|
|
TINGGAL beberapa minggu sahaja lagi, Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) bakal menutup tirainya untuk mencari juaranya.
Di minggu-minggu yang penuh penantian ini, ada sahaja wajah-wajah yang tersingkir.
Terbaru, pada konsert minggu ketujuh, Shahir menjadi pelajar keenam terkeluar daripada perjuangan merebut apa yang diimpikan selama ini.
Keputusan ini cukup mengejutkan bagi sesetengah pihak namun itulah hakikatnya yang perlu diterima semua.
Begitu juga dengan Pengetua AF8, Norman Abdul Halim yang terkilan dan kecewanya terhadap keputusan tersebut.
Meletakkan Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi, 22, sebagai pelajar kegemaran, Norman menjelaskan jejaka berusia 22 tahun itu sepatutnya layak diberikan laluan untuk beraksi di pentas akhir.
"Hati saya sangat terluka. Minggu ketujuh boleh dianggap badi bagi Akademi Fantasia (AF) apabila memperlihatkan pelajar terbaik terkeluar.
"Kalau dinilai persembahan di minggu ketujuh, sepatutnya bukan Shahir yang harus disingkirkan.
"Dia sebenarnya layak ke peringkat akhir,'' kata Norman yang ditemui sebaik berakhirnya pengumuman penyingkiran menerusi Debaran AF di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam Ahad lalu.
Di konsert minggu ketujuh, Shahir, anak jati Perak mendendangkan lagu berjudul Tiara, nyanyian asal kumpulan Kris.
Sayangnya, Shahir hanya mampu memungut 13.89 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk berada di tangga tercorot berbanding enam pelajar lain.
Siti Adira Suhaimi, 19, atau Adira mengungguli di tangga pertama dengan 15.46 peratus diikuti Muhd. Shahril Firdaus Eli, 22, (14.39 peratus); Emirza Azwan Zulazrin Chew, 20, (14.36 peratus); Nadiawaty Ainul Basir, 24, (14.07 peratus); Muhd. Firdaus Maulana Mohamed, 22, (13.94 peratus) dan Zafarina Jamhari, 28, (13.90 peratus).
Konsert minggu ketujuh menyaksikan Lah V.E diundang sebagai pengkritik undangan di samping pengkritik tetap iaitu Adlin Aman Ramli dan Aznil Haji Nawawi.
Menyambung bicara, ujar Norman, meskipun tersingkir pihaknya sudah pun memikirkan sesuatu buat Shahir apabila terhidang peluang untuknya muncul dengan sebuah single.
Telah pun merakamkan single berkenaan, Edry KRU berperanan dalam mencipta lirik dan lagu berkenaan yang berjudul Kebahagiaan Dalam Perpisahan.
Tambah mengembirakan Shahir, klip video untuk lagu itu juga telah dirakamkan dan ia sebagai hadiah buatnya melangkah maju di luar akademi nanti.
"Bukan sahaja Shahir, semua pelajar yang telah tersingkir sebelum ini pun memperoleh peluang yang sama.
"Lagu-lagu yang telah mereka rakam akan ke udara di radio sedikit masa lagi.
"Untuk Shahir, lagu tersebut amat menepati dengan vokalnya. Ia lebih kepada pop dan ada elemen rock,'' ujarnya.
Ditanya mengapa Shahir menjadi pelajar kegemarannya, Norman berkata, Shahir memiliki karakter yang jarang ada pada muda-mudi masa kini.
Shahir, jelasnya, sepanjang mengikuti pembelajaran di akademi telah menunjukkan sikap yang baik dan seorang yang berbudi bahasa.
"Dia juga ada pakej tersendiri. Vokalnya cukup 'jantan' dan jelas serta lantang.
"Oleh sebab itulah saya kecewa Shahir tersingkir. Dia pelajar yang sangat baik,'' ujar Norman.
Sementara itu, bagi Penerbit Eksekutif AF8, Norazian Mohd. Zahir, saat diketengahkan persoalan tentang kemungkinan diadakan undi masuk atau AFMASUK berkata, semuanya bergantung kepada keadaan.
"AF selalu mencipta kejutan. Apa-apa boleh terjadi. Jadi, tunggulah nanti,'' jelasnya.
AFMASUK pernah diperkenalkan dalam beberapa siri penganjuran AF sebelum ini bagi memberi peluang pelajar tersingkir memasuki semula ke dalam akademi untuk berentap di konsert akhir.
"Ini rezeki saya"
Dalam pada itu, bagi Shahir pula, penyingkiran akan membuatkan siapa saja terkilan.
Namun, bagi dirinya, ia bukanlah satu kegagalan yang berterusan kerana dunia luar daripada akademi adalah medan perjuangan total.
"Apa pun, saya bersyukur kerana mendapat 'hadiah' yang amat berharga iaitu muncul dengan single pertama.
"Ini adalah rezeki buat saya. Untuk sampai ke tahap ini bukanlah sesuatu yang mudah. Terima kasih kepada semua yang telah banyak memberi saya tunjuk ajar sepanjang berada di akademi,'' katanya.
Memberi maklum balas terhadap soalan media berkisar tentang statusnya sebelum ini yang merupakan anggota kumpulan nasyid, Shahir menjelaskan bahawa kemasukannya ke dalam akademi bukanlah untuk beralih arah.
Bagi Shahir, berada di akademi memberi peluang untuk mengorek pelbagai ilmu yang ada yang sukar dan mahal untuk dipelajari di luar.
"Peluang yang ada, inilah yang saya gunakan. Lagipun, sepanjang bersama kumpulan nasyid Saujana, saya bukanlah penyanyi tetap kumpulan itu.
"Saya hanyalah sebagai penyanyi gantian,'' tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: