Monday, October 31, 2016

Lufya Buat Persiapan Nikah Secara Sederhana



Lufya bersama tunangnya Che Mohammad Hafiz.
PETALING JAYA: Pelakon Lufya Omar memberitahu pembatalan sidang medianya bagi mengumumkan perkahwinan dia dengan seorang doktor iaitu Che Muhammad Hafiz Oktober lalu bukan kerana hajat untuk berumah tangga berhadapan masalah.

Sebaliknya, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar 31, berkata, dia kini sedang sibuk membuat persiapan menjelang hari bahagia yang bakal berlangsung pada November ini.

"Saya mohon maaf terpaksa batalkan sidang media tersebut kerana masalah dalaman antara lokasi penaja dengan pihak kami. Namun, majlis perkahwinan akan tetap diteruskan dan persiapan perkahwinan dilakukan secara sederhana sahaja.

"Apa yang penting ialah perkahwinan itu dirahmati Allah dan kehidupan selepas berkahwin perlu dirancang dengan baik dari sekarang," ujarnya.

Lufya mengulas tentang perkembangan majlis perkahwinannya setelah majlis sidang media yang sepatutnya diadakan pada 10 Oktober lalu dibatalkan.

Penyanyi dan pelakon itu mengikat tali pertunangan dengan pilihan hatinya Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada Ramadan lalu.
Kad jemputan majlis perkahwinannya bakal diedar tidak lama lagi.
Sementara itu, Lufya berkata, tarikh sebenar untuk majlis perkahwinan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat berserta kad jemputan yang bakal diedarkan tidak lama lagi.

"Insya-Allah pada November ini dan tarikhnya nanti saya akan beritahu. Kami sudah buat keputusan untuk melangsungkan pernikahan dan resepsi pada hari yang sama," ujarnya.

Hubungan Alif (Sleeq) & Isteri Lebih Erat Kerana Berjauhan



Alif bersama isteri dan anaknya.
PETALING JAYA:Penyanyi dan komposer Alif (Sleeq) berkata, berjauhan dengan isterinya Azzah Fariha yang berada di Singapura menjadikan hubungan mereka lebih erat.

Alif atau nama sebenarnya Alif Abdullah, 27, perkara tersebut membuatkan dia lebih menghargai setiap masa ketika bersama isteri dan anaknya Alana yang kini berusia lima bulan.

"Saya balik ke Singapura boleh dikatakan setiap minggu kerana terlalu rindu dan saya akui ada baiknya hubungan berjauhan ini.

"Bila balik ke Singapura, saya akan habiskan masa dan menghargai setiap masa dengan mereka. Apa yang penting ialah kualiti bukan kuantiti masa yang dihabiskan dengan mereka," ujarnya.

Alif berkahwin dengan Azzah Fariha pada 13 September 2014 dan dikurniakan seorang cahaya mata Alana Alif, kini berusia lima bulan.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Tepi Sikit  ini mengakui terkilan apabila tidak dapat melihat pembesaran anak sulungnya itu di depan mata.

Namun, dia akur terhadap pengorbanan yang terpaksa dilakukan untuk mencari rezeki keluarganya.

"Setiap hari saya facetime tapi rasa tidak puas untuk melepaskan rindu dan saya paling sedih jika terlepas peluang melihat dia pandai melakukan sesuatu yang baru," ujarnya.

Sementara itu, Alif mengakui ahli keluarganya meminta dia kembali meneruskan kerjaya seni di Singapura selepas ibunya meninggal dunia Februari lalu.

Bagaimanapun, Alif berkata, isterinya tidak membenarkan pulang ke Singapura sebaliknya memberi kepercayaan kepadanya untuk terus mencari rezeki di negara ini.

"Selepas ibu meninggal memang ahli keluarga minta saya balik ke Singapura dan meneruskan kerjaya seni di sana.

"Hanya isteri sahaja yang beri dorongan dan galakkan kepada saya untuk terus tinggal di sini, dia faham bagaimana susah saya untuk mencipta nama di sini," ujarnya.

Tiga Minggu Sakit Tidak Pulih, Elly Mazlein Terima Gangguan Ganjil



Aksi Elly Mazlein pada konsert Gegar Vaganza pada Ahad. Elly menyampaikan lagu Perawan Atau Janda.
SHAH ALAM: Penyanyi dan pelakon Elly Mazlein mendedahkan bahawa dia menerima gangguan ganjil yang menjejaskan kesihatan dan fokusnya sepanjang menyertai Gegar Vaganza musim ketiga.

Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, berkata, perkara itu membuatkan kesihatannya masih tidak pulih biarpun sudah tiga minggu mendapatkan rawatan perubatan.

"Sudah masuk tiga minggu sakit saya tidak pulih walhal setiap hari saya ke klinik ambil suntikan dan berubat. Tadi pun (malam Ahad) doktor datang untuk beri rawatan sebelum saya naik ke pentas.

"Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dan ramai menasihatkan agar saya berubat tradisional sebagai salah satu ikhtiar untuk baik," ujarnya.
Elly ditemui selepas program Gegar Vaganza 3 yang berlangsung di Auditorium MBSA di sini, malam Ahad.

Elly Mazlein

Persembahan penyanyi itu yang membawakan lagu Perawan Atau Janda mendapat markah kedua terbawah selepas penyanyi Rem yang tersingkir pada minggu ketiga.

Menurut Elly, dia juga menerima perkara yang agak pelik ketika di rumah membuatkan dia sentiasa berasa takut.

"Saya tidak boleh cerita banyak, cukuplah saya katakan akan berubat dengan rawatan Islam dengan harapan semuanya kembali seperti biasa," ujarnya.

Sementara itu, penyanyi itu turut berasa sedih dan ralat apabila persembahannya pada minggu ini menghampakan peminat-peminatnya.

Kata Elly, perasaannya berkecamuk dan blurketika di atas pentas membuatkan dia terlupa lirik lagu.

"Saya sedih kerana menghampakan peminat-peminat saya malam ini, suara saya sengau dan lupa beberapa lirik lagu tersebut kerana blur atas pentas tadi.

"Bagaimanapun, saya anggap rezeki masih berpihak kepada saya kerana terselamat pada malam ini. Insya-Allah doakan saya sihat dan boleh melakukan persembahan terbaik minggu depan," ujarnya.

Nazrief Nazri Terganggu Dikutuk Peminat Emma Maembong



Nazrief pada majlis kejutan sambutan hari lahirnya ke-25 anjuran kelab peminat Nazrief Official Supporter (NOS) dan syarikat pengurusannya, MindOrder Sdn Bhd di Setapak Mall, petang Ahad. 
KUALA LUMPUR: Pelakon Nazrief Nazri mengakui dirinya terganggu dan berasa pelik dengan sikap segelintir peminat tegar pelakon Emma Maembong yang masih menyalahkan dia kerana akrab dengan aktres itu.

Nazrief atau nama penuhnya Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 25, berkata, keadaan itu dialaminya sejak dia dan Emma berlakon dalam siri Nasi Minyak Kuah Cinta yang kini ditayangkan di TV3.

"Pada mulanya saya okey saja tapi bila lama-kelamaan saya perhatikan kutukan itu berlaku secara berterusan pula. Asalkan saya muat naik gambar dengan Emma saja pasti ada yang hentam saya.

"Kononnya mereka tidak suka saya rapat dengan Emma. Tapi sesetengah peminat tegar Emma dan Zizan tidak suka keakraban kami. Padahal kami hanya berlakon bersama dan tidak lebih daripada itu," katanya.

Sesekali menerima kejutan daripada peminat.
Nazrief ditemui pada majlis kejutan sambutan hari lahirnya ke-25 anjuran kelab peminat Nazrief Official Supporter (NOS) dan syarikat pengurusannya, MindOrder Sdn Bhd di Setapak Mall di sini, petang Ahad.

Ditanya mengenai kesan situasi itu dengan kekasih Emma iaitu Kamal Adli, Nazrief berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah dengan aktor itu.

"Saya dengan Kamal tiada masalah langsung. Mungkin selepas gosip saya dengan Emma keluar beberapa bulan lalu, timbul salah faham juga di pihak Kamal.

"Tapi lama-kelamaan Kamal nampak dan faham ia sekadar gosip. Malah, gosip itu juga menguatkan semula hubungan Kamal dan Emma," katanya.

Nazrief Nazri (tengah) bersama sebahagian daripada peminatnya.

Sementara itu, Nazrier berkata, kerjaya seninya bakal berkembang ke bidang nyanyian dalam masa terdekat.

"InsyaAllah kalau tiada aral saya akan masuk studio untuk rakam lagu pertama saya tidak lama lagi. Saya harap semuanya berjalan lancar dan menjadi.

"Nyanyian adalah impian saya dari kecil lagi cuma sebelum ini belum dapat peluang. Jadi apabila ditawarkan oleh syarikat pengurusan untuk cuba menyanyi, saya sangat teruja.

"Saya berharap ia menjadi permulaan yang baik untuk saya diterima dalam bidang nyanyian pula. Namun, lakonan tetap berjalan seperti biasa," katanya.

Tiket Konsert Krisdayanti Romansa 2017 Mula Dijual




Krisdayanti
PETALING JAYA: Tiket bagi menyaksikan persembahan Krisdayanti di Istana Budaya pada 24 hingga 26 Februari 2017 sudah dijual kepada umum pada Isnin.

Konsert berskala besar tersebut akan melakar sejarah peribadi penyanyi Indonesia itu kerana Krisdayanti akan menyampaikan lebih 25 buah lagu popular sepajang dua dekad sebagai penyanyi.

Lebih menarik lagi, konsert solo pertama penyanyi berusia 41 tahun ini juga bakal diiringi sepenuhnya oleh penggiat muzik Malaysia termasuk Aubrey Suwito yang bakal bertindak sebagai pengarah muzik.

“Bukan sekadar lokasinya di Istana Budaya yang begitu berprestij dan menjadi impian saya selama ini, malah konsert Krisdayanti Romansa 2017 ini nanti adalah satu sejarah dalam kerjaya nyanyian saya sendiri. Saya bakal mengadakan persembahan sepanjang tiga malam berturut-turut. Ia adalah sesuatu yang luar biasa dan teramat istimewa khususnya buat peminat muzik saya,” katanya.

Konsert Di Singapura Permulaan Gabungan Semula Exists



Kumpulan Exists bakal mengadakan konsert di Singapura pada 2 Disember depan.
PETALING JAYA: Konsert istimewa Exists di Singapura pada 2 Disember depan dilihat sebagai permulaan gabungan semula kumpulan terkenal era 90-an itu.
Pemain drum Exists, Ujang berkata, adalah menjadi harapan mereka untuk kembali bersatu sebagai kumpulan dengan mengadakan lebih banyak persembahan bermula tahun hadapan.

"Sebenarnya memang ada hasrat untuk kembali dengan reunion penuh Exists dan konsert di Singapura ini merupakan pembuka kepada hasrat kami ini.

"Adalah menjadi harapan kami untuk memulakan sesuatu bersama Exists pada tahun hadapan," katanya.

Konsert yang diberi nama Throwback Exists itu bakal berlangsung di Far East Square, Singapura bermula pukul 7 malam.

Penyanyi baharu, Khai Bahar pula bakal diundang sebagai artis pembuka tirai pada konsert itu nanti.

Ia dianjurkan oleh pihak CMX International dan Frankoland Management.

Dalam pada itu, Ujang berkata, mereka memilih Singapura atas permintaan peminat yang merindukan kemunculan mereka di pentas selepas kali terkahir mengadakan konsert di negara berkenaan 10 tahun lalu.

“Ramai para peminat di Singapura yang bertanyakan tentang konsert atau persembahan Exists maka kami ingin menunaikan pemintaan para peminat.

"Atas sebab itu juga kami namakan konsert itu dengan nama Throwback Exists," katanya.

Sementara itu, Ujang berkata, konsert itu nanti bakal menampilkan lagu-lagu hits seperti Mengintai Dari Tirai Kamar, Alasanmu, Jesnita dan Masih Terserlah Ayumu menerusi persembahan selama satu jam.

“Kami akan memulakan sesi latihan pada bulan November ini kerana waktu ini setiap anggota kumpulan masih sibuk dengan jadual masing-masing.

"Ezad juga masih dalam proses terapi tetapi Along sudah memulakan proses pra-produksi,” ujarnya lagi.

Ujar Ujang lagi, mereka tetap mengekalkan susunan muzik yang sama tetapi memberikan sedikit suntikan segar terhadap lagu-lagu yang bakal disampaikan.

Untuk rekod, Exists pernah muncul dengan sembilan buah album studio iaitu Exist (1991), Anugerah (1993), Diammu Gunung Berapi (1995), Jangan Gentar (1997), Mutan (1998), Ada(2001), Seperti Dulu (2003), Paragon (2004) dan Hits Rakaman Semula (2007).

Ushera Pertaruh Lagu Klasik Angkat Era Pra-Kemerdekaan



Ushera tampil dengan album sulungnya berjudul Semalam di Malaya.
PETALING JAYA: Penyanyi baharu iaitu Ushera Yusof memilih lagu klasik sebagai pertaruhan menerusi album pertamanya iaitu Semalam di Malaya kerana ingin mengangkat warisan muzik yang pernah mewarnai pada era pra-kemerdekaan.
Ushera berkata, menerusi lagu-lagu klasik itu juga dia ingin memberi peluang kepada generasi baharu mengenali warisan artistik dan budaya negara ini sambil membawa pendengar kembali ke zaman kegemilangan muzik tanah air.
"Melalui Semalam di Malaya, saya bukan sahaja ingin mengimbau semula memori nostalgia di kalangan generasi lama tetapi juga mengambil kesempatan ke atas perhatian yang semakin banyak diberikan oleh generasi baru terhadap warisan artistik dan budaya negara ini.
"Ia sekaligus dapat membawa pendengar kembali ke zaman kegemilangan muzik di Malaysia pada suatu ketika dahulu," katanya.
Album berkenaan mengandungi sebelas lagu klasik di dalam irama orkestra, Latin, muzikal dan Jazz termasuk Bunga Raya, Dunia Asmara, Jikalau Abang Merindu, Polynesia Mambo dan Chuchi Kain Chuchi Mata.
Dalam pada itu, Ushera berkata, dalam memastikan muzik asal dipelihara dia memutuskan mengekalkan keaslian bunyi menerusi lagu-lagu yang dipilih untuk rakaman semula.
Tambahnya, bersama penerbit, Ganesh Bala, perubahan yang dilakukan hanya menambah dinamik dan sentuhan teknologi moden agar produk akhir dapat memberikan pengalaman sinematik dalam spektrum holistik bagaikan menonton sebuah pertunjukan di dalam dewan konsert.
"Sebagai penghormatan saya mengekalkan keaslian bunyi audio klasik dari era tersebut tanpa mengubah melodi kerana ingin keharmonian irama yang asal.
“Saya amat berhati-hati untuk tidak mengubah terlalu banyak versi asal lagu-lagu yang dirakamkan kerana komposisi karya-karya tersebut sudahpun begitu indah.
Tambahnya, mereka mengambil masa selama tujuh bulan untuk menyiapkan album berkenaan termasuk proses pemilihan lagu.
Sementara itu, Ushera berkata, menerusi projek khas ini juga dia banyak mempelajari tentang sejarah Tanah Melayu termasuk memperbaiki mutu nyanyiannya.
"Saya mengkaji tentang wanita di zaman itu serta perilaku mereka dan cuba untuk membawa ciri-ciri ini di dalam persembahan saya.
"Yang lebih penting, saya juga belajar untuk menyanyi dengan lebih baik kerana lagu klasik Melayu bila didengar bagaikan mudah untuk dinyanyikan tetapi ia tidak seperti yang disangkakan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ushera berkata, album berkenaan bakal dilancarkan di Brunei Darussalam pada Disember ini selain merancang siri jelajah bagi mempromosikan Semalam di Malaya selain menyertai festival muzik seluruh dunia.

9 Bulan Tiada Single Baharu, Najwa Latif Sibuk Dengan Kuliah



Najwa Latif tampil dengan single terbaharunya berjudul Biar.
PETALING JAYA: Penyanyi Najwa Latif memberitahu mengambil masa hampir sembilan bulan untuk melancarkan single terbaharunya yang berjudul Biar kerana sibuk dengan pengajiannya di Universiti Antarabangsa UNITAR di sini.
Najwa, 21, bagaimanapun berkata, sepanjang tempoh itu dia tidak berdiam diri sebaliknya tetap menyusun langkah dalam bidang seni dengan caranya tersendiri.
"Jadual kuliah yang agak padat menyebabkan masa agak kurang untuk menghasilkan lagu baharu dan baharu sekarang dapat melancarkan Biar.
"Bagaimanapun tempoh itu juga saya gunakan untuk menyusun strategi dan langkah seterusnya dalam bidang seni," katanya.
Najwa yang kini berada di tahun akhir dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Biar adalah single ke-12 penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Muka Buku itu dan ia adalah hasil ciptaannya sendiri dan lirik oleh Ika Latif.
Dalam pada itu, Najwa berkata, dia tidak mensasarkan harapan tinggi untuk lagu terbaharunya itu namun berharap ia dapat menjadi inspirasi kepada peminat.
Katanya, Biar adalah sebuah lagu yang disiafkan sebagai moden dan segar selari dengan muzik arus perdana namun masih mempunyai unsur cinta dalam lirik.
"Saya mahukan sebuah lagu yang santai selain melodi berbaur pop dan 'cathcy' tetapi masih dapat memberi gambaran terhadap kematangan selari dengan peningkatan usia saya.
"Bagaimanapun liriknya masih dekat dengan pendengar iaitu cinta yang sesuai untuk semua selain menyelit mesej tertentu di dalamnya," katanya.

Tom Cruise Temui Pengganti




PELAKON Tom Cruise dilaporkan sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang wanita misteri sejak beberapa bulan lalu.

Seperti dipetik Mirror.co.uk, hubungan tersebut dilihat semakin serius dan dia sedang menujuk ke fasa seterusnya.

Menurut sumber, perkenalan mereka terjalin ketika Tom sedang menjalani penggambaran filem di London.

Pasangan ini dilaporkan bercuti di sebuah perkampungan di Cotswolds, kira-kira dua jam dari kota London.

"Dia sangat serius dengan hubungan tersebut dan ingin memastikan ia berjalan lancar. Dia bukan sahaja mahu seorang kekasih, malah seorang yang boleh menjadi sahabatnya," ujar sumber.

Bagaimanapun, sehingga kini, Tom masih belum tampil memberi penjelasan tentang perkara berkenaan.

Tom berkahwin dengan Katie Holmes pada tahun November 2006 dan bercerai pada Julai 2012. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata Suri Cruise.

Ikatan Pertunangan Mariah Carey-James Packer Putus



Gambar Mariah dan James ketika bercuti di Greece pada September lalu.
PASANGAN berprofil tinggi Hollywood iaitu Mariah Carey dan jutawan Australia, James Packer dilaporkan memutuskan ikatan pertunangan mereka pada Khamis lalu.
Daily Mail melaporkan perpisahan itu berlaku kerana James, 47, dikatakan cemburu apabila Mariah dilihat rapat dengan salah seorang penarinya iaitu Bryan Tanaka sehingga menyebabkan mereka bergaduh besar ketika bercuti di Greece, September lalu.

"James tidak menyukai Mariah rapat dengan Bryan dan sentiasa merasakan penyanyi itu curang terhadapnya walaupun Mariah menegaskan hubungan mereka profesional.

"Percutian mereka di Greece baru-baru ini mencetuskan pergaduhan besar sehingga Mariah bertindak pulang ke Amerika serta merta," kata sumber terdekat pasangan itu.
Mariah bersama penarinya, Bryan Tanaka.
Sumber lain pula memberitahu, Mariah tidak tahan dengan sikap baran James sehingga sanggup melakukan sesuatu yang buruk terhadap pembantu peribadinya ketika percutian itu.

Sementara itu, pergaduhan itu juga dilaporkan kerana James berang dengan sikap boros Mariah yang berbelanja keterlaluan.

Bagaimanapun Mariah menerusi jurucakapnya dalam satu kenyataan menyangkal semua dakwaan berkenaan namun mengakui berlaku pertengkaran di antara mereka di Greece.

"Mariah dan James bertengkar di Gree dan mereka tidak bercakap sehingga hari ini. Pergaduhan itu bukan disebabkan isu curang atau sikap boros Mariah.

"Mereka sedang cuba memperbaiki masalah yang timbul namun masih belum pasti sama ada akan masih bersama.

"Pasangan itu juga merancang untuk mengeluarkan kenyataan secara bersama dalam masa terdekat," kata kenyataan dikeluarkan itu.

James dalam satu kenyataan juga menyangkal semua dakwaan yang menyelubungi hubungan mereka ketika ini.
Pasangan itu yang mula bercinta sejak Jun tahun lalu mengikat tali pertunangan pada Januari lalu.
Dalam perkembangan sama, Mariah yang ditemui paparazi selepas menikmati makan malam pada Jumaat lalu dilihat masih memakai cincin pertunangannya.

Kim Jeong Hoon Bakal Ke Hollywood



Kim Jeong Hoon
AKTOR yang terkenal dengan watak Lee Yul dalam drama Princess Hours, Kim Jeong Hoon dilaporkan bakal beraksi di Hollywood.

Seperti dipetik Allkpop, Kim Jeong Hoon sudah pun bertemu dengan pengarah filem Pasific Rim 2.

Namun, sehingga kini belum mengetahui tentang karakter yang bakal dinawanya.

"Pengarah sedang mecari pelakon Korea yang sesuai untuk filemnya, namun hingga kini masih belum mengesahkan status pelakon tersbeut," ujar sumber.

Sebelum popular dengan Princess Hours, Kim pernah terlibat dengan drama God of War Xhao Yun, Her Legend, I Need Romance dan Dummy Mummy.

Aplikasi Pantau Strok Kini Dalam Versi BM




KUALA LUMPUR: Dalam usaha untuk mengatasi kebimbangan mengenai masalah kesihatan, para doktor kini cuba sesuatu yang baru.

Aplikasi telefon pintar pemantau strok dikenali sebagai 'Stroke Riskometer' versi Bahasa Malaysia kini dilancarkan pada Khamis lepas bagi membolehkan pengguna untuk mengira risiko strok.

'Stroke Riskometer' hadir dalam dua versi.

Versi ringkas menggunakan 20 soalan yang diuji secara saintifik untuk sesiapa sahaja yang berumur antara 20 dan 90 bagi mengira risiko mengalami strok dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Ia juga boleh menunjukkan risiko untuk serangan jantung, demensia dan kencing manis.

Sementara itu dengan bayaran yang kecil, pengguna boleh menaik taraf kepada versi Pro untuk mendapatkan nasihat peribadi, menyimpan dan mengesan keputusan, akses kepada video dan keputusan e-mel.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan telah berusaha untuk mengurangkan tahap garisan merah dalam trend penjagaan kesihatan di Malaysia, demikian menurut Ketua Jabatan Perubatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr Norlinah Mohamed Ibrahim.

Beliau berkata kira-kira 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok setiap tahun, dengan enam kes baru akan muncul setiap jam.

Unit Neurologi PPUKM dan pihak universiti membangunkan aplikasi versi Bahasa Malaysia 'Stroke Riskometer' - sebuah aplikasi dari Auckland University of Technology yang berjaya memenangi anugerah terbaik.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran di kalangan golongan muda mengenai keperluan untuk rawatan awal dan pencegahan.

Aplikasi ini adalah percuma untuk dimuat turun menerusi aplikasi Android dan iOS dan boleh didapati di Google Play dan App Store.

Sissy Imann terima kejutan daripada peminat



Sissy Imann
Sissy Imann
PENYANYI sedang meningkat naik, Sissy Imann menerima kejutan istimewa daripada kelab peminatnya, Cyntahati Sissy Imann Official yang meraikan hari jadinya ke-21 dua hari lebih awal pada 22 Oktober lalu.
Majlis yang dirancang tanpa pengetahuan Sissy ini berlangsung meriah dengan kehadiran peminat setianya, bukan sahaja dari Kuala Lumpur, tetapi juga Kedah dan Johor selain presiden kelab peminatnya yang terbang dari Sarawak semata-mata untuk acara ini.
Menariknya, pada hari sama, genap satu tahun penubuhan Cyntahati Sissy Imann Official yang menjadi tulang belakang kerjaya seni Sissy.
“Kejutan yang saya sifatkan cukup istimewa sempena hari pada hari jadi kali ini kerana ia dilakukan sendiri oleh peminat yang sentiasa ada di belakang saya selama ini.
“Walaupun tidak mengharapkan mereka melakukan semua ini, jujurnya saya rasa cukup dihargai apabila mereka bukan hanya menyokong dalam kerjaya tetapi juga mahu menggembirakan saya dengan perkara-perkara seperti ini,” kata Sissy yang tidak dapat menahan sebak.
Penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Mungkin Kamu ini, turut berkongsi tentang impian yang ingin dikejar bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-21 ini.
“Insya-ALLAH, dalam masa setahun setengah lagi saya akan menamatkan pengajian dalam bidang muzik dan berharap akan lulus cemerlang dengan pencapaian kelas pertama.
“Selepas itu saya akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada bidang seni dan berusaha untuk melebarkan bakat saya dalam bidang ini ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya pelantun lagu Hidup ini penuh yakin.
Meskipun sudah menginjak ke usia 21 tahun, Sissy mengakui masih selesa ditemani kedua ibu bapanya dalam segala aktiviti yang dilakukannya, terutamanya melibatkan soal kerjaya.
“Mungkin ada yang mengaitkan usia 21 tahun ini sebagai kunci kebebasan untuk seseorang, tetapi sebaliknya pula pada saya yang sentiasa mahukan ibu bapa ada bersama dalam apa juga yang dilakukan,” akuinya jujur.
Majlis yang berlangsung meriah di Flora CafĂ©, Ampwalk ini juga dihadiri penyanyi Ippo Hafiz dan ‘youtuber’ yang tidak asing lagi iaitu Zack Merican yang turut membuat persembahan istimewa bersama Sissy sebagai tanda penghargaan kepada peminat.

Liyana Jasmay giat perluas empayar



Liyana Jasmay
Liyana Jasmay
KELIBAT figura ini di dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Memulakan karier seawal usia sembilan tahun sebagai pelakon, Liyana Jasmay sudah membuktikan kehadirannya bukan sekadar picisan.
Pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 pada 2010 menerusi filem Papadom, Liyana juga pernah memenangi trofi Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular 2009 dan Pelakon Wanita Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2009 dari filem Kami The Movie.
Bagaimanapun bagi wanita berusia 28 tahun ini, trofi yang dimenangi bukan bermakna dia boleh duduk goyang kaki dan hanya menanti tawaran yang datang.
Bahkan dia juga mungkin seperti sesetengah artis lain yang pernah merasa kecewa dengan industri dan keadaan sekeliling, serta hampir menguburkan kariernya.
“Pada tahun 2011, saya pernah berputus asa meneruskan karier lakonan kerana merasakan produksi dan peminat lebih menyukai pelakon yang mempunyai pakej rupa berbanding bakat lakonan.
“Lagi pula saya sudah menggenggam trofi Pelakon Terbaik dan saya terfikir, apa lagi yang mahu saya buktikan.
“Jadi dengan sokongan pada dari keluarga terutamanya maka saya menubuhkan Mermaid Pictures dan diikuti Mermaid Studios,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Oh Nana dan Selesa Tanpamu di Bistro 160, Hotel Grand Millennium, baru-baru ini.
Tambah ibu kepada Sofia Arissa, 2 tahun dan Selena, sembilan bulan ini, idea penubuhan ini di dorong atas dasar mahu membantu dirinya sendiri dan apatahlagi dia bukan individu yang hanya sekadar berpeluk tubuh menantikan tawaran yang datang.
Bahkan dia tidak pernah mengambil kesempatan dengan kehidupannya, biarpun ada yang melihat Liyana sebagai anak orang senang.
“Bila saya bekerja dengan abang Afdlin Shauki, Datuk Hans Isaac, Datuk Rosyam Nor, mereka sering menasihati saya pelbagai perkara.
“Mengenai karier, mengenai pentingnya menghormati orang lain dan bagaimana membantu diri sendiri.
“Pada mulanya saya memang tak jelas apa yang mereka cuba sampaikan dan bila saya dah melaluinya baharulah saya faham.
“Walaupun ada yang mengatakan apa yang saya lalui hari ini kerana bantuan ayah saya, tapi saya rasa tak adil kerana bagi saya keluarga saya bukanlah tergolong sebagai kaya-raya sehinggakan saya boleh duduk diam tanpa berbuat apa-apa.
“Bagi saya, apa yang saya kecapi hari ini adalah usaha untuk membantu diri saya sendiri dan bantuan orang sekeliling termasuk kakak saya yang tidak jemu membantu dan melontarkan idea serta dalam masa yang sama memberi pendapat dan kritikan yang jujur,” ujarnya.
Dua single baharu
Berkongsi perkembangan terkininya, isteri kepada ahli perniagaan, Fathuddin Mazlan kembali dengan dua buah lagu baharu, Oh Nana dan Selesa Tanpamu selepas kali terakhir tampil dengan single Jujur, tiga tahun lalu.
Sebelum ini Liyana pernah tampil menerusi tiga single iaitu Aku Tak Percaya Cinta, Aku Jatuh Cinta dan Cinta Bersatu.
“Alhamdulillah selepas sekian lama tertangguh, akhirnya saya dapat melancarkan dua single terbaharu ciptaan Alyph Abdullah atau pun dahulu dikenali dengan nama Alyph Sleeq.
“Sebelum itu, saya sudah beberapa kali berjumpa dengan komposer termasuk dari Indonesia tapi tak ada satu pun yang menarik.
“Bila Alyph hantar demo pada saya, saya terus jatuh cinta kerana saya sukakan muziknya yang lebih menepati selera terkini.
“Atas dorongan Alyph juga, saya  merancang mengeluarkan album tahun depan.
“Saya juga merancang untuk mengadakan sesi jelajah dan bertemu peminat bermula penghujung tahun ini.
“Bukan itu sahaja, saya juga sedang merangka untuk mengadakan konsert mini di tiga buah negara iaitu di Kuala Lumpur serta Singapura dan Jakarta,” ujarnya.
Lebih istimewa, Liyana dengan kerjasama Warner Music Malaysia turut menjalani sesi penggambaran muzik video dua lagu tersebut di Los Angeles.
“Ia merupakan salah satu impian saya dan Alhamdulillah perkenalan saya dengan pengarah muzik video ini telah memudahkan proses penggambaran dan saya sangat suka dengan hasilnya,” katanya.
Selain lagu terbaharu, Liyana melalui produksi Mermaid Studios yang diusahakan bersama kakaknya, Adriana Jasmay bakal mengeluarkan filem berjudul Bella & Jamie tahun depan. Selain Liyana, turut membintanginya ialah Juliana Evans.

Gegaran AIM22: Dominasi penyanyi lama, baharu



Gegaran AIM22: Dominasi penyanyi lama, baharu
ANUGERAH Industri Muzik (AIM) sudah memasuki tahun ke-22 penganjurannya. Saban tahun, penyertaan daripada penggiat seni tanah air begitu memberasangkan.
Menerusi AIM, ramai bakat baharu dalam ditampilkan dan di sini jugalah medan untuk penggiat seni yang rata-rata dari mereka yang berada di belakang tabir menunjukkan kemampuan mereka.
Tidak hanya taruhan vokal daripada artis terkenal, malah AIM menjadi titik mula mereka yang selalu berada di belakang tabir mempamerkan kehebatan dalam bidang masing-masing. Tidak kiralah sama ada penyusunan muzik, kulit album mahupun penciptaan lagu.
AIM kali ke-22 memperlihatkan saingan daripada muka baharu dan lama. Setiap kategori didominasi dua generasi ini.
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin terus menarik perhatian panel juri apabila mendominasi senarai akhir Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) apabila menerima tujuh pencalonan daripada 17 kategori yang dipertandingkan.
Menerusi album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged, penyanyi berusia 37 tahun ini dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Rakaman Album Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Album Terbaik.
Selain itu, Siti turut dicalonkan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu  Menatap Dalam Mimpi dan Jaga Dia Untukku.
Mengekor rapat, penyanyi berbakat besar, Faizal Tahir pula menerima empat pencalonan iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Lagu Pop Terbaik.
Turut bersaing rapat, penyanyi muda, SonaOne pula menerima empat pencalonan iaitu Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik termasuk dua lagu dalam kategori Lagu Hip Hop Terbaik.
Kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu pula menyaksikan persaingan sengit nama-nama besar seperti kategori ialah Lelaki Akim, Faizal Tahir, Hazama Hazami dan Lah Ahmad. Manakala empat penyanyi wanita yang akan mencabar Datuk Siti Nuhaliza ialah Dayang Nufaizah, Jaclyn Victor, Najwa Mahiaddin dan Nona.
Turut cemerlang adalah bakat baharu yang semakin meningkat naik, Syamel, apabila disenaraikan ke peringkat akhir dalam dua kategori iaitu Artis Baharu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik menerusi Hidup Dalam Mati, yang juga hasil ciptaannya sendiri.
Penyertaan meningkat
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM22, Rosmin Hashim, pencalonan akhir itu menampilkan gabungan menarik 80 nama-nama besar yang disegani serta pendatang baharu dalam industri muzik negara dengan pelbagai genre muzik yang diterbitkan.
“Tahun ini, AIM menerima 731 pencalonan berbanding 610 pencalonan, sebelum ini. Ini adalah pencapaian yang amat menggalakkan seterusnya menggambarkan industri muzik tempatan terus rancak dan dinamik dalam penghasilan lagu baharu,” katanya.
Tambahnya, pencalonan artis-artis dan lagu-lagu yang kurang dikenali ramai juga menunjukkan AIM terus mengiktiraf hasil karya penggiat seni muzik berasaskan kualiti dan bukan populariti semata-mata.
“Kita gembira melihat senarai pencalonan tahun ini yang menunjukkan kepelbagaian artis yang bertanding. Tidak kiralah daripada bintang ternama hinggalah ke bakat baharu yang sedang menempa nama,” katanya.
Jelasnya lagi, setiap album dan single yang tercalon diterbitkan dari 1 Julai 2014 sehingga 30 Jun 2016.
Dalam pada itu, bagi menghangatkan lagi penganjuran anugerah berprestij ini, beberapa siri Jelajah AIM 22 akan diadakan di lima cawangan AEON Mall bermula di AEON Tebrau City Shopping Centre, Johor Bahru pada 5 November, AEON AU2 Setiawangsa Shopping Centre (13 November), AEON Mall Klebang, Ipoh (19 November), AEON Mall Kota Bharu, Kelantan (26 November) dan berakhir di AEON Mall Shah Alam pada 3 Disember depan.
Selain itu,  satu Showcase AIM 22 juga bakal diadakan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 6 November ini bermula jam 3 petang. Showcase ini akan berlangsung selama tiga jam dan membariskan nama artis hebat seperti Akim & The Majistret, Black, Hazama, Kaka Azraff, Najwa Mahiaddin, Projector Band, Salammusik, Syamel, Projek Pistol, De Fam, Juwita Suwito dan Vince Chong. Tiket berharga RM60.00.
AIM22 bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC) pada 18 Disember depan. Ia juga akan dipancarkan di Astro Ria HD (saluran 123) Maya HD (saluran 135).

5 FINALIS AKHIR AIM22

* ARTIS BARU TERBAIK
Bella Nazari
De Fam
Projector Band
Lyia Meta
Syamel

* PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM LAGU (LELAKI)
Akim (Akim & The Majistret) – Potret
Faizal Tahir – Sejati
Hazama – Sampai Mati
Hazami – Cintai Dia
Lah Ahmad – Syukur

* PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM LAGU (WANITA)
Jaclyn Victor – Seindah Mimpi
Najwa Mahiadin – Guilty Room
Nona – Takkan Biarkan
Datuk Siti Nurhaliza – Menatap Dalam Mimpi
Dayang Nurfaizah – Lelaki Teragung

* PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM LAGU (BERKUMPULAN)
Back2Basixx – Senyuman
De Fam – Supergirls
Nowseeheart – Selawat Untuk-Mu
The Mikraj – Qod Kafani
UNIC – Syamail Muhammadiah

* PERSEMBAHAN VOKAL DUO / KOLABORASI TERBAIK DI DALAM LAGU
Elizabeth Tan feat Faizal Tahir – Setia
Hunny Madu & Kayda – Go Heart or Gostan
Misha Omar & Hafiz Suip – Terimaku Seadanya
Najwa Mahiadin feat Juny – After The Rain
SonaOne feat Joe Flizzow & Akeem – Go Do That

* KULIT ALBUM TERBAIK
Sekumpulan Orang Gila – Bahtera
Fynn Jamal – Puisi Tepi Jalan
Yuna – Material
Pitahati – Selamat Datang ke Panggung Suara
Reena Nicky – Magika

* RAKAMAN ALBUM TERBAIK
Yuna – Material
Froya – Panic Bird
Gabriel Lynch – All Of Us
Q Sound – Duel Citizenship
Datuk Siti Nurhaliza – Datuk Siti Nurhaliza Unplugged

* VIDEO MUZIK TERBAIK
Stacy – Not For Sale
Kaka Azraff feat Sleeq – Bukan Hal Aku
Hazama – Sampai Mati
Paperplane Pursuit – Who’s Gonna Stop Me
Fynn Jamal – Suatu Pernah

* LAGU POP ETNIK TERBAIK
Amir Jahari – Ingga
Reena Nicky – Joget Sulam Sakti
Man Khan & Aris Kapilla – Kelik La Weii
Kopratasa – Mathnawi 1 Mawar
Fynn Jamal – Sepertinya

* LAGU NASYID TERBAIK
Suhaimi Saad – Cinta Sidna
Caliph Busker – Hanya Nama-Mu
Lah Ahmad – Maulaya
Datuk Siti Nurhaliza – Mikraj Cinta
Daqmie – Tangis Sebatang Tamar

* LAGU ROCK TERBAIK
Projek Pistol – Berani Mati
Azlan & The Typewriter – Mata Hati
Azlan & The Typewriter – Lebih Baik Sendiri
Akim & The Majistret – Potret
Amy Search feat Edrie Hashim – Redha Kemenangan

* LAGU POP TERBAIK
Faizal Tahir – Assalamualaikum
Syamel – Hidup Dalam Mati
Datuk Siti Nurhaliza – Menatap Dalam Mimpi
Hazama – Sedetik Lara
Faizal Tahir – Sejati

* LAGU HIP HOP TERBAIK
SonaOne – Confirm Ah
SonaOne – Hakeleh
Altimet & Takahara Suiko – Janji
Lah Ahmad feat Altimet – Mengelamun
Salammusik – Terima Kasih

* LAGU INGGERIS TEMPATAN TERBAIK
Elvira Arul – Christmas in The Sun
SonaOne – Firefly
Juwita Suwito – Just Like That
Daiyan Trisha – Stargazing
Vince Chong – Wonder

* SUSUNAN MUZIK TERBAIK DI DALAM LAGU
Elvira Arul – Christmas in The Sun
Datuk Siti Nurhaliza – Jaga Dia Untukku
Datuk Siti Nurhaliza – Menatap Dalam Mimpi
Caliph Busker – Hanya Nama-Mu
Faizal Tahir – Assalamualaikum

* ALBUM TERBAIK Akim & The Majistret – Patriot
Datuk Siti Nurhaliza – Datuk Siti Nurhaliza Unplugged
Black – Black
Mojo – Nada
Estranged – Sepenuhnya Vol 1

Permit tangkap buaya liar akan dikeluarkan



buaya
gambar hiasan
SIBU - Jabatan Hutan Sarawak akan mengeluarkan permit untuk memburu dan memusnahkan buaya-buaya liar dan ganas di 13 batang sungai di negeri ini dalam tempoh terdekat.
Pengarahnya, Sapuan Ahmad berkata, penduduk setempat akan diberi keutamaan bagi memohon serta mendapatkan permit memburu dan memusnahkan buaya-buaya liar di sungai kawasan masing-masing.
Menurutnya, antara sungai yang mempunyai populasi buaya liar tertinggi di Sarawak iaitu sekitar 14 ekor untuk jarak setiap satu kilometer ialah di Batang Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar dan Batang Salak.
Beliau berkata, berdasarkan bancian dilakukan jabatan, terdapat kira-kira 20,000 ekor buaya liar di sungai-sungai di Sarawak.
“Pada persidangan saintis di Afrika Selatan baru-baru ini, lampiran bagi populasi buaya liar di Sarawak telah diturunkan daripada Lampiran 1 kepada Lampiran 2," katanya kepada pemberita semasa menghadiri majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Hutan Sarawak di sini malam tadi.
Ini bermakna buaya-buaya liar di negeri itu kini boleh diburu dan dimusnahkan manakala kulit dan daging pula boleh dijual untuk eksport ke pasaran luar negeri.
“Harga produk siap kulit buaya liar seperti beg tangan, kasut dan tali pinggang boleh mencecah sehingga RM5,000. Manakala dagingnya pula boleh dijual dengan harga sekitar RM38 sekilogram," katanya.
Sarawak mempunyai Ordinan Perlindungan Hidupan Liar sendiri yang digubal pada 1990 untuk melindungi haiwan itu daripada pupus tetapi mengikut Lampiran I, larangan dibuat terhadap penjualan produk buaya yang dibunuh, terutamanya daging dan kulitnya, ke pasaran antarabangsa memandangkan mana-mana transaksi perdagangan antarabangsa dikawal selia oleh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Flora dan Fauna Liar yang Terancam (CITES).
Sapuan berkata, pihaknya tidak menetapkan kaedah pemburuan tetapi terpulang kepada pemegang permit sama ada menggunakan pancing atau senjata api dan mereka perlu mencari sendiri pembeli buaya-buaya yang mereka tangkap dan musnahkan itu.
Beliau menerangkan, pihaknya hanya membenarkan aktiviti pemburuan dan pemusnahan buaya-buaya liar yang mempunyai populasi 14 ekor untuk jarak setiap satu kilometer sungai.  
Pemburuan buaya di sungai yang populasi buayanya adalah rendah tidak dibenarkan.
Menurutnya, pertambahan populasi buaya-buaya liar di negeri ini boleh mencecah sehingga 500 ekor dalam tempoh enam tahun memandangkan seekor buaya boleh menghasilkan sebanyak 80 biji telur.
“Mengikut bancian yang dibuat di Kuching Woodland pada tahun 2008 terdapat 313 ekor tetapi pada tahun 2014 populasi buaya liar di situ meningkat kepada 800 ekor,” jelasnya.

Gunting rambut semurah RM2.50



Gunting rambut semurah RM2.50
Pelanggan menyukai hasil kerja Tok Nya yang kemas dan cantik.
JIKA sebut Tok Nya tukang gunting rambut, pasti masyarakat setempat mengenalinya.
Tok Nya yang berbangsa Cina berusia 80 tahun dan tinggal di perumahan Bintong berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, aktif dengan perkhidmatan menggunting rambut sejak 60 tahun lalu.
Dengan bayaran terlalu murah iaitu RM2.50, ramai pelanggan berpusu-pusu datang ke rumahnya, yang dijadikan sebagai lokasi menggunting rambut.
Tok Nya berkata, dia mula belajar menggunting rambut pada 1957 di kedai gunting rambut di Pulau Pinang.
"Di sana, Tok Nya belajar cara gunting rambut selama lima tahun," katanya.
Menurut Tok Nya, ketika masih muda, dia mampu menggunting rambut berpuluh pelanggan setiap hari sehingga lewat malam.
Bagaimanapun katanya, kini kebanyakan pelanggan adalah berbangsa Melayu.
“Dulu ada pelanggan Cina, tapi sekarang Tok Nya tak ambil dah sebab kebanyakan depa suka rambut fesyen-fesyen, Tok Nya tak larat dah. Tok Nya akan suruh depa pi buat di kedai.
“Tok Nya banyak gunting rambut ikut fesyen biasa ja. Nak gunting macam artis, Tok Nya tak pandai,” katanya sambil berseloroh.
Murah sebab kasihan
Ketika ditanya mengapa mengambil bayaran hanya RM2.50, Tok Nya memaklumkan dia berbuat demikian kerana kasihankan orang.
“Bukan semua orang ada duit, jadi Tok Nya niat nak bantu orang saja,” katanya.
Tok Nya yang mempunyai empat anak, tinggal bersama suami berusia 93 tahun, sementara semua anaknya sudah bekerja dan tinggal berasingan.
Menurut Tok Nya, dia kini menumpukan sepenuh masa dengan menggunting rambut.
“Untuk makan, Tok Nya akan upah orang hantar makanan tengah hari dan malam untuk kami berdua,” katanya.
Puas hati hasil kerja
Tok Nya
Sementara itu, pelanggan, Hashimah Ismail, 43, berkata, dia menggunting rambut dengan Tok Nya sejak kecil sehingga sekarang.
“Saya selesa dengan hasil tangan Tok Nya sebab kemas dan cantik. Habaq saja nak rambut fesyen mana, pasti hasilnya tak mengecewakan.
“Tok Nya memang suka rendah diri, kata tak tau gunting rambut fesyen-fesyen ni, tapi kalau pandai pujuk, dia mesti gunting juga,” katanya.
Menurut seorang lagi pelanggan, Nazirah Man, 39, dia selalu datang menggunting rambut dengan Tok Nya sejak berusia 7 tahun.
“Dulu selalu mai dengan mak, sekarang ni mai sendiri. Masa kecil upah gunting RM1, sekarang Tok Nya dah naikkan ke RM2.50. Bagaimanapun, bagi saya ia masih terlalu murah. Mana nak dapat harga macam ni? Kalau kat luaq mesti berbelas ringgit,” katanya.

Terima sijil selepas akad nikah



Mohd Yusop Husin
Mohd Yusop Husin
IPOH – Perak merupakan negeri pertama menggunakan sistem Perakuan Nikah Segera (PerakNis) yang mengeluarkan sijil nikah dalam tempoh satu minit berbanding 14 hari sebelum ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, penyerahan perakuan nikah atau sijil nikah akan diberikan serta merta selepas akad nikah.
Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan ini bagi meningkatkan penyampaian dan kualiti perkhidmatan Jaipk terutama kepada pasangan pengantin.
“Melalui projek perintis di Kuala Kangsar tahun lalu yang mendapat sambutan menggalakkan, kini sistem itu telah diguna pakai di seluruh negeri yang mana pelancarannya pada Februari 2016,” katanya.
Beliau berkata, sistem yang digunakan ini juga bertujuan mengekang sindiket sijil nikah palsu serta lambakan sijil nikah yang tidak diambil pasangan di pejabat-pejabat agama daerah.
“Sekiranya ada dalam kalangan pengantin yang menerima surat nikah beberapa hari selepas majlis akad nikah, ada baiknya jika mereka menyemak dengan teliti agar tidak terpedaya  dengan sindiket tersebut.
“Jika ada keraguan dapatkan kepastian dengan Jaipk. Tiada ejen, syarikat atau orang tengah yang menguruskan permohonan perkahwinan dan ia hanya dilakukan di pejabat agama,” katanya.
Jelasnya, untuk mengelak dari ditipu, semua urusan pernikahan perlu melalui pejabat agama iaitu badan yang bertanggungjawab dalam hal berkenaan.
“Perkahwinan ini sangat penting kerana akhirnya ia berkaitan dengan soal keturunan. Kita khuatir pernikahan tersebut tidak sah gara-gara sindiket berkenaan yang akan membawa masalah di kemudian hari,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata,  masalah lain yang dihadapi adalah surat nikah yang tidak dituntut malah ada antaranya hampir empat tahun tidak diambil oleh pasangan.
Mohd Yusop berkata, mereka hanya akan teringat atau mencari semula apabila rumah tangga bermasalah misalnya, berlaku penceraian, isteri mengandung dan bersalin, anak memasuki sekolah serta lain-lain.
Tambahnya, dengan wujudnya sistem ini, ia sekali gus menyelesaikan semua masalah yang dihadapi Jaipk pada masa sama memudahkan pelanggan.

Tujuh setengah minit satu tren



Tujuh setengah minit satu tren
KTM Komuter merupakan antara pengangkutan popular penduduk Seremban yang bekerja di Kuala Lumpur selain menggunakan perkhidmatan bas.
SEREMBAN - Beri gembira buat penduduk sekitar Seremban yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk bekerja di ibu negara apabila Kementerian Pengangkutan memperuntukan RM1.4 bilion bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Komuter) pada waktu puncak.
Dengan peruntukan itu, perkhidmatan komuter dari Seremban ke Kuala Lumpur akan lebih kerap daripada 15 minit kepada tujuh setengah minit antara setiap tren.
Menterinya, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai bagaimanapun berkata, kerja menaik taraf sistem persemboyanan di Lembah Klang perlu dilaksanakan terlebih dahulu, sebelum matlamat itu mampu dicapai.
“Kita sedang buat (penaiktarafan) Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) punya (sistem) persemboyanan. Memang mahal.
“Kita juga akan kembangkannya (sampai) ke Seremban. Sebab melalui langkah demikian, barulah dapat ditingkatkan kekerapannya.
Justeru, katanya, kementerian berharap proses penaiktarafan berkenaan dapat disiapkan sebelum tahun 2020.
“(Tambah lagi) Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah pun luluskan bajet untuk menambah lagi 10 set komuter.
"Ini perangsang yang cukup tinggi kepada kita untuk membolehkan perkhidmatan komuter dari Seremban ke Kuala Lumpur dipercepatkan lagi,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Sembilan di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui dan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, satu pasukan siasatan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat insiden gerabak KTMB yang tergelincir di Batu Gajah, Perak.
“(Insiden) ini memberi kesan yang besar terhadap keyakinan rakyat untuk menggunakan perkhidmatan kereta api dan merupakan satu tamparan hebat kepada kita.
“Satu siasatan akan dilaksanakan. Kita akan pastikan kemalangan seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya.

‘Hati kena jujur, ikhlas’



‘Hati kena jujur, ikhlas’
Atiqah bersama suami, Mohd Razman Mohd Radzi Dzulkhairi, 27 dan anak mereka, Rayyan.

SHAH ALAM – Dilahirkan dalam keluarga yang memiliki latar belakang 'kahwin campur’ mendorong anak jati Klang, Selangor ini lebih terbuka untuk bercampur dengan masyarakat berlainan bangsa dan agama.
Nooratiqah Adila Noorzaidy, 27 atau mesra disapa Atiqah mengakui perbezaan itu bukanlah perkara yang perlu dinilai dari mata kasar, namun nilai keikhlasan serta kejujuran seseorang lebih mustahak.
Dibesarkan dalam keluarga yang mempraktikkan cara hidup Melayu dan Islam tidak menjadi penghalang buatnya untuk menerima dan mengenali teman-teman yang berlainan dengan asal usulnya.
“Semuanya bermula ketika saya memulakan sesi persekolahan darjah 1  di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Tshing Nian, Klang.  Ketika  itu hanya saya dan seorang lagi yang berbangsa Melayu.
“Mahu atau tidak, saya perlu menyesuaikan diri untuk menjalani persekolahan dan sejujurnya ketika itu mereka menerima kehadiran saya dengan hati terbuka.
"Tiga tahun bersekolah di sekolah tersebut, saya mula menguasai  bahasa Mandarin,  menulis dan membaca dalam bahasa itu," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, walaupun usianya masih mentah untuk memahami erti perpaduan, pengalaman yang ditempuhi setiap hari menjadikan dirinya terbuka menerima perbezaan budaya dan agama.
“Sehinggalah pada usia 13 tahun, saya melanjutkan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina. Di sekolah ini boleh dikatakan dipenuhi pelajar Melayu, India dan Cina.
“Saya mula sedar ada perbezaan dari aspek pemahaman dan pergaulan, tetapi saya melihat ke arah yang lebih positif  dan boleh memberi kebaikan,” katanya.
Perubahan sekeliling tidak pernah mengubah pendiriannya untuk terus terbuka menerima perbezaan di kalangan teman-teman sekolah, apatah lagi sifatnya yang peramah dan suka bertanya membuatkan dirinya selesa untuk didekati.
“Saya selesa bergaul dengan kawan-kawan berlainan bangsa. Lebih-lebih lagi apabila saya mampu bertutur dalam bahasa Cina dan memahami pertuturan bahasa Tamil membuatkan mereka juga selesa untuk menerima saya.
“Bila kita bergaul dengan orang yang berbeza, ia sebenarnya memberi kita peluang  menambah pengalaman dan ilmu pengetahuan am. Saya sendiri adalah seorang yang suka bertanya lebih-lebih lagi berkaitan budaya kawan-kawan yang berlainan bangsa,” ujarnya.
Apa yang lebih menarik, Atiqah turut memberitahu hubungan persahabatannya bersama dua teman karib yang berlainan agama dan bangsa turut menjadi perhatian.
Katanya, perbezaan itu, bukan penghalang buat mereka mempertahankan hubungan persahabatan itu sehingga kini.
“Secara kebetulan, dua teman karib saya adalah Tan Wen Dee, 27 dan Angeline Douglas. Di sekolah kami dikenali sebagai ‘geng muhibah’ memandangkan latar belakang budaya dan agama yang berbeza.
“Persahabatan itu tidak terhenti di zaman persekolahan kerana sehingga sekarang kami masih akrab.
"Walaupun masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri, tapi kami cuba mencari masa sesuai untuk bertemu  terutama ketika meraikan Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina dan Deepavali bersama selain berhubung melalui media sosial,” katanya.
Pengalaman  mempelajari budaya pelbagai kaum dan bangsa sedikit sebanyak membantu ibu kepada seorang putera, Muhammad Rayyan Danial, 3 ini dalam menggalas tugas sebagai pramugari di syarikat penerbangan swasta.
Pengalaman bantu kerjaya
“Apa yang saya belajar dari pengalaman lalu sangat membantu saya terutama ketika berkomunikasi dengan masyarakat berbilang kaum. Sekurang-kurangnya saya tahu bagaimana untuk melayani penumpang yang berbeza agama dan bangsa.
“Sehingga sekarang, saya tidak pernah jemu untuk mengenali atau mempelajari budaya lain kerana bagi saya ia memberi kebaikan untuk diri kita sendiri. Kalau boleh saya mahu terus menerapkan perkara ini sehingga ke anak cucu  nanti,” jelasnya.
Manfaat itu telah membuka matanya bahawa perpaduan dan sikap saling memahami di antara kaum atau bangsa tidak pernah merugikan malah memberi seribu kebaikan  kepada sesiapa sahaja.
“Tak salah jika kita saling menerima dan  tidak menjadikan perbezaan itu sebagai faktor yang menghalang kita untuk saling mengenali.
“Kehidupan rakyat di negara ini akan lebih bermakna dan berwarna-warni sekiranya nilai perpaduan ada dalam setiap masyarakat,” ujarnya lagi.

Pengantin warga emas jadi tumpuan



Pengantin warga emas jadi tumpuan
JENGKA - Gelaran warga emas bukan halangan bagi Harun Salleh dan Wan Asma Wan Awang, masing-masing berusia 76 tahun untuk merasai pengalaman bergelar raja sehari.
Wan Asma yang juga ibu kepada enam anak, 22 cucu dan lima cicit berkata, apa yang penting keluarga kedua-dua belah pihak merestui dan sama-sama meraikan detik-detik istimewa perkahwinannya.
"Tujuan makcik dan pakcik berkahwin untuk memiliki teman hidup di usia tua ini. Lebih kepada untuk ada penjaga, untuk teman berbual dan mengadu sakit. Orang tua-tua kahwin bukan untuk harta benda atau apa-apa.
"Makcik dan pakcik masing-masing ada kehidupan sendiri. Rumah dah ada. Pendapatan dah ada. Yang tak ada cuma teman hidup. Kalau sakit tak nak susahkan anak-anak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Felda Jengka 18, di sini.
Menceritakan detik perkenalan mereka, Wan Asma yang lebih dikenali dengan jolokan Mak Wan berkata, usaha menjodohkan mereka datang daripada seorang penduduk Jengka 18, Mat Yasin yang kebetulan mengenali Harun.
"Pak Mat bawa pakcik Harun datang rumah Makcik bulan Ogos lepas. Pertama kali jumpa makcik dah suka pakcik. Dia baik, peramah malah anak-anak juga menyambut baik perkenalan kami.
"Apabila kedua-dua keluarga dah setuju kami terus tetapkan perkahwinan," katanya yang mengalami sedikit kesulitan proses dokumentasi perkahwinan.
Menurut Mak Wan beliau perlu mengangkat sumpah di mahkamah terlebih dahulu serta mengemaskini surat beranak kerana ia telah terlalu lama dalam rekod tanpa kemas kini.
Majlis yang asalnya direncanakan sebagai kenduri tahlil buat arwah suami Mak Wan menjadi meriah dan besar dengan kehadiran tetamu dan ahli keluarga pihak lelaki yang membawa empat dulang hantaran serta sebentuk cincin dan tunai RM2,000 sebagai wang hantaran.
"Apapun makcik bersyukur semuanya berjalan lancar dengan baik. Sebelah pagi acara bacaan yasin dan tahlil buat arwah suami dan tengahari pula majlis perkahwinan dan potong kek. Semuanya anak-anak tolong uruskan," katanya.
Kedua-dua pengantin berasal dari Terengganu ini menetap di Wilayah Jengka sejak lebih 30 tahun lalu. Mak Mah kematian suami pada tahun 2014 manakala suaminya Harun yang memiliki lapan anak kematian isterinya setahun lalu.
Majlis di sebelah pihak lelaki dijadualkan pada 5 November ini di Felda Jengka 20.

Saran kosongkan tabung masjid



Saran kosongkan tabung masjid
Tabung masjid disaran untuk dikosongkan setiap hari. Gambar kecil: Aizi Saidi.
KUALA TERENGGANU - Jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini disaran mengosongkan tabung yang terdapat di rumah ibadat berkenaan setiap hari sebagai satu langkah mengelak kejadian kecurian atau pecah tabung.
Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, kes kecurian dan kehilangan wang tabung di masjid atau surau dapat dibendung dengan tidak memberi ruang kepada penjenayah untuk mendapatkan hasil daripada perbuatan keji mereka.
“Jawatankuasa masjid perlu mengambil perhatian kepada kes curi wang tabung masjid dengan mengosongkannya setiap hari. Jika tabung dalam masjid dikosongkan, ia dapat mengurangkan kes malah kehilangan wang dapat dibendung,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kes kehilangan wang dalam tabung di masjid sama ada di masjid kawasan kampung atau sekitar bandar raya ini yang sering berlaku dan menjadi sasaran pencuri.
Selain itu, beliau turut mencadangkan jawatankuasa masjid dan surau memasang kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat-tempat bersesuaian.
“Walaupun kos pemasangan kelengkapan CCTV  diakui adalah tinggi, pihak pengurusan masjid atau surau boleh menggunakan duit tabung untuk pemasangan dan pemantauan,” katanya.
Aizi Saidi berkata, pemasangan kelengkapan CCTV sangat relevan dan amat diperlukan dalam senario semasa ketika ini dan boleh dikatakan kebanyakan masjid kerajaan dan surau sudah mempunyai kemudahan tersebut di tempat mereka.
Menurutnya, melalui kemudahan peralatan itu pemantauan juga dapat dilakukan pada setiap waktu termasuk ketika waktu solat kerana terdapat juga kes kehilangan barangan berharga jemaah semasa solat dan juga dalam kenderaan jemaah.
“Tindakan sewajarnya harus diambil kerana selain wang tabung, barangan lain seperti sistem audio dan pembesar suara di masjid dan surau turut berisiko dicuri penjenayah,” katanya.

Gua Cha sejarah yang ditinggalkan



Gua Cha sejarah yang ditinggalkan
Keadaan persekitaran Gua Cha yang tidak diurus dengan baik.
GUA MUSANG - Nama Gua Cha bukanlah asing lebih-lebih lagi kepada pengkaji sejarah. Malah namanya juga dicatatkan dalam teks sejarah sezaman dengan Gua Niah (Sarawak), Bukit Tengkorak (Sabah) dan beberapa lokasi terpenting dalam sejarah peradaban negara.
Terletak 16 kilometer dari Kuala Betis, Gua Cha juga menjadi tumpuan strategik kepada pengkaji sejak zaman sejak awal 1900-an lagi. Kajian arkelogi membuktikan kawasan pendalaman ini Kelantan dihuni kira kira 10,000 tahun yang lampau.
Di lokasi ini, ada dua lagi gua dikenali sebagai Gua Batu Kukup dan Batu Lindungan serta mempunyai kesan lubang yang digali pengkaji selepas penemuan pelbagai jenis tembikar purba.
Pada tahun 1954, terdapat  kajian dilakukan G. D Seivenking warga England dengan mengguna jalan udara bagi mengelak serangan komunis.
Hasilnya mereka menemukan rangka  manusia Hoabinhian termasuk barangan termasuk tembikar dan kini disimpan di University of Cambridge.
Itu cerita 70 tahun dahulu, tetapi hari ini, nama Gua Cha masih gah, tetapi ia hanya sekadar hebat pada luaran dan nama sahaja.
Tinjauan Sinar Harian ketika mengikuti satu ekspedisi baru-baru ini mendapati kawasan ini tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib.
Mungkin lokasi jauh di pedalaman membuatkan ia tidak menjadi keutamaan pihak berwajib untuk mengharmonikan lokasi itu khususnya kepada pelancong dalam dan luar negara.
Hampir semua kemudahan yang disediakan termasuk bilik mandi dan tandas di kawasan pusat pelancongan tidak dijaga.
Malah ada juga yang runtuh dan keadaan itu menyulitkan bagi mereka yang ingin bermalam atau berkhemah.
Lokasi itu juga tidak lagi terurus dan kelihatan semak samun di lokasi masuk yang mengundang bahaya kepada mereka yang ingin melaluinya.
Apa yang lebih membimbangkan lokasi itu turut terjejas berikutan terdapatnya aktiviti pembalakan berdekatan sekali gus menyebabkan arkeologi berhampiran terjejas.
Persoalannya, tidak adakah satu usaha agresif daripada pelbagai pihak dalam usaha menyelamatkan lokasi ini daripada musnah di masa hadapan.
Bagi aktivis alam sekitar, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, kerajaan negeri perlu menghalang mana-mana syarikat atau agensi melakukan aktiviti pembalakan dan perladangan hutan berhampiran pusat arkeologi itu.
“Kami terkejut bila melihat gambar dari udara mendapati air sungai berhadapan Gua Cha keruh pekat, aktiviti pembalakan di Hulu Sungai Nenggiri dibimbangi akan menjejaskan kualiti air sungai lokasi sebagai tarikan pelancongan.
“Kerajaan negeri melalui jabatan alam sekitar perlu memantau dan mengambil tindakan di atas aktiviti perladangan yang betul dan  masuk dalam kawasan zon penampang yang ditetapkan,” katanya.
Bagi penduduk Gua Musang, Mustafa Ahmad, beliau kecewa kerana di kawasan inilah rangka manusia terpanjang di dunia yang dipercayai mati dan ditanam dalam gua berkenaan tidak diselia dengan baik.
“Semak samun yang semakin menutupi pandangan Gua Cha ini sangat merugikan kepada negeri kerana ia produk pelancongan yang bernilai tinggi," katanya.

Sokong produk banduan



Sokong produk banduan
Jazlan (dua kanan) melihat hasil kraftangan yang dihasilkan banduan dalam pameran di Aeon Kota Bharu di sini, semalam.
KOTA BHARU - Rakyat seharusnya memberikan sambutan positif kepada banduan termasuk menyokong produk kraftangan yang dihasilkan mereka.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, masyarakat harus memandang positif dengan membeli barangan kraftangan yang dihasilkan golongan banduan.
“Ini bagi meningkatkan keyakinan diri mereka dan tidak disisih masyarakat selepas bebas dari penjara dan dapat memulakan kehidupan baru.
“Jabatan penjara juga bertindak sebagai’ orang tengah’ yang turut memasarkan produk-produk dari penjara di pasaran termasuk di karnival dan pameran yang dapat mempromosikan produk penjara ke peringkat yang lebih meluas,” katanya kepada media di pusat membeli belah Aeon di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Penjara Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad.
Jazlan berkata, golongan banduan terbabit perlu diberi perhatian memandangkan ada di antara mereka terpaksa ditahan di penjara bukan atas kesalahan sendiri dan peluang kedua perlu diberikan supaya dapat menjalani kehidupan biasa selepas bebas kelak.    
“Golongan ini apabila berada di penjara, mereka akhirnya kesal dan berazam tidak akan ulangi kesalahan lampau.
“Inilah yang kita ingin lihat supaya golongan banduan dapat kembali kepada masyarakat dan tidak terus menghuni tembok besi dan mengulangi kesalahan lampau,” katanya.