Sunday, May 30, 2010

Pencarian lelaki sempurna

MEMILIH tajuk Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami, awal-awal lagi ia satu biasan kepada penerbit dan pelakon utama filem berkenaan, Haliza Misbun yang sudah kalis dengan soalan kahwin dan dicap sebagai anak dara tua (andartu).

Jujurnya, tajuk itu bukan satu masalah kepada filem yang sedang berputar di pawagam itu.

Di sana-sini, kelibat wanita yang belum berkahwin sedangkan usia sudah melepasi 30-an masih ramai.

Filem buah tangan Din CJ itu sendiri memperlihatkan dua pemikiran berbeza, satu tekanan daripada keluarga dan satu lagi dilema wanita berstatus andartu itu sendiri.

Naratif filem itu ringan, stereotaip dan klise tetapi masih menghiburkan.

Ia berkisar tentang seorang gadis kolej, Nik Melati Sukma yang memiliki perwatakan tomboi tetapi masih jatuh cinta dengan pensyarah sendiri. Dia kemudian membawa diri ke luar negara kerana cinta tidak direstui orang tua.

Melati pulang semula ke tanah air menjadi wanita yang sukses dan jelita namun masih tiada cinta.

Biasalah dalam masyarakat kita, ibu bapalah yang paling risau apabila anak gadis belum berkahwin dan itu menjadi tekanan kepada Melati yang diberi tempoh selama 21 hari untuk membawa pulang calon suami.

Jika gagal, dia harus bersetuju dengan lelaki pilihan keluarga.

Masih sebuah komedi romantik walaupun ada beberapa aksi yang mungkin tidak sanggup dilihat oleh golongan wanita ekoran penonjolan 'aset' milik Haliza.

Dalam filem itu, Haliza menguasai hampir seluruh jalan cerita, watak-watak lain tidak ubah sekadar cameo, tidak banyak diberi emosi atau latar namun banyak memberi kesegaran kepada filem itu.

Menutup tirai dengan sedikit babak yang dipinjam daripada filem Runaway Bride, menonton filem Andartu Terlampau seperti melihat semi autobiografi dan ramalan kisah benar penerbit filem itu sendiri.

Komen Suzana: Penggunaan nama-nama unik, Nik Melati Sukma, Omar Shariff, Putera Aziz Al-Biruni dan Ayop nampaknya berjaya menyuntik imej lucu kepada filem ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: