|
|
SYDNEY - Beberapa pemilik kelab malam termasuk John Ibrahim (gambar) di sini menawarkan kepada polis New South Wales A$400,000 (RM1.1 juta) setahun untuk melakukan rondaan tambahan pada setiap malam Sabtu di King Cross, lapor akhbar Daily Telegraph semalam.
Cadangan itu mengikut model di Hawaii, Amerika Syarikat (AS) apabila hospital swasta dan pusat hiburan membiayai bayaran tambahan untuk tugas rondaan anggota polis bagi menghalang keganasan.
Namun, rancangan Ibrahim dan 20 pemilik kelab malam tersebut ditolak oleh polis.
Ibrahim memberitahu, perancangan untuk memberi bayaran tambahan kepada lapan anggota polis itu akan menyekat aktiviti keganasan dan menggalakkan lebih ramai pengunjung ke King Cross.
"Kami semua menyokong usaha ini. Sebarang usaha untuk melaksanakan satu program melibatkan anggota polis bagi menghalang aktiviti keganasan merupakan satu perkara yang bagus," kata jurucakap dan peguam belanya, Stephen Alexander.
Ibrahim berkata, wang bukannya menjadi penghalang untuk mendapatkan perkhidmatan anggota polis itu.
"Wang bukan perkara utama. Jika tiada sebarang masalah berlaku di sini, lebih ramai orang akan berkunjung ke kawasan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: