Monday, May 31, 2010

Ria-Two sasar buka 50 kedai alat tulis


DUA kakitangan Ria-Two bersedia melayan pelanggan yang membeli-belah pelbagai produk alat tulis di kedai Rona Stationeries di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Ria-Two Sdn. Bhd. (Ria-Two), syarikat pemborong, pembekal dan peruncit barangan alat tulis dan keperluan pejabat, menyasarkan untuk membuka 50 kedai alat tulis Rona Stationeries menjelang tahun 2015 berbanding lima cawangan pada masa sekarang.

Pengarah Urusannya, Rozaiman Che Kar berkata, kedai itu akan dibuka melalui konsep francais dalam usaha menggalakkan penglibatan usahawan bumiputera dalam sektor tersebut.

"Pada masa ini, tidak banyak golongan bumiputera yang berkecimpung dalam perniagaan ini.

"Oleh itu, perniagaan francais bukan sahaja untuk membantu meningkatkan bilangan usahawan bumiputera tetapi juga sebagai usaha kami untuk meluaskan lagi portfolio perniagaan kami," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Batu Caves baru-baru ini.

Rozaiman menjelaskan, pada masa sekarang terdapat lima lokasi kedai Rona Stationeries yang terletak di Shah Alam, Kelana Jaya, Ampang, Batu Caves dan Kuantan.

"Tidak lama lagi kami akan membuka satu cawangan di Putrajaya.

"Sebuah lagi ialah kedai yang dikenali sebagai Kembara Rona dalam kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mana ia turut memainkan peranannya sebagai pusat latihan keusahawanan bagi para pelajar yang berminat," jelas beliau.

Tambahnya, Rona Stationeries bukan sekadar pusat jualan sehenti alat tulis dan keperluan lain tetapi berkonsepkan sebuah pusat edaran dan pameran kepada pelanggan dan pihak terlibat.

2 comments:

  1. boleh hantar sebutharga alat tulis kepada kami?

    ReplyDelete
  2. Cik Afiq, boleh lah layari page kami di facebook,

    http://www.facebook.com/pages/Rona-Stationeries-Shah-Alam/206984742718028

    kami sedia untuk berhubung dgn pelanggan :)

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: