|
|
LAPAN tahun bergelumang selut dan emas dunia lakonan, wanita yang pernah diangkat sebagai Pelakon Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-16 pada 2003, Lisdawati Nazaruddin, 31, kini banyak kelibatnya menghiasi layar kaca.
Terakhir dia baru habis menjalani telemovie berjudul 21 Hari untuk siaran sebuah saluran TV swasta. Pernah dikhabarkan semakin berjinak-jinak dengan penulisan skrip, pemilik trofi Aktres TV Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2005 itu masih berkiblatkan lakonan sebagai karier kecintaan yang tidak pernah susut nilai.
Beranak dua juga bukan halangan untuk Lisda beralah mengurangkan jumlah masa di lokasi.
“Berlakon itulah periuk nasi saya,” luahnya yang kini terbabit dengan sebuah drama siri terbaru, Roh Kembali di TV3 terbitan JS Pictures.
Menerusi drama arahan Azman Yahya tersebut, dia memacu peranan sebagai seorang peguam yang ingin menebus kesalahan lampaunya terhadap bekas kekasihnya, lakonan Fizz Fairuz.
Pertemuan secara tidak sengaja mencetuskan keinginan Lisda membela nasib Fizz yang tertuduh di mahkamah. Tanpa memikirkan soal benar atau salah, Lisda berusaha menyelamatkan Fizz daripada dijatuhkan hukuman atas banyak jenayah yang dilakukan.
“Seronok dapat bekerjasama dengan JS Pictures. Selama ini saya dengar macam-macam cerita tentang produksi milik bersama Sheila Rusly itu tetapi berada di lokasi Roh Kembali, saya dapat sesuatu.
“Bagus jika semua rumah produksi ada cara yang sistematik dan menghormati waktu sepanjang tempoh penggambaran,” katanya memuji cara kerja kendalian Azman Yahya atau Jinggo itu.
Bernama Lisdawati yang punya pengaruh tersendiri sebagai pelakon, akui isteri kepada pelakon serta pengarah popular, Mohd. Fauzi Nawawi, 37 itu juga, tawaran watak yang bersisi psiko menambahkan keterujaannya berlakon bersama produksi berkenaan.
“Sampai saat ini, sudah banyak watak yang saya lakonkan. Ada masanya saya menolak tawaran watak utama atas faktor watak dan rela minta watak pembantu jika watak itu memerlukan sesuatu yang tidak pernah saya lakonkan.
“Dalam Roh Kembali, saya bukan peguam yang selalu berulang-alik ke mahkamah, tapi psiko. Saya tidak pedulikan kesalahan yang dilakukan anak guam saya, yang penting dia harus diselamatkan,” katanya yang menginginkan satu watak yang lebih agresif atau wanita tomboi jika diberi pilihan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: