SEMAKIN rancak orang bercerita mengenai kemelut rumah tangga mereka, semakin mesra dan intim Fauzi Nawawi dan Lisdawati. Malah, melihat kemesraan mereka tatkala berdepan dengan media atau ketika menghadiri majlis, memang sukar mempercayai gosip yang mengatakan Fauzi ‘curang’.
Apakah kata-kata yang terpacul daripada mulut bapa kepada dua anak bernama Nur Aini Farhana dan Nur Aina Fazneesya seperti salah didengari?
“Ikutkan hati memang macam nak cekik dan tampar saja isteri saya ini. Tapi jangan salah faham pula, saya rasa macam itu gara-gara watak lakonannya sebagai Lolly dalam drama Buih Buih Cinta 2 ini. Masya-Allah, gediknya dalam drama itu memang menjadi. Saya yakin anda sendiri yang menontonnya pun akan jadi geram dan menyampah,” ungkapnya sambil tersenyum kerana usikannya mahu mencekik Lisdawati itu menggamatkan majlis pada petang itu yang diadakan di Cineleisure, Damansara.
Dalam drama itu, Fauzi dan Lisda masih dikekalkan sebagai teraju utama. Mereka memegang watak suami isteri seperti di alam realiti. Pengarah Osman Ali masih dikekalkan untuk musim kedua. Drama ini akan mula disiarkan esok di TV3. Musim pertama disiarkan pertengahan tahun lalu.
“Selalunya orang akan cakap musim pertama sesebuah drama, telefilem atau filem akan menjadi yang terbaik jika mahu dibandingkan dengan musim seterusnya.
Tetapi berlainan pula pendapat kali ini kerana saya berasakan Buih Buih Cinta 2 lebih baik daripada yang pertama.
“Osman Ali juga berjaya membentuk hasil yang sangat menarik. Osman Ali juga boleh saya katakan sebagai pengarah yang pandai membentuk pelakonnya untuk terus memberi yang terbaik. Watak Lisdawati sebagai Soraya dan Lolly juga mampu membuatkan anda tak kering gusi,” katanya.
Rujuk peguam soal Bravo 5
DALAM pada itu, Fauzi turut ditanya mengenai filem pertama arahannya, Bravo 5 terbitan Karya Prima Production (KPP) Sdn Bhd yang turut mendapat kerjasama Kementerian Pertahanan (Mindef). Bagaimanapun hasratnya untuk memikul mandat sebagai pengarah tinggal mimpi saja.
Produksi filem yang berkisar kepada kisah perjuangan anggota komando dalam memerangi pengganas komunis di era 80-an itu akhirnya menggugurkan namanya sebagai sutradara. Perkara itu diketahuinya hanya melalui e-mel yang dihantar KPP pada tanggal 5 Mei lalu.
Kata Fauzi, apa yang dilakukan jelas menampakkan mereka tidak profesional. Ketika ini, dia dan Korie (salah seorang pelakon yang terbabit) sudah ke pejabat peguam untuk membawa masalah ini ketengah.
“Semuanya masih dalam proses perbincangan di antara kami dan peguam. Malah kami mengusulkan ini juga melalui persatuan Seniman. Sehari selepas saya menerima e-mel itu, saya menghantar surat kepada mereka. Bagaimanapun sehingga ke saat ini, saya tidak mendapat maklum balas.
“Selepas dipukul canang untuk mengarahkan filem ini secara lisan, saya sebenarnya masih menanti kenyataan bertulis daripada mereka mengesahkan perkara itu. Malah, penggambaran yang dijadualkan sejak Disember tahun lalu juga sering bertukar tarikh ke satu tarikh. Tapi akhirnya semuanya masih tak menjadi.
“Sepanjang empat bulan menunggu untuk merealisasikan filem ini, produksi lain juga sudah tidak berani menawarkan kerja kepada saya kerana tidak mahu mengganggu komitmen saya terhadap filem ini. Banyak projek yang saya terpaksa tolak dan ia sekali gus menjejaskan pendapatan bulanan saya,” katanya yang dijangka mengarahkan filem perjuangan berjudul Garis-garis Merah pada September depan.
Ironinya filem itu juga turut menyenaraikan Lisdawati sebagai pelakonnya. Tetapi menurut Lisdawati, dia masih menunggu makluman pihak produksi itu.
Katanya, dia sendiri tidak tahu statusnya kini sama ada masih kekal berlakon dalam filem itu atau sebaliknya.
“Sudah beberapa kali penggambaran filem ini dianjak tarikhnya ke satu tarikh. Tapi sampai sekarang masih belum nampak bayangannya. Saya pun tidak pasti, apakah nama saya juga akan terpalit sama digugurkan atau digantikan dengan pelakon lain dek kes yang dialami suami saya dengan produksi itu.
“Saya hanya mampu menunggu dan terus menunggu. Ikutlah angin saya macam mana. Tapi yang jelas dengan apa yang terjadi, produksi ini memang tak profesional,” kata Lisdawati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: