KUALA TERENGGANU - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket dadah terbesar di negeri ini dengan tertangkapnya seorang pengedar yang dikenali sebagai Raja Pot dalam satu serbuan di Kampung Geluguh, Binjai Rendah, Marang dekat sini Khamis lalu.
Turut ditahan dalam operasi khas pada pukul 11 malam itu ialah dua pembantu kanan Raja Pot berusia 30 dan 40 tahun selain merampas 35.79 gram dadah jenis heroin gred 4 bernilai RM11,200 dan wang tunai berjumlah RM13,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, drama penahanan Raja Pot dan dua lagi suspek lain bermula apabila polis menyerang hendap kenderaan suspek hasil maklumat orang ramai.
Menurut beliau, semasa kejadian, anggota sindiket dadah terkenal di negeri ini dipercayai baru pulang dari negara jiran selepas mendapat bekalan dadah.
Katanya, selepas menunggu hampir lima jam di Kampung Geluguh, sepasukan pegawai dan anggota polis menyerang hendap dan mengepung sebuah kereta Perodua Viva yang dinaiki suspek dan dua rakannya.
"Polis kemudian meminta ketiga-tiga lelaki dalam kereta itu supaya menyerah diri, namun rakan Raja Pot yang memandu kereta tersebut telah mengundur kenderaan itu sebelum terlanggar tiang lampu di tepi jalan.
"Apabila cubaan itu gagal, mereka cuba pula memandu laju ke depan namun polis yang bersedia lebih awal telah mengepung laluan depan termasuk menggunakan sebuah kenderaan berat.
"Pada waktu itu, ketiga-tiga suspek masih enggan keluar dari kereta dan mengunci dari dalam," kata Roslan pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, tindakan Raja Pot dan rakannya yang mengunci kereta dari dalam menyebabkan polis terpaksa memecahkan cermin kereta tersebut sebelum menahan suspek-suspek itu.
Kata beliau, Raja Pot yang berasal dari Alur Limbat di sini dan berusia dalam lingkungan 30-an sebelum ini pernah cuba merempuh pegawai dan anggota polis dalam satu operasi di Kampung Tebakang, Marang pada 13 Mei lalu.
Roslan memberitahu, suspek digelar Raja Pot kerana dia berjaya menguasai pasaran dadah empat daerah utama di negeri ini menerusi rangkaian pengedaran dadah yang terancang.
Raja Pot ialah pengedar heroin terbesar di Terengganu dan menguasai empat daerah iaitu Marang (Tebakang), Dungun (Jerangau Barat), Hulu Terengganu (Bading) dan Kuala Terengganu.
"Selain itu, dia juga mempunyai antara 150 hingga 200 orang penagih selain sering berulang-alik ke sempadan Thailand untuk mendapatkan bekalan dadah dengan nilai transaksi mencecah RM100,000 seminggu," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: