menempatkan premis operasi pos serta aktiviti yang berkaitan.Difahamkan, semakan semula akta itu sedang dilaksanakan kerajaan menerusi agensi yang berkaitan dan akan dimuktamadkan hujung bulan depan.

Sumber itu berkata, menerusi penerokaan dalam aktiviti hartanah, khususnya yang membabitkan tanah di lokasi strategik di pusat bandar utama, ia akan memberikan pendapatan lumayan yang konsisten kepada Pos Malaysia pada masa depan.

Katanya, antara lokasi utama yang sudah dikenal pasti ialah di Brickfield, Kuala Lumpur yang kini menempatkan operasi perkhidmatan Pos Laju.

“Akta Tanah Pos sedia ada menyatakan semua kemudahan Pos Malaysia yang didirikan di tanah milik kerajaan hanya dikhususkan bagi perkhidmatan pos dan aktiviti berkaitan dengannya dan Pos Malaysia tidak boleh membuat aktiviti lain yang boleh menghasilkan keuntungan lebih baik.
“Ini sekali gus mengehadkan penggunaan keseluruhan 660 cawangan dan pusat pengedaran milik Pos Malaysia.

“Namun, dengan terbentuknya akta baru itu nanti, ia akan memberi kelebihan kepada Pos Malaysia membangunkan semula tanah yang menempatkan prasarananya kepada bentuk pembangunan yang dapat memberikan lebih banyak hasil,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sumber itu berkata, dalam merealisasikan pembangunan semula hartanah itu, Pos Malaysia mungkin bekerjasama dengan pemaju hartanah eksklusif terpilih bagi memajukan projek yang dilaksanakan boleh meningkatkan lagi nilai tanah di lokasi yang dikenal pasti itu.

“Konsep pembangunan yang akan dilaksanakan masih belum dimuktamadkan, namun ia adalah yang boleh menjana pulangan lumayan kepada kumpulan serta pemegang sahamnya,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini banyak agensi pos di luar negara berjaya membentuk perniagaan lain di dalam lokasi sama yang menempatkan prasarana operasi pos mereka, sekali gus dapat menghasilkan sumber pendapatan luar yang konsisten.

“Selain fokus kepada aktiviti utama, agensi pos di luar negara itu juga kini banyak terbabit dengan perniagaan restoran, kedai serbaneka atau kafe yang dibangunkan di atas tapak yang sama dengan prasarana kemudahan pejabat pos yang mendatangkan sumber pendapatan lumayan,” katanya sambil menegaskan pengurusan Pos Malaysia sejak akhir-akhir ini amat aktif meneroka sumber pendapatan baru yang dapat menawarkan pulangan pendapatan lumayan berikutan penurunan dalam aktiviti penghantaran surat.

Semakan semula Akta Tanah Pos itu adalah sebahagian daripada pengumuman Kerajaan untuk melupuskan pegangannya dalam ekuiti Pos Malaysia yang akan dilaksanakan menerusi dua peringkat.

Peringkat pertama membabitkan penekanan dalam menangani persekitaran perniagaan makro Pos Malaysia yang antara lain merangkumi penstrukturan penggunaan tanah milik kerajaan yang diperuntukkan untuk prasarana pos, dan kepentingan pekerja syarikat.

Peringkat kedua yang akan bermula selepas syarat pada peringkat pertama dipenuhi pula, akan menyaksikan proses bidaan untuk memilih pemegang saham utama Pos Malaysia berdasarkan pertimbangan kewangan dan strategik.

Ketika ini, kerajaan menerusi cabang pelaburannya, Khazanah Nasional menguasai 32.2 peratus pegangan strategiknya dalam Pos Malaysia.

Difahamkan, dua syarikat iaitu DRB-Hicom dan Tune Money sudah bertemu Khazanah untuk mengemukakan hasrat pengambilalihan berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: